Riang Ria Di KMK Perak 2012

By | November 20, 2012 at 11:59 pm | 779 views | No comments | Berita, KeARAH Wilayah Utara

Tapah, 18 November 2012 – Kem Minda Kreatif atau lebih mesra dikenali sebagai KMK telah berlangsung pada 16 hingga 18 November 2012 bertempat di Agro Recreation Centre, Tapah, Perak. Program anjuran KeARAH Perak ini telah berjaya disertai seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada 26 orang peserta lelaki dan 44 orang peserta perempuan. Pada kali ini, KMK telah memilih “Remaja Kontemporari Mencorak Identiti” sebagai tema program bagi membentuk remaja dinamik yang mampu membawa identiti seorang muslim seiring dengan kemajuan masa kini.

Warga lelaki KMK

Tenaga penggerak yang diketuai oleh Cikgu Zul Safaruddin Bin Mat selaku Penasihat KMK-16 Perak turut sama dijayakan oleh Kem Komandan iaitu Saudara Mohammad Fakhruddin Bin Ab. Ghani yang dibantu oleh Timbalan Kem Komandan, Saudari Ainul Mashitah Binti Amran serta barisan fasilitatur dan urusetia kem. Antara mesej yang ingin diketengahkan adalah untuk membina kefahaman dan kesedaran islam dan membina jati diri di kalangan remaja, meletakkan kecintaan agung kepada Allah dan Rasul serta memberi motivasi ke arah pengurusan diri muslim yang lebih baik.

Warga wanita KMK

Setelah selesai sesi pendaftaran pada hari pertama, para peserta telah diberikan taklimat program dan ice-breaking bagi merapatkan ukhuwah sesama peserta. Program diteruskan lagi dengan penyampaian kuliah pertama oleh Ustaz Syed Zainal Zahari Bin Syed Hasan yang bertajuk ‘Siapa Aku?’ untuk mendidik para peserta tentang peranan muslim dalam kehidupan seharian disamping ibadah khusus dan umum yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Tekun mendengar taklimat

Seawal jam 5.30 pagi, para peserta telah bersiap sedia untuk solat subuh dan kuliah subuh yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Amir Hamzah Bin Razali dan seterusnya diberi peluang untuk bertaaruf dengan para fasilitator dan urusetia KMK. Aktiviti diteruskan dengan taklimat oleh jurulatih bertauliah yang dikendalikan oleh Encik Mohd Rafee Bin Roslan bagi aktiviti Jungle Tracking. Antara pendedahan yang dititik beratkan adalah formasi perjalanan, pantang-larang semasa di dalam hutan serta menjaga disiplin diri. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan yang memakan masa selama empat jam, tiada kecederaan yang serius berlaku.

Aktiviti kedua pula iaitu Flying Fox dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK ) diteruskan pada sebelah petang secara bergilir antara peserta lelaki dan perempuan. Istimewanya, kebanyakan para peserta memberikan respon yang cukup positif termasuklah ingin memanjangkan tempoh aktiviti, mampu membuka ruang untuk berdebat dan menguji daya keberanian.

Pada sebelah malam pula, para peserta diberi peluang untuk menunjukkan bakat melalui Malam Minda Kreatif. Mereka dinilai melalui beberapa kriteria pemarkahan termasuklah kreativiti dan isi persembahan.
Menjelang keesokan harinya, ternyata minat para peserta KMK pada program kali ini kelihatan apabila mampu untuk bangkit seawal jam 4 pagi untuk aktiviti – Morning Walk yang bertujuan untuk menguji keberkesaan taaruf dikalangan para peserta walaupun dalam cuaca gelap.

Sesi Riadah

Aktiviti diteruskan lagi dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Saudara Hasanul Bakhtiar Bin Abdullah bertajuk ‘Ke Mana Aku’ dan juga aktiviti empat – Angkasa Lepas selari dengan nama kem; Kem Minda Kreatif, untuk menguji tahap tumpuan dan kreatif para peserta.

Akhir sekali, KMK telah melabuhkan tirai dengan majlis penutup yang telah dirasmikan oleh Cikgu Zul Safaruddin Bin Mat serta penyampaian hadiah kepada para peserta dan semua tenaga penggerak kem. Diharapkan semoga usaha dan niat kami untuk meneruskan peninggalan para nabi dan sahabat akan diteruskan dan diterima Allah, inshaAllah.

 

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri