“Saya tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasulnya”- Abu Bakar Assidiq

By | April 20, 2013 at 11:34 pm | 7,361 views | No comments | Artikel Bacaan, Tokoh dan Biografi

Latar belakang


Nama Abu Bakar as-Siddiq r.a. tidak asing lagi dalam kalangan umat Islam, baik dahulu mahupun sekarang. Beliau merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. yang paling akrab dan disayangi oleh baginda. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w “Perempuan yang paling ku cintai adalah Aisyah r.a manakala lelaki yang paling kucintai adalah bapanya”. Manusia yang dianggap paling teragung dalam sejarah Islam sesudah Rasulullah s.a.w. Kemuliaan akhlaknya, kemurahan hatinya dalam mengorbankan harta benda dan kekayaannya, kebijaksanaannya dalam menyelesaikan masalah ummat, ketenangannya dalam menghadapi kesukaran, kerendahan hatinya ketika berkuasa serta tuturbahasanya yang lembut lagi menarik adalah sukar dicari bandingannya baik dahulu mahupun sekarang.
Abu Bakar merupakan khalifah pertama setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. dari tahun 632-634 (11-13 Hijrah). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Quhafah. Bapanya bernama Uthman (disebut juga Abi Quhafah) berasal daripada suku Taim (Quraisy) dan ibunya bernama Salma Binti Sakhr (lebih dikenali sebagai Ummu Al-Khayr) juga daripada suku Taim. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah iaitu hamba Kaabah. Namun, selepas pengislamannya, namanya telah ditukarkan kepada Abdullah (hamba Allah) oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Beliau sering digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab ‘Bakar’ yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Manakala gelaran as-Siddiq diperolehinya kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah s.a.w. Mengenai gelaran ini pernah ada ulama’ yang mentafsirkannya dengan bermaksud “Mempercayai Allah dan Rasulnya dengan berpegang pada sifat-sifat kesempurnaan Allah dan sifat-sifat kemulian Rasulnya mengatasi akal fikiran semata-mata “. Pernah Nabi s.a.w bersabda “Andainya sekelian manusia akan mendustakan Muhammad s.a.w, Saidina Abu Bakar lah yang akan tampil dengan penuh keyakinan untuk membelaku “. Antara peristiwa dan pengiktirafan oleh sahabat yang membenarkan gelaran ini ialah:

1. Peristiwa Isra dan Mi’raj yang telah dialami oleh Rasulullah s.a.w. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu. Saidina Abu Bakar telah berkata “Sekiranya Muhammad s.a.w yang memberitahu ini maka aku percaya, malah lebih dari itu lagipun aku mempercayai”.

2. Rasulullah s.a.w pernah bersabda “Tidaklah aku menyeru sesiapa pun kepada Islam melainkan dia teragak-agak dan melewatkannya kecuali Saidina Abu Bakar”.

3. Saidina Umar r.a bertanya pada Saidina Abu Bakar r.a selepas termetrainya perjanjian Hudaibiyah, “Wahai Abu Bakar bukankah dia Rasulullah?’. Abu Bakar menjawab ” Ya “. Umar r.a bertanya lagi “Bukankah kita ini orang-orang Islam?”. “Ya”, jawab Abu Bakar. Lalu Saidina Umar bertanya lagi “Kalau begitu mengapa kita menerima cara yang hina ini?”. Bila ditanya oleh Saidina Umar soalan yang sama maka Rasulullah bersabda “Aku ini hamba Allah dan rasulnya; aku tidak akan sekali-kali menyalahi perintah-Nya dan aku tidak sekali-kali dipersia-siakan”. Pada masa ini kebanyakan sahabat tidak bersetuju dengan perjanjian Hudaibiyah di mana mereka tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji pada tahun itu sehingga mereka tidak menyembelih binatang dan bersuci setelah disuruh oleh Nabi s.a.w. sebanyak tiga kali kerana begitu kasih dan sayang pada Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w. menerima cadangan yang bernas daripada Ummu Mu’minin, Ummu Salamah supaya Rasulullah s.a.w. meneruskan sahaja penyembelihan itu seolah-olah wahyu dari Allah dan ini telah dikuti oleh para sahabat.

4. Aqalah bin Mu’it la’natullah pernah menjerut leher Rasulullah s.a.w dan telah dilihat oleh Saidina Abu Bakar yang segera menghalangnya lalu berkata, “Adakah kamu mahu membunuh seorang yang berkata Tuhanku adalah Allah?”.

5. Saidina Abu Bakar juga telah meneruskan tindakan Rasulullah s.a.w. selepas kewafatan baginda dengan menghantar tentera yang dipimpin oleh Usamah keluar berperang walaupun tidak dipersetujui oleh para sahabat lain. Hal ini adalah kerana perlunya tindakan untuk mengatasi gejala murtad selepas kewafatan Nabi s.a.w. kerana terdapat orang Islam yang tidak ingin membayar zakat atau membayar dengan tidak sempurna. Khalifah Abu Bakar telah melantik Khalid Al-Walid untuk mengetuai kumpulan memerangi golongan yang murtad ini.

6. Saidina Umar r.a. pernah berkata “Sesungguhnya di dalam syurga Admin terdapat sebuah mahligai. Ia mempunyai 500 pintu. Setiap pintu ada 5000 bidadari. Tidak akan masuk ke dalamnya melainkan Nabi-nabi sambil menoleh ke arah maqam Nabi s.a.w atau orang-orang yang benar, sambil memandang ke arah maqam Saidina Abu Bakar, atau orang yang syahid sambil menunjuk ke arah dirinya dengan mengaharapkan dia memperolehi syahid”.

7. Saidina Uthman b. Affan r.a. pernah mengatakan bahawa Saidina Abu Bakar layak mengantikan Nabi s.a.w kerana dia As-Siddiq dan menjadi Imam solat sewaktu Rasulullah s.a.w uzur.

Beliau merupakan seorang tokoh perniagaan yang kaya dan datang dari keluarga bangsawan yang dihormati oleh masyarakat Arab Quraisy. Beliau dari segi umur adalah dua tahun lebih muda daripada Nabi Muhammad s.a.w. Abu Bakar tetap menjaga martabat dan maruahnya walaupun semasa zaman jahiliyah iaitu sebelum kedatangan Islam. Beliau tidak pernah minum arak bahkan telah mengharamkan khamar pada dirinya sebelum Islam mengharamkannya. “Orang yang meminum khamar, sesungguhnya dia telah mencemarkan kehormatan dirinya,” kata Abu Bakar.

Pengorbanannya yang begitu besar begitu dihargai oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya “Islam tertegak di atas harta Khadijah r.a dan pengorbanan Saidina Abu Bakar r.a”. Beliau merupakan orang ketiga yang memerluk Islam selepas Saidina Ali Karramallahuwajhah dan Zaid bin Harithah, hamba kepunyaan Nabi pada masa itu. Selepas keislamannya, beliau terus berda’wah dan dapat mengislamkan beberapa orang sahabat yang agung (As-Sabiqun Awwalun) termasuk Uthman bin Affan, Abdul Rahman Auf, Zubir AiAwwam Saad bin Waqqas dan ramai lagi. Semasa beliau membeli Bilal Bin Rabah yang telah diseksa oleh tuannya ,beliau telah ditanya mengapa beliau membeli Bilal yang sudah tidak dapat bekerja berat akibat seksaan itu. Beliau menjawab ” Aku membeli jiwanya “, yakni keteguhan Bilal mempertahankan keEsaan Allah. Perbagai cabaran gentir dan siksaan yang pernah beliau hadapi dalam menegakkan agama Allah. Beliau pernah dipukul dan dipijak sehingga dapat dikenali cuma melalui hidungnya kerana teruknya luka yang dialaminya. Tentang keimanannya yang begitu mantap, pernah Rasulullah s.a.w bersabda ” Jika ditimbang iman Saidina Abu Bakar dengan sekalian umat, nescaya berat lagi iman Saidina Abu Bakar” .

Hijrah Pertama

Saidina Abu Bakar telah diberi penghormatan untuk menemani Nabi s.a.w untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622, beliau begitu gembira sekali mendengarnya sehinggakan Saiyidatina Aisyah r.a mengatakan bahawa beliau tidak pernah melihat bapanya begitu gembira sekali melainkan pada hari itu. Dalam keadaan yang penuh gelisah di gua Thur, Allah telah menurunkan ayat menceritakan peristiwa ini di dalam surah at-Taubah. Saidina Abu Bakar telah berkata “Yang saya bimbangkan bukanlah mengenai diri saya sendiri, kalau saya terbunuh yang tewas hanyalah seorang manusia biasa. Tapi andaikata Tuan sendiri dapat dibunuh, maka hancurlah satu cita-cita yang murni. yang akan runtuh ialah keadilan dan yang akan tertegak adalah kezaliman”. Begitulah cintanya Saidina Abu Bakar as-Siddiq kepada Rasulullah s.a.w. Saidina Abu Bakar begitu sedih apabila mendengar munajat Nabi s.a.w semasa perang Badar yang begitu mengharapkan kemenagan ke atas tentera Islam lalu beliau berkata ” cukuplah Ya Rasulullah”. Rasulullah s.a.w telah mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku.

Keistimewaan 

Semasa dalam satu khutbah Rasulullah s.a.w ada menyebut bahawa kepada seseorang hamba Allah ditawarkan untuk memilih dunia dan memilih ganjaran yang disediakan oleh Allah; dan hamba tersebut tidak akan memilih dunia melalaikan tapi memilih apa yang di sisi Allah. Mendengarnya, menangislah tersedu-sedan Saidina Abu Bakar kerana beliau faham akan maksud khutbah itu, yakni umur Rasulullah di dunia sudah hampir berakhir.

Saidina Ali penah mengatakan bahawa Saidina Abu Bakar merupakan sahabat Nabi s.a.w yang paling berani kerana sanggup melindungi Nabi s.a.w untuk menghadapi perang Badar di saat para sahabat yang lain berdiam diri bila Nabi s.a.w mengacukan soalan itu. Saidina Abu Bakar telah menyertai hampir semua Ghazwah yang disertai oleh Nabi s.a.w. Beliau juga merupakan sahabat yang paling banyak mengeluarkan hartanya untuk Islam. Sewaktu perang Tabuk beliau telah membawa 4000 dirham iaitu semua hartanya yang tinggal. Lalu ditanya oleh Rasulullah “Apakah yang ditinggalkan untuk keluarga mu.” Lalu beliau menjawab, “Saya tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasulnya”. Saidina Umar r.a. pernah berkata “Tidak kami berlumba-lumba dalam membuat kebaikan melainkan dia Saidina Abu Bakar pasti akan mendahuluiku”. Beliau juga merupakan antara 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh Nabi s.a.w.

Saat Kewafatan Rasulullah s.a.w.

Saidina Umar juga pernah berkata “Suatu malam dan satu hari saidina Abu Bakar lebih baik daripada Umar dan keluarganya”. Satu malam semasa Hijrah bersama Nabi s.a.w manakala satu hari adalah di hari kewafatan Rasulullah s.a.w dimana Saidina Abu Bakar dengan tenang tetapi tegas mengahadapi saat getir itu, ditambah dengan gejala murtad yang melandai sebahagian umat Islam pada masa itu. Beliau berkata “Wahai kaum muslimin, barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati, Tetapi barang siapa menyembah Allah,maka Allah selama-lamanya hidup tidak mati” seraya menyambung lagi dengan ayat Al-Quran, surah Ali-Imran :144;

“Muhammad itu tidak lebih dari seorang rasul seperti Rasul-rasul yang terdahulu darinya, Jika ia mati atau terbunuh, patutkah kamu berundur kebelakang. Sesiapa yang surut kebelakang , dia tidak membahayai Allah sedikit pun dan sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.” Ali-Imran 144.

(Ayat ini turun semasa perang Uhud di mana tersebar fitnah bahawa Rasulullah telah terbunuh menyebabkan tentera Islam hampir putus asa).

Menjadi Khalifah Pertama

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda telah mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar r.a. mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam. Setelah dilantik menjadi Khalifah Rasulullah atas cadangan Saidina Umar r.a dengan dipersetujui oleh para sahabat, beliau telah memberi satu ucapan yang mahsyur, antaranya: “Wahai sekalian umat! Aku telah dipilih menjadi peminpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemerintahan ku baik, maka sokonglah; tetapi jika ianya tidak baik perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat disisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah disisiku hingga aku harus mengambil hak orang lain padanya untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah aku selama aku patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Akan tetapi jika aku menderhakai Allah, maka kamu sekalian tidak harus lagi patuh kepada ku”.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaiahkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaiahkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.

Sumber kekuatan pasti yang Maha Hebat

Peperangan Islam-Riddah

Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas. Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.Ekspedisi ke Utara. Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

Saidina Abu Bakar hidup seperti rakyat biasa dan tidak suka didewa-dewakan. Pernah orang memangilnya” ya Khalifah Allah” lalu dijawabnya “Saya bukan Khalifah Allah, saya hanyalah Khalifah Rasulnya”. Sehari selepas dilantik, Saidina Abu Bakar telah pergi ke pasar dengan membawa barang perniagaannya, lalu ditegur oleh Abu Ubaidah Ibnu Jarrah, “Urusan Khalifah tidak boleh dicampur dengan perniagaan”. Lalu Khalifah bertanya “Habis apa yang harus saya berikan pada keluarga saya?”. Semenjak hari itu Khalifah mendapat peruntukan wang daripada Baitul-mal dan Saidina Abu Bakar pun menghentikan perniagaannya untuk menumpukan kerja sebagai seorang Khalifah. Namun tidak berapa lama sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah mengembalikan semula wang Baitul-mal kerana berpendapat bahawa tenaga yang dicurahkanya tidak sepadan dengan duit Baitul-mal yang diperolehi itu dengan sebab-sebab keuzurannya.

Saidina Abu Bakar mengalakkan sahabat-sahabat keluar berjihad, dengan menyebarkan ajaran Islam ke tempat-tempat baru. Beliau mengarahkan wakilnya menawarkan tiga pekara kepada pemerintah di situ, iaitu sama ada memilih Islam, tunduk kepada pemerintahan Islam dengan membayar Jizyah(sekiranya tidak mahu menganut Islam) atau perang (sekiranya menolak kedua-dua pilihan yang diberi itu). Di zaman Khalifah Umar r.a beliau yang lebih keras memberi tempoh selama tiga hari untuk memilih sama ada Islam ataupun berperang.

Pengumpulan Al-Quran

Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz Al Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat Al Quran. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan Al Quran semasa beliau menjadi khalifah.

Kembali ke Rahmatullah

Sebelum meninggal dunia, selepas hampir dua setengah tahun menjadi Khalifah beliau telah berpesan kepada Saidina Umar: “Janganlah hendaknya sesuatu bencana walau bagaimana besar pun dapat melupakan kamu dari urusan agama dan wasiat Allah. Engkau telah melihat apa yang aku lakukan tatkala Rasulullah wafat, sedang wafatnya Rasulullah itu adalah satu bencana yang belum pernah manuasia ditimpa bencana sebesar itu. Demi Allah, andaikata di waktu itu aku melalaikan perintah Allah dan Rasulnya, tentu kita telah jatuh dan mendapat siksaan Allah, dan pasti pula Kota Madinah itu telah menjadi lautan api”.

Saidiana Abu Bakar meninggal dunia ketika berumur 63 tahun wafat pada 2 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Pendapat pertama mengatakan sebab kematian beliau disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar menggesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khattab sebagai khalifah yang baru. Saidina Abu Bakar r.a. dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

Sumbangan Saidina Abu Bakar

Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada di antaranya murtad dan ada di antaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat Al Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam. Beliau telah menyediakan tiang-tiang pokok dari kekuatan Islam yang memudahkan lagi kerja-kerja penyebaran da’wah oleh Khalifah seterusnya iaitu Khalifah Umar Al-Khattab, yang mana sebahagian Syam dan Iraq telah berada dibawah pemerintahan Islam ketika hayat beliau.

 

Rujukan:

1 . Fiqh Al-Harakah 1 & 2 – Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Hadi Awang
2 . Hayatus-Sahabah 1,2,3 dan 4 – Syeikh Myuhamad Yusuf Al- Kardahlawi.
3 . Tokoh-tokoh Islam dulu dan sekarang edisi 5 – H. Luqman Hakim
4 . Al – Quran , Tafsir Usmani – Allama Shabbir Ahmad Usmani.

Disediakan :
Ijlal Mohd Diah
ISM Sains(Matematik) dengan Pendidikan, UPSI

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri