Percayalah, Anda Juga Mampu!

By | March 31, 2014 at 10:16 pm | 523 views | No comments | Artikel Bacaan, Pengalaman & Iktibar

Suka saya kongsikan kepada anak murid saya sirah para sahabat nabi. Bertambah ceria hati saya ketika melihat mereka terdiam dan seolah-olah terkejut dengan peribadi yang ada pada sahabat nabi dahulu. Peribadi-peribadi ini seperti tidak mampu dimiliki oleh sesiapa pun.

Kisah mengenai Qaqa’ bin Amr yang dilantik Abu Bakar sebagai tentera bagi menggantikan 11,000 tentera yang pulang berehat, telah menyepikan seluruh dewan perhimpunan. Riak wajah murid-murid saya pada ketika itu, seolah-olah takjub dengan peribadi Qaqa’ bin Amr.

Dan semua murid sekali lagi terdiam ketika saya persoalkan mereka, wujudkah pemuda seperti Qaqa’ bin Amr dalam kalangan kita ini?

Mereka Bukan Dari Langit

Saya teringat kata-kata guru sekolah saya, CIkgu Azmi:

“Mereka para sahabat bukanlah manusia yang turun dari langit. Mereka adalah serpihan-serpihan jahiliyah yang telah dididik oleh Rasulullah.”

Sekiranya mereka turun dari langit, sudah tentu kita tidak mampu jadi seperti mereka.

Mereka adalah satu kaum yang hidup dalam kepekatan jahiliyah, namun tarbiyah telah membentuk mereka menjadi manusia unggul.

Peribadi Mulia Tidak Datang Bergolek

Pada waktu rehat, saya makan bersama seorang murid kelas saya. Saya ambil kesempatan tersebut untuk bertanya tentang keunggulan para sahabat nabi.

“Agak-agak kamu, kenapa mereka ni hebat-hebat?”

“Tak tahu cikgu…”

“Kerana mereka ada Allah. Kita juga hebat. Kamu pon hebat. Sebab apa kamu hebat?”

“Sebab ada Allah.”

Kita hebat kerana Allah di pihak kita. Bantuan Allah sentiasa ada pada hambaNya yang soleh.

Namun wajib kita yakini bahawa bantuan Allah tidak datang bergolek begitu saja. Ketika pembukaan kota Makkah, turun ayat Quran yang menyebut tentang kejayaan Islam dan bantuan Allah yang telah tiba. Namun bantuan itu tiba setelah nabi dan para sahabat melalui ujian kepayahan, dugaan yang berat, serta usaha mereka yang berterusan.

 

Segalanya Bermula Dari Diri Kita

Pedang dibentuk dari besi yang telah dipanas serta dicairkan. Ini adalah proses.

Pokok tidak bertukar menjadi kertas dengan tiba-tiba. Ia juga melalui proses-proses tertentu.

Dan peribadi mulia yang ada pada sahabat tidak wujud sekelip mata. Mereka melalui proses-proses pembentukan peribadi. Dan yang lebih utama di sini, mereka menyerahkan diri mereka untuk diproses.

Manusia tidak seperti pokok dan pedang yang tidak boleh bergerak sendiri. Maka, proses itu datang dari hati kita sendiri. Kita sendiri yang membuat pilihan untuk melalui proses ini.

Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“… Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka… “

Dalam surah Asy-Syams ayat 9-10 pula Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”

 Percayalah, Kehidupan Adalah Tentang Pilihan!

Kepada pembaca sekalian, kita sendiri yang perlu membuat pilihan. Pilihlah jalan mana yang kita mahu lalui.

Jalan yang memberi keuntungan atau jalan yang membawa pada kerugian.

Jika impian kita menjadi seperti Qaqa’ bin Amr, ikutlah jalan yang telah dilalui oleh beliau. Mana mungkin kita jadi sepertinya jika kita tidak hidup sepertinya.

Mana mungkin malam kita seperti malam Qaqa’ bin Amr, sekiranya siang kita tidak sama seperti siang para sahabat.

“Bagaimana mungkin kalian mengimpikan sesuatu yang luar biasa tetapi tidak meninggalkan kebiasaan yang ada pada diri anda.” – Syeikh Ibnu Athaillah.

Percayalah, Anda Juga Mampu!

Akhir kata, kita wajib yakin pada diri kita bahawa kita juga mampu jadi seperti mereka. Kosongkan minda dari fikiran-fikiran negatif.

Singkirkan bisikan hati seperti “saya tidak mampu” atau “saya tidak layak”.

Soal pada diri anda, “bagaimana kalau saya mampu?”

Semoga kita semua diberi taufik dan hidayah serta kekuatan dari Allah S.W.T.

 

Nukilan :
Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir
Guru,
Sekolah Rendah Ummi ( SERU ) , Alor Setar , Kedah.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri