Siswa Sisiwi Boleh Bergaul Tetapi…..

By | August 25, 2013 at 10:12 am | 1,801 views | No comments | Remaja dan Mahasiswa

Ikhtilat atau pergaulan di antara mahasiswi dan mahasiswa merupakan isu yang sering diperdebatkan. Golongan yang berfikiran liberal terlalu memandang enteng isu ini hinggakan merasakan ianya membebankan. Bagi mereka interaksi di antara mahasiswa dan mahasiswi tidak sepatutnya mempunyai apa-apa sekatan yang membebankan. Manakala golongan yang terlalu jumud pula berpendapat bahawa komunikasi berkenaan perlu dielak sama sekali. Justeru, Islam agama yang semestinya releven dengan fitrah manusia tampil dengan solusi yang efektif. Dr. Yusuf Al-Qardhawi memberi komen mengenai kisah di dalam Al-Quran yang membuktikan perlunya interaksi dan komunikasi antara lawan jantina; ‘Tidak boleh dikatakan ianya merupakan syariat untuk umat sebelum kita sehingga ia tidak mengikat kita, kerana Al-Quran tidak mengemukakan kisah melainkan sebagai petunjuk, peringatan dan panduan bagi orang yang berakal’. Maka, beliau menegaskan bahawa syariat yang sama juga ditetapkan dan disyaratkan ke atas kita sama seperti yang berlaku pada umat yang terdahulu.
Di dalam Islam, interaksi dan komunikasi di antara mahasiswi dan mahasiswa dibolehkan kerana mereka bukanlah bahagian yang terpisah. Malahan, mereka saling memerlukan di antara satu sama lain dalam hal yang berkaitan dengan kehidupan seharian, kehidupan bermasyarakat, ibadah dan banyak lagi. Islam juga telah menggariskan etika interaksi sebagai panduan kepada para mahasiswi. Menurut etika ini mahasiswi perlu memastikan mereka melaksanakan hal-hal yang berikut ketika berkomunikasi;
1. Menutup aurat
2. Menjaga pandangan
3. Tidak memanjakan dan mendayu-dayukan suara
4. Memastikan keseriusan agenda interaksi
5. Menghindari bersalaman
6. Memisahkan lelaki dan perempuan serta tidak berhimpit-himpit
7. Menghindari berdua-duaan
8. Meminta izin suami jika menemui mahasiswi yang suaminya tidak turut serta
9. Menjauhi perbuatan dosa

 

1. Menutup aurat
Di dalam surah An-Nur: 31, Allah swt berfirman;
“… Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa tampak padanya dan hendaklah mereka menutupkan kain jilbab ke dadanya…”
Justeru, mahasiswi perlu memastikan pakaian yang dipakai menutup aurat; tidak jarang dan tidak ketat hingga menampakkan bahagian tubuh badan yang diharamkan untuk dilihat oleh bukan mahram. Aurat mahasiswi ialah seluruh tubuh badannya kecuali wajah dan telapak tangan. Rasulullah bersabda kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai Asma, sesungguhnya perempuan itu jika telah baligh, maka tidak boleh kelihatan darinya selain ini dan ini (beliau menunjukkan ke wajah dan tapak tangan beliau)” (HR Abu Daud)

2. Menjaga pandangan
Allah swt telah berfirman dalam surah An-Nur: 31
“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci dari mereka.”
Perintah yang sama juga diperintahkan untuk para mahasiswi. Menahan pandangan bukan bermaksud tidak melihat sama sekali. Menahan pandangan di sini bermaksud haram bagi melihat seandainya berisiko untuk berlakunya fitnah. Jika bebas dari fitnah, maka ianya dibolehkan. Menurut Ibnu Daqiq Al-Ied ‘Menahan pandangan wajib dalam semua keadaan yang berkaitan dengan aurat dan semisalnya, tetapi kadang-kadang wajib dalam satu kondisi dan tidak pada kondisi yang lain kalau tidak menyangkut aurat.’ Hal ini kerana aurat berisiko untuk menimbulkan fitnah yang berupa rangsangan syahwat dan sebagainya.

3. Tidak memanjakan dan mendayu-dayukan suara
Al-Quran dan sunnah tidak pernah melarang para mahasiswi dari berbicara. Perkara yang dilarang ialah memanjakan dan mendayu-dayukan suara. Hal ini kerana suara perempuan mampu menarik hati hingga boleh menyebabkan penyakit di hati orang yang lemah imannya. Di dalam surah Al-Ahzab: 32
“Hai isteri-isteri nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita lain jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.”
Namun, seandainya suara tersebut secara dasarnya memang lembut dan merdu maka tidak perlu dikasarkan atau dikeraskan untuk menakutkan lelaki (Takariawan, 2002). Jelasnya, mahasiswi dilarang memanjakan dan mendayu-dayukan suara dengan sengaja.

4. Memastikan keseriusan agenda interaksi
Islam melarang interaksi yang sia-sia. Justeru, komunikasi yang berlaku mestilah jelas agenda dan tujuannya. Jika sebaliknya, dikhuatiri berlakunya fitnah lawan jenis. Allah swt berfirman di dalam surah Al-Ahzab: 32,
“dan ucapkanlah olehmu perkataan yang baik.”
Ayat ini mensyaratkan baawa topik perbincangan mestilah berkaitan dengan perkara yang makruf dan tidak mengandungi kemungkaran. Rasulullah pernah menegur secara halus Khuwait Bin Zubair yang pergi berbual kosong bersama kaum perempuan di Marrah Zhahran. Ketika dia sedang berbual, Rasulullah datang seraya berkata “Hai Abu Abdullah!” Beliau terperanjat dan tidak tahu apa yang harus dikatakan. Akhirnya beliau menutup malu dengan mengatakan “Wahai Rasulullah, untaku liar dan melawan. Kerana itu aku ingin mencari pengikatnya.” Semenjak itu, setiap kali bertemu Rasulullah pasti bertanya, “Assalamualaikum, wahai Abu Abdullah, apa khabar untamu yang liar itu?.” Peristiwa ini menjelaskan betapa pentingnya keseriusan di dalam berinteraksi agar terhindar daripada fitnah.

5. Menghindari bersalaman
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Ditusuk di kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi besar lebih baik dari memegang perempuan yang tidak halal baginya” (HR Thabrani).
Manakala Aisyah r.a berkata,
“Tidak, demi Allah, tangan Rasul tidak pernah menyentuh tangan perempuan sama sekali dalam berbaiat” (HR Bukhari dan Muslim).
Anas r.a menceritakan bahawa terdapat seorang hamba perempuan warga Madinah yang membimbing tangan Rasulullah s.a.w dan berangkat ke mana yang ia kehendaki (HR Bukhari). Takariawan (2002) menegaskan bahawa dilarang bersentuhan melainkan mempunyai keperluan dan terhindar daripada fitnah dan syahwat. Maka, perkara yang lebih diutamakan adalah menghindari bersalaman atau bersentuhan tangan.

6. Memisahkan lelaki dan perempuan serta tidak berhimpit-himpit
Interaksi sosial di antara lelaki dan perempuan perlu diasingkan sepertimana Islam memisahkan saff muslimin dan muslimat ketika solat. Hal ini bagi memastikan para mahasiswi tidak perlu bersesak-sesak dalam lautan manusia yang bercampur jantina. Rasulullah s.a.w pernah menasihatkan kaum perempuan yang melalui jalan yang sesak;
“Perlahanlah atau mundurlah sedikit. Kalian tidak berhak menguasai jalan, kalian harus berjalan di tepinya.’’
Dr. Yusof Al-Qardhawi menjelaskan, “Yang penting di sini kita tegaskan, bahawa tidak semua ikhtilat itu dilarang sebagaimana yang difahami oleh daie yang ekstrem dan sempit pemikirannya; dan tidak pula setiap ikhtilat itu diperbolehkan sebagaimana yang diikuti oleh para daie yang sekular dan suka mengikuti Barat.” Pada dasarnya pertemuan antara mahasiswi dan mahasiswa dibolehkan dan diperlukan jika tujuannya adalah kerjasama dalam mencapai tujuan yang mulia seperti majlis ilmu, amal soleh dan projek kebajikan.

7. Menghindari berdua-duaan
Nabi s.a.w bersabda,
“Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang perempuan kecuali disertai mahramnya.” (HR Bukhari)
Terdapat tiga pendapat mengenai berdua-duaan:

(a) Berdua-duaan di depan khalayak awam.
Anas r.a menceritakan terdapat seorang perempuan dari kalangan Anshar datang kepada Nabi lalu Nabi berduaan dengannya dan berkata,

“Sesungguhnya kalian (kaum Anshar) adalah orang yang paling saya cintai.
(HR Bukhari dan Muslim).

Al-Haffiz Ibnu Hajar menjelaskan bahawa “Rasulullah tidak berdua-duaan dengan perempuan itu sehingga diri mereka tertutup dari pandangan orang lain, bahkan tidak berdua-duaan sehingga pembicaraan mereka tidak didengari oleh orang lain.”

(b) Dua atau tiga lelaki bersama dengan seorang perempuan
Rasulullah bersabda
“Setelah hari ini, seorang lelaki sama sekali tidak boleh masuk menemui perempuan yang suaminya tidak ada, kecuali bersama seorang atau dua orang lelaki lain” 

(HR Muslim)

Menurut Imam Nawawi hadis ini membolehkan dua atau tiga orang lelaki bertemu seorang perempuan yang bukan maharam. Namun, pendapat yang masyhur dalam kalangan sahabat mengharamkannya. Al-Qadhi Iyadh menjelaskan hadis ini ditakwilkan untuk sekelompok orang yang tidak mungkin akan melakukan perbuatan keji kerana kesolehan dan kealiman mereka.

(c) Seorang lelaki dan ramai perempuan
Imam Nawawi menjelaskan “haram bagi seorang lelaki mengimamkan seorang perempuan bukan mahram di tempat yang sepi”. Namun, jumhur ulama’ membenarkan seandainya terdapat ramai perempuan.

 

8. Meminta Izin suami jika menemui mahasiswi yang suaminya tidak turut serta
Bagi mahasiswa yang ingin bertemu mahasiswi yang suaminya tidak turut serta, mereka perlu meminta izin dari suami mahasiswi berkenaan terlebih dahulu. Hal ini bagi mengelakkan timbulnya rasa cemburu. Rasulullah s.a.w bersabda;
“dan dia isteri tidak boleh mengizinkan orang lain masuk ke rumahnya kecuali dengan izin suaminya..” (HR Bukhari).

Hal ini ditegaskan melalui kisah Amr bin Ash yang berulang alik ke rumah Ali bin Abi Talib dua hingga tiga kali kerana ingin menemui Fatimah, isterinya. Ali bertanya, “Apabila kamu memiliki keperluan kepadanya (Fatimah) apakah kamu tidak boleh masuk menemuinya?” Amr menjawab, “Kami dilarang menemui para isteri kecuali dengan izin suaminya”

9. Menjauhi perbuatan dosa
Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-An’am: 120;
“Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi pembalasan (pada hari kiamat) disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.”
Dosa yang nampak ialah meninggalkan etika syarak ketika berinteraksi dengan lawan jenis manakala dosa yang tersembunyi melibatkan timbulnya perasaan senang terhadap sesuatu yang haram. Perkara ini boleh terjadi melalui tujuan komunikasi, cara dan gaya berbicara.

Kesimpulannya, Dr. Abdul Halim Muhammad Abu Syuqah telah menegaskan,
“Perempuan bukanlah aurat yang harus ditutupi oleh orang lain sampai tertutup seluruh tubuhnya, mukanya, suaranya dan namanya. Apabila perempuan memiliki aurat yang harus ditutup dari orang lain, maka demikian juga terjadi pada lelaki. Perempuan memiliki jati diri yang utuh tidak seperti yang digambarkan oleh sebahagian orang. Ada yang menggambarkan bahawa perempuan manusia yang polos, lemah akalnya dan mudah ditipu dengan kata-kata manis. Ada lagi yang menggambarkan perempuan makhluk yang jahat, sumber mala petaka dan tidak memiliki keahlian selain tipu daya. Apabila kadang-kadang diri perempuan menujukkan beberapa kelemahan, maka sesungguhnya demikian pula pada diri lelaki.”
Justeru, diharap para pembaca mendapat kefahaman yang jelas tentang etika semasa berkomunikasi. Etika ini boleh diaplikasikan bukan sahaja di universiti, malah ianya sangat relevan dalam segenap aspek kehidupan selagimana ianya berkait rapat dengan komunikasi dan interaksi yang melibatkan jantina yang berbeza.

 

Rujukan:
Takariawan, C. (2002). Etika Interaksi Lelak dan Perempuan. In Keakhawatan 2 (pp. 103-124). Laweyan: PT Era Adicitra Intermedia.

Karya,
Atiqah Azmi
B.Ed Tesl, UPM 

 

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri