Ummul Mujahidah

By | May 31, 2012 at 11:09 pm | 824 views | No comments | Tokoh dan Biografi

Wajah Seorang Mujahidah

Zainab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih kehadapan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam (Jama’at Muslimat) untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam Penubuhan Jama’at Muslimat ini juga bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.

Pada tahun 1937, Zainab telah bertemu dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin pada masa itu iaitu as-syahid Hassan Al-Banna yang sedang cuba menubuhkan satu cabang khusus untuk muslimat dalam Ikhwanul Muslimin. Jama’ah Muslimat kemudiannya dijadikan satu cabang dari gerakan Ikhwanul Muslimin. Bagaimanapun, pada awal penubuhannya, ia tidak terikat dengan Ikhwanul Muslimin hinggalah berlakunya peristiwa pembubaran Ikhwanul Muslimin pada tahun 1948. Segala harta Ikhwan telah dirampas, cawangan-cawangannya ditutup dan beribu-ribu ahli Ikhwan telah ditangkap. Setelah peristiwa ini, Zainab memikirkan semula saranan awal as-syahid Hassan Al-Banna agar Jama’at Muslimat bergabung dengan Ikhwanul Muslimin dan akhirnya pada tahun 1948, Zainab Al-Ghazali telah dilantik sebagai pengerusi Jama’at Muslimat telah memberikan bai’ah kepada as-syahid Hassan Al-Banna.

Bagaimanapun tanggal Februari 1949, komplot untuk membunuh Hassan Al-Banna telah dilaksanakan dan akhirnya gugurlah seorang pejuang Islam yang gigih. Perjuangan beliau telah disambung oleh Imam Mursyid Hassan Al-Hudaibi. Awal Ogos 1965, Jamal Abdul Nasser mula membuat perancangan untuk menangkap barisan pemimpin harakah Islamiah. Perancangan ini didalangi oleh perisik-perisik Amerika dan Russsia yang di susun oleh Zionisme Antarabangsa.

Untuk mengaburi mata orang ramai, rejim Jamal Abdul Nasser telah menuduh Zainab dan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain seperti Syed Qutb dan Hassan Hudaibi merancang pembunuhan Jamal Abdul Nasser dan 4 orang menterinya. Hasilnya, beribu-ribu orang ahli Ikhwanul Muslimin telah ditangkap. Zainab sendiri telah ditahan pada Jumaat, 20 Ogos 1965. Beliau kemudian telah disumbatkan ke penjara dan di sana beliau melihat bagaimana anggota Ikhwanul Muslimin diseksa dengan teruk. Ada yang digantung, dicambuk dan dicakar-cakar oleh anjing ganas setelah mereka disebat. Zainab sendiri disiksa dengan kejam termasuk dipukul dengan teruk, disumbatkan dalam penjara air dan diancam untuk dirogol. Walaupun beliau berada dalam kesakitan kerana disiksa, namun dengan pertolongan Allah beliau berjaya menewaskan askar yang diperintahkan untuk merogolnya.

Untuk mengaburi mata rakyat, pihak pemerintah telah mengaturkan agar ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei 1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain dijatuhkan hukuman gantung. Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada 10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun mengalami pelbagai penderitaan. Penjara dan siksaan, tidak pernah mematahkan tekadnya bahkan membuatnya lebih kuat. Zainab Al-Ghazali meninggalkan warisan berupa perjuangan membela Islam dan reputasinya sebagai aktivis wanita yang tanpa ragu melawan sekularisme dan liberalisme dan menggantikannya dengan nilai-nilai Islam.

Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Zainab al-Ghazali meyakini bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal sosial, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Karyanya

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan sosial apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.

 

Sayyidah Hajah Zainab terkenal dengan catatan pengalaman beliau sepanjang beliau dipenjarakan iaitu Hari-hari dalam Hidupku : Zainab al-Ghazali. Antara bab yan paling menarik hati ialah catatan Zainab ketika berada di dalam penjara berair Tentera Mesir sekitar tahun 1950-an ialah mimpi beliau bertemu Rasulullah saw. Beliau telah dikenakan hukuman yang tak layak untuk manusia hadapi. Betapa “binatang” manusia rejim. Allah hiburkan hati beliau dengan anugerah mimpi yang indah.

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

 

Sumber:

Al-MUSLIMUN: Februari 1996/Ramadhan 1416,

http://hamizaluriah.blogspot.com/2008/08/daieyah-zainab-al-ghazali.html

Nukilan : Ijlal Mohd Diah

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri