Ramadhan 1434H Kareem!

By | July 8, 2013 at 8:01 am | 514 views | No comments | Artikel Bacaan, Isu Semasa

“Yeay! Yeay! Esok puasa!”

Begitulah kemeriahan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ketika penulis masih kecil.
Keghairahan untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan sangat tinggi.
Terasa benar kehadirannya dengan kemeriahan yang disambut dengan jeritan adik beradik, bunyi mercun para jiran.

Pada zaman penulis dahulu, kami tidak sabar-sabar menunggu kehadiran Ramadhan. Apabila tiba sahaja Ramadhan, ayah akan memeriahkan sekeliling rumah dengan pelita. Biasanya selepas Asar, kami membantu ayah untuk mengisi minyak tanah ke dalam bekas lampu pelita. Selepas solat Maghrib, kami terus membantu ayah memasang lampu pelita di sekeliling rumah. Sangat meriah.

Begitulah ayah dan ibu penulis memepuk semangat berpuasa ketika kecil terutamanya dalam bulan Ramadhan.
Bermula dari umur 4 tahun, ibu ayah sudah mendidik kami untuk berpuasa.
Walaupun tidak dapat berpuasa penuh dalam sehari, setengah hari pun tidak mengapa.
Tiada paksaan untuk berpuasa penuh dalam sehari.
Namun, kami yang bersemangat untuk berpuasa penuh.
Kami tidak sabar untuk berbuka dan bersahur bersama, berkumpul bersama, memasang pelita bersama, solat tarawih bersama, bermain bunga api dan mercun bersama, memilih kuih muih di bazar Ramadhan, memilih makanan dan minuman pilihan yang dinanti-nanti ketika bulan Ramadhan dan paling seronok sekali lepas Isyak kadang-kadang ayah mengajak kami untuk pergi ke ekspo Ramadhan di pekan.
Semua itu hanya ada di bulan Ramadhan sahaja.
Kerana itu kami mersakan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat istimewa.

Apabila tiba bulan Ramadhan, kebiasaannya ayah solat tarawih di masjid, manakala kami pula solat tarawih berjemaah di rumah berimamkan ibu.
Kami amat gembira apabila bulan Ramadhan tiba, kerana semua umat Islam berkejar-kejar untuk beribadah mengejar pahala. Seronok rasanya, bukan?
Itulah pengalaman penulis ketika kecil ketika menyambut kehadiran bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan.
Begitulah kami menyahut seruan Allah sepertimana di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Jom raikan Ramadhan kali ini sebaik mungkin
Gambar oleh MusliMultimedia 

Keistimewaan Bulan Ramadhan

Selain daripada keistimewaan yang penulis ceritakan tadi, bulan Ramadhan ini juga mempunya keistimewaannya yang tersendiri.

Antaranya ialah:

1. Bulan Ramadhan merupakan bulan keampunan yang penuh berkat untuk hamba-hambaNya yang tidak pernah lari dari kesilapan dan dosa.

2. Di dalam bulan Ramadhan juga, diturunkan satu malam yang sangat istimewa iaitu Lailatul Qadar; malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Firman Allah bermaksud, “ Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan”. (al-Qadr, 3) Pada malam ini juga disifatkan sebagai malam yang penuh berkat.

Nabi SAW bersabda, bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam 10 terakhir Ramadan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Diturunkan petunjuk bagi manusia iaitu al-Quran pada bulan Ramadhan. Oleh itu, kita digalakkan untuk memperbanyakkan serta menggandakan bacaan al-Quran berserta maksudnya di bulan Ramadhan.

Firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan, ayat 4 bermaksud, “Sesungguhnya Kami turunkannya (al- Quran) pada malam yang diberkati”.

4. Ditutup pintu neraka dan dibukakan seluasnya pintu syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.”
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

5. Syaitan tidak dapat menghasut manusia pada bulan Ramadhan . Namun, jika masih ada kejahatan yang dilakukan ia berpunca dari nafsu diri sendiri.

Ramadahan Kareem!Ramadhan Kareem!

Menyambut Ramadhan Ketika Meningkat Dewasa

Kalau dulu melompat kegembiraan menyambut kehadiran puasa, zaman dewasa pula disambut dengan rasa syukur dan ucapan buat keluarga dan rakan-rakan.
Kalau dulu hari pertama berpuasa sudah tidak sabar untuk menyambut kehadiran Syawal, kini melalui hari-hari Ramadhan dengan rasa kesyukuran dan dipenuhi dengan ibadah-ibadah tambahan.
Kalau dulu mengejar duit raya berdasarkan bilangan hari berpuasa, kini lebih mengejar pahala di bulan yang mulia.
Kalau dulu menunggu ketibaaan bulan Syawal apabila berpuasa, kini menunggu ketibaan Lailatul Qadar. Indah dan bertuahnya pabila dapat jadi yang terpilih dan dipilih.
Kalau dulu berebut nak beli baju raya baru, langsir baru, semua nak baru. Kini, menyambut secara sederhana juga sudah mencukupi.

Begitulah pengalaman yang dialami oleh penulis.
Sangat istimewa bulan Ramadhan ini.

Alhamdulillah, akhirnya bertemu juga kita dengan Ramadhan tahun ini.
Semoga Ramadhan kali ini membawa 1001 makna dalam kehidupan kita.
InsyaAllah.

Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna,
Agar dapat kulalui dengan sempurna.

Semoga dipermudahkan segalanya oleh Allah. InsyaAllah.
Ahlan wasahlan ya Ramadhan!
Ramadhan Kareem!

 

Nukilan :
Syaza Syafeeqah Bt Mohammad Khasnan
Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak,
Universiti Pendidikan Sultan Idris , Tanjung Malim

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri