Remaja, Kanak-Kanak Pariaman Tarik Perhatian Relawan HALUAN

By | May 14, 2012 at 3:47 pm | 584 views | No comments | Artikel Umum

26 Oktober 2009, Pariaman, Indonesia – Relawan-relawan HALUAN daripada Pasukan Ketiga Misi Kemanusiaan Padang terus gigih menyumbang bakti kepada mangsa-mangsa gempabumi di Pariaman. Hari kedua mereka berada di sana, pasukan yang diketuai oleh Sdr Abd Basir Abd Ghani ini memasuki dua buah perkampungan yang sangat memerlukan bantuan, iaitu Kg Lubuk Alung dan Sg Seringin.

Antara tugasan utama yang mereka jalankan termasuklah pemeriksaan kesihatan, kaunseling pelajar sekolah dan kanak-kanak, dan juga mengagihkan barangan yang dibawa kepada mangsa-mangsa.

Menceritakan gambaran awal pengalaman mereka bersama-sama mangsa gempa, Sdr Abd Basir berkata, “Pengalaman di sini agak mencabar dan mengharukan, tapi cukup menceriakan kami. Apa yang dapat digambarkan bahawa kehadiran kami memberi bantuan di sini amat berharga bagi mereka. Mereka amat berterima kasih dan sangat menghargai sumbangan yg diberikan walaupun kecil sekadar senyuman atau sapaan salam.”


Menurut Sdr Abd Basir lagi, Kg Lubuk Alung sebernarnya tidak tersenarai dalam perancangan pusat koordinasi lapangan untuk dikunjungi. Tetapi setelah penduduk membuat aduan kepada radio tempatan tentang keadaan mereka yang memerlukan bantuan, relawan HALUAN dibawa menyelidik keadaan mereka. Hampir 90 orang mangsa dari berbagai lapisan umur telah mendapat rawatan. Manakala seramai 200 orang murid, yang dibahagikan kepada 6 kumpulan mengikut umur, telah dapat mengikuti sesi kaunseling. Mereka begitu seronok mengikuti pengajian berkenaan perkara asas seperti mengenal Allah, rukun Iman dan rukun Islam, solat dan syukur. Terharu relawan-relawan HALUAN melihat wajah-wajah gembira anak-anak tersebut apabila menerima ole-ole dari Malaysia, walaupun hanya berupa sebiji belon dan gula-gula.

Di Sg Beringin, relawan HALUAN berkhidmat hingga ke waktu malam. Kampung ini agak jauh dan sukar dimasuki kerana keadaan jalan yang rosak. Satu pengalaman menarik bagi mereka, khidmat kesihatan dijalankan di atas kawasan lapang beralaskan tikar. Di sini tiada bangunan yang boleh dijadikan tempat rawatan kerana semuanya musnah dan berisiko runtuh. “Seolah-olah kami sedang bersantai di tepi pantai,” cerita Sdr Abd Basir berseloroh. “Pengalaman sebegini sangat bermakna kepada pasukan kami, terutama kepada relawan-relawan muda. Mereka jelas sangat ceria dan bersemangat tinggi, bersedia untuk berkorban membantu orang susah. Alhamdulillah, mereka berjiwa besar dan penuh kreativiti,” sambung beliau.


Aktiviti bantuan HALUAN turut mendapat perhatian pihak media tempatan. Akhbar dan radio tempatan telah mengambil kesempatan membuat liputan dan hebahan tentang kehadiran misi bantuan HALUAN di Pariaman. Relawan HALUAN juga dijadualkan akan bersama-sama Radio Damai FM untuk berinteraksi dan bersoal-jawab secara langsung dengan masyarakat di sana.

Menyentuh tentang perancangan bantuan seterusnya, Ketua Biro Bantuan Kecemasan dan Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Syed Muhammad Haleem berkata selain daripada tenaga medik, HALUAN juga akan giat menghantar para kaunselor dan guru-guru yang boleh membantu mangsa-mangsa berhadapan dengan tekanan psikologi. “Selain dari itu, kita juga mendapat laporan di mana kampung-kampung kini mula kehabisan bantuan makanan dan juga terputus bekalan air bersih. Kita akan teliti laporan ini dan bertindak dengan sebaiknya,” jelas Dr Syed Muhammad Haleem.

HALUAN menyeru orang ramai agar turut membantu mangsa-mangsa gempabumi ini. InsyaAllah keprihatinan kita membantu saudara kita yang ditimpa musibah ini akan mendapat perhatian dari Allah swt. Anda boleh menyalurkan bantuan melalui

Tabung Kemanusiaan HALUAN atas nama ”HALUAN”
Bank Islam Malaysia Berhad
Nombor akaun 14-023-01-002 571-8

Semoga sumbangan yang diberikan, walaupun sedikit, akan mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah swt.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri