Sucikanlah Pembangunan Dengan Akhlak

By | September 16, 2012 at 6:08 pm | 984 views | No comments | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Pada era masa kini kita telah melihat perubahan demi perubahan. Kejayaan demi kejayaan yang telah manusia capai selaras dengan perkembangan ilmu. Dan ilmu tersebut secara khususnya saya katakan, merujuk kepada sektor sains dan teknologi. Masyarakat hampir dari seluruh dunia secara umumnya, menyandarkan pemikiran mereka terhadap pembangunan teknologi itu sebagai satu proses pembangunan yang dominan. Sekaligus mengabaikan faktor yang lebih penting dalam pembangunan sesebuah bangsa dan negara.

Bila kita sebut berkenaan pembangunan, sewajarnya kita sandarkan pada bangsa dan negara. Bangsa itu sebagai diri kita dan masyarakat majmuk. Manakala negara pula sudah menjadi tapak terbangunnya sesebuah sistem bagi bangsa yang menetap di situ. Bagi artikel kali ini, ingin saya sentuh jiwa dan minda anda terhadap salah satu faktor yang cukup penting dalam memberi makna pembangunan. Iaitu pembangunan akhlak.

Pembangunan Akhlak bermula dengan pembangunan Iman

Abad demi abad telah berlalu. Maka berlakunya evolusi kebudayaan yang menjadi nilai hidup bagi setiap individu. Yang merupakan modal bagi sesebuah bangsa terhadap negaranya. Jelas ianya bukanlah modal yang berbentuk sains dan teknologi. Sekiranya kita imbas kembali tamadun-tamadun yang lalu ( tamadun Islam ), adakah mereka tidak memiliki kemajuan dalam sains dan teknologi? Semestinya mereka dahulu juga sudah sampai pada era kemodenan yang sesuai dengan perkembangan ilmu pada ketika itu. Kerna hasil usaha merekalah kita pada hari ini berjaya meliputi kemajuan dalam sains, yang dianggap sebagai evolusi sains tanpa sempadan. Sebenarnya semua ini tercapai kerana tamadun yang terdahulu menyedari akan hakikat sebenar arus perubahan sains yang sangat bersangkutan dengan kemajuan budaya atau akhlak. Maka lahirlah pada ketika itu tamadun Islam yang sangat disegani. Bangsa yang terbina di atas dasar pemahaman Islam yang bersifat syumul. Pemahaman Islam yang mengajak manusia agar membangun dalam semua aspek termasuklah sains dan akhlak. Tanpa membuang salah satu darinya. Hal yang demikianlah yang menjaga sesebuah tamadun itu dari tergelincir setelah mendaki tinggi.

Bangunlah dengan positif

Realiti pada hari ini dapat kita lihat bersama, tanpa perlu melakukan kajian-kajian yang begitu terperinci. Sekadar sekali imbas dengan mata kasar sahaja sudah dapat kita perhatikan bahawa masyarakat kita pada hari ini telahpun melalui satu arus perubahan yang sangat merbahaya. Arus yang akhirnya akan membawa kita terjun ke dalam kemerosotan kemanusiaan. Di sini harus kita faham terhadap nilai apakah yang harus kita ambil sebagai kayu ukur kejayaan dalam pembangunan.

Rasa kasih-sayang dan cinta sesama masyarakat telah pupus. Rasa ingin saling bantu telah luput dari minda. Yang tinggal hanyalah ketamakan yang menguasai nafsu-nafsu masyarakat ‘moden’ hari ini. Sedangkan modennya kita sewajarnya mengikut landasan syarak. Landasan yang telah dibentangkan oleh Rabbal ‘Alamin yang memahami keperluan kita di alam ini. Landasan yang telah dilalui oleh orang-orang terdahulu, sehingga menjadi bukti kejayaan yang ada pada destinasi akhirnya. Sedangkan jika kita meneliti secara mendalam akan hakikat pembangunan pada hari ini, hanya akan membawa kepada sistem kemasyarakatan yang sangat rakus dan tamak. Yang kaya menjauhi golongan faqir. Sedangkan generasi akhlak terdahulu amat berjaga-jaga terhadap nilai kemanusiaan sehingga menyebabkan keseluruhan sistem mereka berjaya dibangunkan dengan cemerlang. Percaya atau tidak, sistem akhlak itu sendiri mampu membawa kepada kejayaan seluruh sistem dalam sesebuah negara. Jika sistem akhlak itu berjalan lancar, sistem kehakiman, sistem pendidikan, sistem pertahanan dan lain-lain sistem lagi akan berfungsi dengan lebih berkesan. Anda sendiri mampu memikirkan tentangnya. Namun persoalannya disini, sejauh manakah sistem akhlak ini diterapkan ke dalam seluruh sistem-sistem yang wujud dalam sesebuah negara masa kini? Dan seandainya sistem akhlak ini diterapkan, sejauh manakah Al-Quran dan As-Sunnah menjadi sumber rujukan dalam menetapkan pemahaman akhlak dalam sesebuah negara itu?

Nilai kemanusiaan direntasi dengan didikan Iman

Ramadhan yang tiba setiap tahun membawa satu pemikiran ke dalam minda masyarakat kita iaitu “pemikiran perubahan”. Berjuta azam lahir dari hati yang sangat ikhlas. Namun sayangnya ia lahir dari hati yang merujuk kepada minda yang kosong tanpa ilmu. Tuntutlah ilmu sedalam mungkin sehingga kita mampu memahami hakikat kehidupan kita, peranan kita, dan terhadap nilai apakah yang lebih utama untuk kita dahulukan. Kita mampu berfikir.

Nukilan :
Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir
Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan ,
UTHM , Johor

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri