PeWARIS 12 Melabuhkan Tirai

By | March 27, 2017 at 1:23 pm | 154 views | No comments | Berita, KeARAH Nasional, Remaja dan Mahasiswa

 

SIPUT (U), PERAK 23 Mac 2017 – Perkhemahan Remaja Pewaris HALUAN Kebangsaan (PeWARIS 12) telah berlangsung pada 18 hingga 20 Mac 2017 bertempat di Kem PLKN Terkok, Sg. Siput(U), Perak. Program anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dan Kelab Belia Haluan Ipoh telah disertai seramai 156 orang peserta yang terdiri daripada 85 orang lelaki dan 71 orang perempuan. PeWARIS pada tahun ini memilih tema “Remaja Berfikrah Penggerak Ummah” bagi membentuk remaja penggerak yang mampu mengenal, memahami dan memilih jalan-jalan ketaqwaan seterusnya berkhidmat pada ummah.

Tenaga penggerak yang diketuai oleh Ustaz Aizul Ahyar bin Saminan selaku pengarah program turut sama dijayakan oleh kem komandan iaitu saudara Muhammad Thalhah bin Hazni yang dibantu oleh timbalan kem komandan, Nurain Jazmina bt Jamaludin serta barisan fasilitator dan urusetia kem. Antara mesej yang ingin diketengahkan adalah untuk membina kefahaman dan kesedaran fikrah disamping mempertingkatkan amalan soleh dalam setiap kehidupan seorang mukmin serta membina ukhuwah dikalangan peserta dari seluruh Malaysia.

Program bermula dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Encik Amran bin Yeop Zahari selaku YDP HALUAN Perak. Seterusnya taklimat program dan sesi heart setting yang dikendalikan oleh kem komandan. Program diteruskan dengan penyampaian kuliah pertama oleh Hj. Rosdi bin Baharom yang bertajuk ‘Bahtera Penyelamat’. Beliau menekankan tentang pentingnya keimanan dalam melahirkan keinginan lalu membuahkan amal. Beliau juga mengingatkan peserta agar terus menerus menyiapkan diri untuk menjadi pewaris dakwah Islam.

Pada sebelah malam, aktiviti latihan dalam kumpulan telah dijalankan dimana peserta membincangkan tentang kuliah sebelum itu dan dibentangkan melalui bentuk lakonan. Seterusnya, saudara Muhammad Radhi bin Abdul Rahman selaku wakil KeARAH Nasional memberi taklimat tentang Kelab Remaja HALUAN kepada peserta.

Keesokkan hari, program diteruskan dengan Kembara PeWARIS dimana peserta menjalankan khidmat masyarakat di Kampung Lintang. Peserta diagihkan kepada beberapa tugasan termasuk membersihkan kawasan masjid dan juga dewan umum. Dalam perjalanan pulang ke kem, peserta berpeluang untuk bermesra dan menziarahi beberapa rumah di kampung sekitar dan menyampaikan sedikit cenderahati pada mereka. Program diteruskan dengan kuliah oleh Cikgu Ahmad Salleh bin Mohamad selepas solat Maghrib. Beliau membawa tajuk ‘Pembentukan Kesedaran dan Kefahaman Islam’ dimana beliau mengingatkan agar segala amalan mestilah menjurus kepada pembentukan kefahaman dan kesedaran yang sebenar. Seterusnya dijalankan latihan dalam kumpulan bagi menguji kefahaman peserta tentang kuliah yang telah disampaikan.

Seawal jam 5.00 pagi, para peserta telah bersiap sedia untuk solat subuh dan bacaan Al-Mathurat di dalam sungai. Program diteruskan dengan aktiviti Chef De PeWARIS, dimana peserta dapat menunjukkan skill memasak masing-masing sebelum dihidangkan kepada juri. Seterusnya, dijalankan diskusi KeARAH yang dikendalikan oleh Cikgu Ghazali bin Saad dan Encik Nasaruddin bin Abdul Manaf selaku wakil KeARAH Nasional. Diskusi ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal tentang pentingnya berorganisasi dalam kalangan penggerak dakwah remaja.

PeWARIS 12 telah melabuhkan tirai dengan ucapan oleh wakil peserta lelaki, perempuan, kem komandan dan timbalan seterusnya ucapan perasmian penutup oleh Haji Ibrahim bin Abdul Rahman, selaku Pengerusi Biro Pembangunan Keluarga dan Remaja HALUAN.

 

 

 

 

 

Disediakan oleh ,
Ahmad Yusuf Razali.
Setiausaha PeWARIS 12 2017

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri