Segarkan Ingatan Kepada Rasulullah SAW

By | May 14, 2012 at 4:16 pm | 598 views | No comments | Tokoh dan Biografi

Muhammad Bin ‘Abdullah, sang ikutan umat, tokoh paling popular sepanjang masa, bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Pembawa berkat bagi seluruh alam, kekasih Allah, raja yang bijaksana, jeneral perang yang berani, negarawan yang tiada tandingannya, manusia suci dan entah berapa gelaran lagi yang mesti disematkan kepada beliau.

Muhammad bin ‘Abdullah adalah utusan Allah, Nabi dan Rasul terakhir yang diturunkan ke muka bumi membawa misi penyelamatan umat manusia melalui aqidah islamiyyah. Kebesaran, kemurnian dan keagungan ajaran baginda s.a.w tidak lekang oleh zaman, relevan sepanjang masa.

Tidak salah jika Michael H. Hart (Proffesor Astronomi, Fizik dan Undang-undang Maryland University) menasbihkan Muhammad ya Rasulullah sebagai tokoh yang paling berpengaruh di muka bumi. Michael H. Hart, menjelaskan dalam buku larisnya yang berjudul “100 tokoh paling berpengaruh sepanjang sejarah” bahawa Nabi Muhammad adalah satu-satunya orang menuai kejayaan yang hebat baik dalam pembangunan agama, pemerintahan dan segala bidang kehidupan duniawi. Baginda memimpin bangsa mundur, berpecah belah, menjadi bangsa yang maju bahkan sanggup mengalahkan pasukan Rom di medan pertempuran. Membahas Biografi Rasulullah s.a.w. ilmu dan pengetahuan saya sangatlah terhad. Tetapi di sini saya akan cuba dengan penuh berhati-hati untuk menuliskannya walaupun sangat singkat dan banyak bahagian, kisah, teladan, dan lain-lain lagi.

 

Kelahiran dan Masa Kecil

Rasulullah s.a.w dilahirkan pada 12 Robiul Awal tahun Gajah atau sekitar 20 April 570 Masihi di Kota Makkah Saudi Arabia. Merupakan putera kepada Saiyidina Abdullah dan Ibunda Siti Aminah. Baginda dilahirkan di tempat yang paling mundur di dunia, tanah yang gersang, jauh dari pusat ekonomi, seni, mahupun ilmu pengetahuan. Rasulullah s.a.w lahir dari keluarga yang sederhana dan berasal dari suku Quraisy. Muhammad dapat diertikan terpuji. Hal ini dibuktikan dari julukan Al-amin (boleh dipercayai) yang disematkan oleh masyarakat suku Quraisy kepada baginda sebelum baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul.

 

Cubaan dan cabaran hidup terus mengalir sejak zaman kanak-kanak lagi, bahkan sejak dari dalam kandungan. Ayahanda tercinta meninggal dunia tatkala baginda masih lagi di dalam kandungan ibunda Siti Aminah, ketika dalam perjalanan dagang ke kota Yatsrib. Saiyidina Abdullah hanya meninggalkan lima ekor unta, beberapa biri-biri dan budak perempuan bernama Ummu Aiman. Cubaan datang kembali saat baginda berusia 6 tahun. Ibunda tercinta meninggal semasa dalam perjalanan pulang dari ziarah ke makam ayahnya (Abdullah). Rasulullah kemudian di asuh oleh datuknya (Abdul Mutalib). Tidak lama kemudian sang datuk juga menyusul wafat. Rasulullah s.a.w kemudian diasuh oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Nabi s.a.w kemudian menjadi penggembala kambing dan berdagang membantu bapa saudaranya di daerah Syam (sekarang Lubnan, Palestin dan Syria).

Makkah , tempat kelahiran Baginda

Masa Remaja

Kejujuran Nabi Muhammad s.a.w dalam berniaga tersebar di seluruh negeri, Baginda menjadi seorang peniaga yang berjaya hingga berkenalan dengan saudagar kaya Siti Khadijah binti Khuwailid. Siti Khadijah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam suku Arab dan sering menghantar barang dagangannya ke daerah di wilayah Arab. Nama besar baginda Nabi Muhammad s.a.w dalam berniaga telah membuat Siti Khadijah terpesona sehingga meminta untuk diadakan kerjasama antara mereka. Seiring waktu berlalu, Nabi Muhammad dan Siti Khadijah akhirnya berkahwin. Saat itu, Nabi Muhammad berusia 25 tahun dan Siti Khadijah 40 tahun. Ketika berusia 35 tahun, Nabi Muhammad dan suku Quraisy melakukan pengubahsuaian Kaabah. Di sini berlaku pertentangan besar mengenai peletakkan hajjar aswad. Dengan kewibawaan, kebijaksanaan dan kepimpinan baginda, perang terbuka dapat dielakkan, dan hajjar aswad dapat diletakkan tanpa ada satu pihak pun yang dianiaya. Ketika itu Nabi Muhammad s.a.w sangat masyhur dalam masyarakat kerana sifat baginda yang terpuji. Masyarakat Arab ketika itu sangat mencintai dan menghormati baginda sehingga baginda diberi gelaran Al-Amin yang ertinya “orang yang boleh dipercayai”. Pola kehidupan Nabi Muhammad amatlah sederhana, menyayangi orang miskin, janda, yatim piatu serta jauh dari sifat-sifat tercela seperti sombong, angkuh dan iri.

 

Kenabian dan Kerasulan

Nabi Muhammad s.a.w diangkat menjadi rasul ketika menerima wahyu pertama saat beliau beruzlah di gua hira (Surah Al-Alaq). Semenjak itu, Nabi Muhammad mula mengembangkan ajaran Islam. Namun pelbagai tentangan, cercaan, hinaan, ancaman, bahkan rencana pembunuhan datang silih berganti. Cubaan untuk menegakkan aqidah Islam kepada bangsa Arab ketika itu begitu berat, bahkan bapa saudara baginda, Abu Talib pun hingga saat meninggal dunia tidak dalam keadaan Islam. Selama tiga tahun pertama, Nabi Muhammad s.a.w hanya memperoleh pengikut dalam kalangan keluarga seperti Siti Khadijah, Saidina Ali, Saidina Zaid bin Harithah dan Saidina Bilal. Pada awal tahun 613 M, Nabi Muhammad s.a.w mengumumkan secara terbuka tentang ajaran agama Islam. Tokoh-tokoh bangsa Arab yang secara terbuka menjadi pengikut Nabi Muhammad antara lain ialah Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Zubair bin Al Awwam, Saidina Abdul Rahman bin Auf, Saidina Ubaidah bin Harits, dan Saidina Amr bin Nufail. Namun penentang baginda juga adalah banyak. Pada masa itu, sesiapa yang memeluk Islam akan mendapat hinaan, cercaan, seksaan, bahkan ancaman pembunuhan. Nabi Muhammad s.a.w kemudian memerintahkan pengikut baginda berhijrah ke Habsyah. Raja Habsyah, bersedia menerima orang-orang Islam berhijrah ke negaranya dan melindungi mereka daripada ancaman suku Quraisy di Mekah.

Madinah , tanah bermulanya kehebatan Islam

Pengikut Nabi Muhammad s.a.w semakin bertambah ketika sekumpulan masyarakat dari daerah Yatrib banyak yang memeluk Islam. Nabi Muhammad kemudian diajak pengikutnya untuk berhijrah ke Yatrib (Madinah). Nabi s.a.w kemudiannya berhijrah tahun 622 hijrah ke Madinah, menempuh jarak 200 batu (320 km). Sesampainya baginda di Madinah, baginda disambut dengan sambutan yang hangat dari penduduk bandar tersebut. Islam berkembang pesat di Madinah sehingga baginda mendirikan masjid pertama di Madinah iaitu Masjid Nabawi. Madinah berkembang menjadi pusat pemerintahan Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Kebebasan beribadah, perlindungan rakyat kecil, perlindungan terhadap agama lain, kebebasan bersuara, pemerintahan yang adil semuanya dirasakan oleh penduduk Madinah.

 

Mengetahui perkembangan pemerintahan Islam di Madinah, suku-suku di Mekah berasa khuatir dengan Islam. Mereka berulang kali mengadakan serangan ke atas Madinah, namun gagal. Hal ini membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah jeneral perang yang hebat. Pelbagai perjanjian damai juga dibuat antara kerajaan Nabi Muhammad dengan suku Quraisy, namun sering dilanggar suku Quraisy.

 

Nabi Muhammad kemudian memutuskan untuk melakukan penaklukan terhadap Mekah dengan membawa 10.000 tentera dari Madinah. Penduduk Mekah kemudian membuat perjanjian damai serta bersedia untuk tunduk kepada Nabi Muhammad s.a.w. tanpa sebarang pertumpahan darah. Nabi Muhammad bersama-sama umat Islam menunaikan ibadah haji dan memberikan pengampunan kepada penduduk Mekah serta menegakkan aturan-aturan Islam.

 

Pada tahun-tahun berikutnya Islam terus berkembang sampai akhirnya Nabi Muhammad s.a.w wafat di Madinah pada 8 Jun 632 Masihi di Madinah. Setelah baginda wafat, pengaruh Islam terus berkembang hingga mencapai daratan Eropah, Afrika dan pelbagai wilayah di Asia dan sampai saat ini menjadi agama terbesar di muka bumi.

 

Karya : www.bografitokohdunia.com , olahan oleh Ijlal Mohd Diah

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri