Tuntutlah Ilmu Ke Negeri China

By | May 14, 2012 at 4:27 pm | 552 views | No comments | Pembangunan Modal Insan

Sejak dari kecil kita telah diasuh oleh keluarga kita. Kemudian meningkat ke usia 5 tahun, kita dihantar ke tadika. Kemudiannya ke sekolah rendah, menengah. Akhirnya ke institusi pengajian tinggi. Tahap demi tahap, kita dididik supaya menjadi manusia yang terpelajar. Sejak dari kecil kita belajar membaca dan mengira, akhirnya kita dilatih supaya menguasai subjek-subjek yang disediakan oleh sekolah. Dan sudah menjadi cita-cita majoriti ibu-bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dengan prestasi yang cemerlang. Ditambah pula dengan kelas tambahan dan tuisyen, dengan harapan anak-anak mereka mendapat pencapaian yang tinggi. Namun, adakah hanya pencapaian yang tinggi di sekolah itu sahaja yang perlu menjadi cita-cita kita?

Harus kita fahami dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan pembangunan modal insan. Ianya merupakan satu program untuk membangunkan modal insan dengan kaedah yang sesuai, dan bersumberkan modul yang benar. Dan apa pula yang anda fahami dengan modal insan? Ianya merupakan sesuatu keperluan ataupun bekalan yang perlu dimiliki oleh setiap insan agar dirinya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara, mengikut kaedah pemahaman dan perlaksanaan yang benar serta kukuh. Jika anda ingin menjadi seorang insan yang berguna, apa yang anda perlukan? Salah satunya adalah ilmu. Maka ilmu itu menjadi modal bagi anda. Dengan kata lain, pembangunan modal insan ini bermaksud membangunan kualiti modal anda.

 

Insan yang bermodal

 

Seorang usahawan, sudah pasti memerlukan modal sebelum hendak memulakan perniagaan. Jika usahawan yang bijak mengatakan bahawa dia tidak perlukan wang sebagai modal, maka sudah tentulah ideanya yang hebat itu juga, merupakan modal baginya. Mengapa anda hendak tingkatkan modal anda? Kerana dalam pelan pembangunan modal insan, sasaran anda adalah menjadi insan berguna. Dan salah satu modalnya adalah ilmu. Tanpa ilmu, wang setimbun gunung juga tetap tidak akan mampu menjamin kualiti anda sebagai seorang insan. Maka tanamlah dalam minda anda sekarang bahawa ilmu mesti menjadi cita-cita anda.

 

Kuantiti modal seluas lautan

 

Anda sudah membuat pilihan yang tepat. Anda memilih ilmu sebagai modal utama sebelum mencari modal-modal yang lain. Maka dalam kondisi apa pun anda tetap akan meningkatkan kuantiti modal anda, sebelum anda memulakan perniagaan. Anda harus ingat bahawa perniagaan anda bukan sekadar bisnes kecil-kecilan. Tetapi anda telah membulatkan tekad untuk berniaga dengan Pencipta anda, Allah SWT. Memandangkan bisnes ini menawarkan keuntungan yang sangat lumayan, yang tidak mampu ditafsirkan dengan akal yang terbatas, dan ilmu yang cetek, maka anda berusaha keras untuk mencari modal dengan sebanyak mungkin. Dalam usaha ini, anda akan menghadapi pelbagai ujian dan cabaran. Umpama buah kelapa, lagi tinggi pohonnya, lagi sedap isi dan airnya. Maka teruslah tanpa merasa terbeban. Setelah anda berjaya melepasi segala ujian dan cabaran, ketika itu juga anda akan mencapai darjat kebahagiaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Dan ganjarannya, anda menjadi orang yang sangat berilmu. Ilmu itu umpama cahaya yang bersama-sama kita. Sudah pasti kita lebih sukakan cahaya berbanding kegelapan. Hanya orang yang hendak tidur sahaja, yang pergi ke ruang yang gelap. Akan tetapi orang yang berilmu, dimensinya bercahaya. Hati dan akalnya tetap bercahaya.

Binalah modal diri melalui perjuangan

Ilmu bukan hanya di sekolah

 

Majoriti masyarakat kita hari ini lebih gemar meluangkan masa dengan aktiviti luar rumah sahaja. Jika dalam rumah pun, hanya sibuk dengan aktiviti sosial di alam maya. Masyarakat hari ini sudah tidak cintakan ilmu seperti mana masyarakat di zaman empayar Islam suatu masa dahulu. Kita membaca sejarah kebanggaan kita, namun tidak timbul perasaan ingin mengikuti jejak kejayaan mereka. Sedangkan kesenangan kita di hari ini, antara usaha yang telah mereka korbankan dahulu kala. Kita dengan lantang melaungkan slogan “Dare to dream” tetapi tidak pula berani hendak merealisasikannya. Hal ini kerana kita telah lama hidup dalam kesenangan. Maka dunia barat menguasai ilmu-ilmu yang tinggi, dan mereka terlebih dahulu dalam mencapai teknologi terkini. Ilmu itu ada di mana-mana sahaja. Dan dalam keadaan apa pun, kita dapat mencari ilmu. Hanya yang perlu ada dalam diri kita ialah, semangat dan keazaman, serta cita-cita yang mendalam untuk mendalami ilmu.

 

Bukan hanya untuk peperiksaan

 

Kita bangun awal dan terus saja menyambung pembelajaran kita sehinggalah tibanya hari peperiksaan. Selesai peperiksaan, kita sambut dengan penuh suka dan ketawa riang. Setelah itu tidak lagi wujud dalam minda kita perkataan “buku”. Jika di peringkat sekolah rendah, perkara sebegini masih boleh diterima akal. Namun jika sudah diperingkat mahasiswa, keadaan seperti ini merupakan penyakit parah dalam masyarakat kita. Yang menunggu masa untuk meracun seluruh anggota badan kita. Ilmu itu akan menjaga kita, membentuk diri kita menjadi seorang insan, membangunkan minda dan pemahaman kita, agar kita dapat bertindak menjadi insan yang sihat. Jangan kita jadi orang jauh dengan ilmu, akhirnya benci pada ilmu. Kerana pada ketika itu, kita sudah berada dalam kegelapan.

 

Laut datang memunggahkan mutiara

 

Orang yang berilmu ibarat cahaya yang terang benderang. Cahayanya tersebar dan terbias. Sesiapa sahaja yang duduk atau berada di sampingnya, akan turut berada dalam ruang yang cerah. Orang yang berilmu amatlah berguna bagi masyarakat dan negara. Sekiranya kita hendak melantik seorang pemimpin, kita suka jika pemimpin kita dipilih dari kalangan yang berilmu luas. Andai kita memilih seorang yang tidak berilmu, sudah pastilah dia akan merosakkan diri dan kehidupan kita. Itulah hakikat orang yang berilmu. Kita lebih bahagia ketika bersama dengan orang-orang yang berilmu. Kehadiran mereka menyenangkan hati kita. Begitu jugalah tindakan kita yang dapat menyenangkan hati orang lain andai kita juga berilmu. Menyebarkan ilmu bukanlah tugas seorang guru atau pensyarah sahaja, malahan menjadi tanggungjawab kita seluruh masyarakat untuk menyebarkannya.

 

Kualiti modal secantik mutiara

 

Ilmu itu luas cabangnya. Jika hendak ditulis segala ilmu, nescaya dakwat seluas lautan masih belum cukup untuk kita catat. Ilmu di sisi Allah terlalu luas untuk kita ketahui. Maka pada ketika ini, kita harus bijak dalam memilih ilmu. Dan ilmu yang paling utama adalah ilmu agama. Jadilah orang yang bijak dengan menguasai ilmu agama. Kerana ilmu tersebut akan menjadikan seluruh ilmu anda berkualiti tinggi. Jika anda mempunyai ilmu kejuruteraan atau kedoktoran, namun tidak memiliki ilmu agama, barangkali anda akan menyalahgunakan ilmu anda. Maka ilmu anda sudah tidak bermakna lagi buat diri anda dan juga orang lain. Carilah ilmu yang berguna buat anda dan masyarakat. Dan gunalah ilmu anda tersebut dengan sebaik mungkin. Setiap langkah kita sentiasa dinilai oleh Allah SWT. Kita bukan sekadar hendak membuat bandingan ilmu dengan dunia barat. Seperti yang telah kita ketahui, dunia barat lebih moden dari segi sains dan teknologi. Namun yang penting di sini ialah sejauh mana kesedaran kita hendak menguasai sesuatu bidang ilmu. Kerana realiti masyarakat kita hari ini, bukan sahaja mundur dari faktor teknologi sahaja, malah turut merosak dalam adab dan akhlaknya. Hanya dengan berbalik pada agama Islam sahaja, akan mengembalikan semula tamadun yang berhak dijulang.

 

Semoga kita sedar akan betapa pentingnya untuk menanamkan rasa cinta ke dalam hati kita. Tidak perlu terasa lambat untuk berilmu, dan tidak perlu tergesa-gesa dalam memburu ilmu. Tidak pula perlu untuk mencuri masa bagi mencintai ilmu, kerana anda ada banyak masa kosong sebenarnya. Maka isilah masa kosong itu untuk mengajak hati anda, agar kita sama-sama mencintai ilmu, dan mencintai golongan ilmuan yang semakin dilupai hari ini. Semoga Allah mengembalikan para ilmuan Islam yang punyai hikmah dan pemahaman yang jelas, serta ilmu yang luas.

Nukilan : Ikhwan Mahadzir

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri