Puteri KeARAH Jayakan PESONA di Masjid Putra

By | May 14, 2012 at 3:15 pm | 478 views | No comments | Artikel Umum

PUTRAJAYA, 6 Disember 2009 — Kem Pesona Remaja Puteri telah berjaya dilaksanakan hasil anjuran bersama HALUANITA dan Masjid Putra, Putrajaya dari 4hb hingga 6hb Disember baru lalu. Program selama 3 hari yang diadakan di Masjid Putra tersebut berjaya mearik penyertaan remaja puteri dari beberapa negeri, termasuklah dari negeri Selangor, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Melaka.

Bertemakan tentang shahadatain, kem kali ini disertai oleh seramai 196 orang remaja. Lebih 30 orang ahli jawatankuasa dari HALUANITA dan fasilitator dari Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) yang sedang bercuti menyumbang tenaga menjayakan kem ini. Ini merupakan penyertaan kem Pesona yang terbesar pernah diadakan.

Upacara pembukaan dan penutup kem ini telah disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra, Tuan Haji Abd Manaf bin Haji Mat. Pihak urusetia merasa amat berbesar hati atas kesempatan Imam Besar beserta pegawai-pegawai masjid yang lain meluangkan masa bersama-sama dalam majlis pembukaan dan penutupan tersebut.

Sesuai dengan tema perkhemahan kali ini, para peserta telah dapat mengikuti beberapa ceramah yang dapat membina jatidiri dan sakhsiah mereka. Antara ceramah-ceramah tersebut adalah “Melangkah Ke Alam Remaja” yang disampaikan oleh Cikgu Kalsom Redzuan, “Kami Insan Terpilih”  oleh Ustaz Adni Abd Razak, “Idola Remaja” oleh Cikgu Nursarah Abd Rashid, “Menjadi Remaja Impian” oleh Haji Engliman Roslan serta muhasabah oleh Cikgu Azmi Bahari. Siri ceramah tersebut banyak memberi ilmu, panduan dan pengajaran kepada peserta terutama bagi mereka bersedia memasuki dunia remaja yang bergitu mencabar.

Selain daripada program pengisian ilmu, peserta juga mengikuti pelbagai aktiviti kreatif dan fizikal. “Explorace Tarbawi” merupakan aktiviti yang paling diminati oleh peserta, di mana mereka terpaksa melalui aktiviti fizikal di samping menguji minda, kreativiti,  kerjasama dalam kumpulan serta latihan solat dhuha di sepuluh check point. Dengan aktiviti seperti ini, peserta berpeluang berinteraksi antara satu sama lain dan membina jalinan ukhuwah sesama mereka. Tidak ketinggalan juga aktiviti membuat bunga stokin bagi mengasah sifat kewanitaan dan kraf-tangan peserta.

Kem kali ini bukan sahaja dapat mendidik para peserta, malahan juga setiap mereka yang terlibat dari kalangan ahli jawatankuasa dan juga fasilitator. Mengulas pencapaian kem kali ini, Pengarah Kem Pesona, Dr Wan Muhaizam Wan Mustafa berkata, “Kami berharap Kem Pesona khusus untuk remaja puteri ini dapat juga dilaksanakan di peringkat zon utara, timur dan selatan.” Beliau juga mengharapkan agar segala ilmu dan kesedaran yang diperolehi dari kem ini dapat dipelihara dan diteruskan oleh ibubapa melalui program usrah di rumah.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri