Pemudalah Harapan Ummah!

By | August 25, 2012 at 6:27 pm | 864 views | No comments | Artikel Bacaan, Isu Semasa

Sejarah Generasi Pertama Islam telah membuktikan bahawa generasi muda telah memainkan peranan yang sangat peting dalam membangunkan syi’ar dan  syari’at Islam. Sayyidina Ali r.a. memeluk Islam ketika berumur 10 tahun dan merupakan lelaki pertama yang memeluk Islam dan solat bersama Rasulullah s.a.w.[1] Usamah bin Zaid r.a. dilantik oleh Rasulullah s.a.w. sebagai panglima perang ketika beliau hampir mencapai umur 20 tahun. [2]  

       Semasa Rasulullah s.a.w. dan Sayyidina Abu Bakar r.a. berhijrah ke Madinah dua orang muda telah memainkan peranan penting iaitu Abdullah r.a dan Asma’ r.a yang merupakan anak Sayyidina Abu Bakar. Abdullah diarahkan oleh Abu Bakar untuk mendapatkan maklumat tentang apa yang diperkatakan oleh orang-orang Makkah dan menyampaikan kepada beliau dan Rasulullah s.a.w.  yang bersembunyi di Gua Thur manakala Asma’ membawa makanan kepada mereka berdua.[3]

       Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan ‘Aisyah r.a. ketika beliau berumur tujuh tahun dan baginda s.a.w. wafat ketika Aisyah berumur 18 tahun.[4] Sayyidina Abu Bakar berhijrah ketika beliau berumur 51 tahun.[5] Ini bermakna beliau memeluk Islam ketika berumur 38 tahun. Sayyidina Umar r.a. berhijrah ketika berumur 40 tahun.[6] Ini bermakna beliau memeluk Islam ketika berumur 27 tahun. Sayyidina Uthman r.a. lahir pada tahun 573 Masihi iaitu 10 tahun lebih muda daripada Sayyidina Umar[7] bermakna beliau memeluk Islam ketika berumur 17 tahun dan berhijrah ketika bermur 30 tahun. Sebenarnya banyak lagi contoh yang boleh dimuatkan tentang peranan golongan  muda dalam membangunkan Islam dalam generasi pertama Islam. Memadailah sekadar contoh di atas sebagai beberapa bukti.

        Manusia kini dilanda penyakit  sosial yang tenat. Siapa lagi yang akan memainkan peranan untuk mengubati ketenatan ini pada masa hadapan kalau bukan golongan muda. Merekalah harapan masyarakat kini untuk membawa hidayah dan perubahan serta menjadi rahsia kebangunan dan kelangsungan umat.[8] Allah s.w.t. telah menggambarkan dalam al-Quran tentang peranan golongan muda melalui peristiwa Ashab al-Kahfi[9] yang telah mengorbankan hidup mereka demi memelihara iman.  Peristiwa tersebut berkaitan dengan pemuda beriman yang diberi pertunjuk oleh Allah s.w.t. untuk bersembunyi di dalam sebuah gua. Mereka merupakan pemuda yang mengingkari manhaj[10] yang salah yang diikuti oleh kaum mereka. Sesungguhnya mereka adalah pemuda yang mempunyai kekuatan fizikal, keteguhan iman dan tegas dalam menolak jalan kaum mereka. Mereka bukan rasul, tetapi mereka adalah pemuda yang diberi hidayah oleh Allah s.w.t. di tengah-tengah kezaliman kekufuran. Mereka mengisytiharkan akidah mereka, memilih jalan takwa dan ibadah kepada Allah s.w.t. serta membawa din[11] mereka kepada Allah s.w.t.[12]

        Dalam kisah ini terdapat suatu yang menakjubkan bagi jiwa orang-orang yang beriman. Mereka adalah para pemuda yang meninggalkan kaum mereka, yang berhijrah dari kampung halaman mereka, yang berpisah daripada ahli keluarga mereka dan meninggalkan perhiasan keduniaan serta kesenangan hidup lalu mengharapkan rahmat Allah s.w.t. Tiada lain yang memungkinkan mereka bertindak demikian melainkan kekuatan iman.[13]

       Golongan muda perlu memainkan penting sekarang.Mereka perlu mentarbiah diri  agar mampu terjun ke medan perubahan dengan bekalan yang mencukupi. Mereka perlu membawa panji-panji dakwah untuk menyelamatkan dunia yang sedang menuju ke jurang kehancuran. Hal ini disebabkan pada diri golongan muda terdapat tenaga, kemampuan dan kepintaran. Segala potensi yang ada pada diri mereka itu  perlu diasaskan dengan iman kerana ia merupakan faktor utama untuk menghindarkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial.

       Mereka perlu dilatih dengan muraqabah[14] Allah s.w.t. serta mengikhlaskan niat sama ada ketika bersendirian mahupun bersama orang lain agar dapat menghindari maksiat, menjauhi dosa serta menguasai nafsu. Dengan itu barulah Allah s.w.t. akan memberikan kepada mereka kehidupan yang baik dan kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.[15] Muda-mudi Muslim adalah generasi yang diharapkan dapat menerima dan meneruskan amalan dan perjuangan dalam nenegakkan nilai-nilai Islam. Mereka adalah kader-kader umat yang perlu dipersiapkan untuk menjadi pemimpin masa hadapan. Apa yang sangat penting bagi mereka kini adalah proses pembinaan sehingga mereka dapat memahami Islam yang sebenarnya hingga akhirnya mereka dapat berperanan dalam organisasi Islam ke arah memartabatkan Islam sebagai agama yang menjadi panduan umat manusia.[16]

 

Nukilan ,
Ghazali bin Saad,
Master  Usuluddin, Sejarah Dan Tamadun Islam
Universiti Malaya.


[1] Ibn Kathir (2000), The Life of the Prophet Muhammad, jld.1, Garnet Publishing Court, UK, ms. 313.
[2] Dr. Majid Ali Khan (1982), The Pious Calips, Islamic Book Publishers, Kuwait, ms. 32
[3] A. Guillamue (1978), The Life of Muhammad a Translation of Ibn Ishaq’s Sirat Rasul Allah, Oxford University Press, Karachi, ms. 224.
[4] Ahmad Khalil Jam’ah (2006), Isteri-isteri Para Nabi, Darul Falah, Jakarta, ms. 342
[5] Akram Diya’ Al-Umari (200), Masyarakat Madani di Zaman Nabi, IIIT, Gombak, ms. 71
[6] Dr. Majid Ali Khan, op.cit, ms. 67
[7] Ibid., ms. 127.
[8] ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan (1985), Hatta Ya’lama al-Shabab, Dar Al-Salam, Qahirah, ms. 150
[9] Al-Quran Surah al-Kahfi ayat 13
[10] Peraturan  atau  sistem yang menajdi panduan …
[11] Agama, panduan hidup, cara hidup
[12] Sayyid Qutb (1994), Fi Zilal al-Quran, Dar al-Shuruq, Bairut, ms. 2261-2262
[13] Ibid.
[14] Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
[15] ‘Abdulah Nasih ‘Ulawan, op.cit.
[16] Ir. Siswanto (2005), Panduan Praktis Organisasi Remaja Masjid, Pustaka al-Kautsar, Jakarta Timur, ms. 42.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri