Pelajar, Masyarakat Kunak Sambut PKP dan PPMI Sabah

By | May 14, 2012 at 3:40 pm | 574 views | No comments | Artikel Umum

Kunak, 3 Mac 2010 — Alhamdulillah, HALUAN dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Kampung, pihak Ladang dan Pusat Pelajaran Daerah Kunak dan Semporna, Sabah telah menjayakan Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) dan Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP) dari 26 Februari hingga 2 Mac 2010. Kedua-dua program tersebut adalah di bawah tajaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Seramai 22 orang relawan dari HALUAN Pusat menyertai ekspedisi ke Sabah ini, diketuai oleh Naib Presiden HALUAN bagi Hubungan Kaum & Kemasyarakatan, Dr Azizan Ahmad, dan Pengarah Program, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa. Relawan-relawan tersebut terdiri daripada 5 orang doktor pakar dan 4 orang pegawai perubatan dari Kelab Kesihatan HALUAN (KKH,) paramedik, dan juga wakil-wakil Kelab Siswa HALUAN (HALUANsiswa.)

Program PPMI telah berjaya dilaksanakan di 4 lokasi berasingan, iaitu Ladang Giram Kunak, Kg Hampalan dan Kg Balimbang di Pulau Bum-Bum dan Pulau Larapan di Semporna. Antara aktiviti yang dijalankan dalam program ini termasuklah ceramah kesihatan, ceramah kekeluargaan, pemeriksaan dan juga rawatan Kesihatan kepada lebih 1000 orang penduduk.

Ceramah “Mari Berhenti Merokok” telah disampaikan oleh Dr Rofiah Ali, seorang pakar radiologi dari Hospital Sg Buloh. Beliau telah memberi pendedahan kepada bahaya merokok dan racun yang terdapat di dalam asap rokok serta kesan buruk daripada tabiat merokok. Manakala ceramah kekeluargaan pula telah disampaikan oleh Dr Hj Azizan Ahmad sendiri, yang juga merupakan seorang pakar motivasi kekeluargaan.

Melalui program PPMI ini, relawan-relawan HALUAN telah dapat memberi kesedaran kepada penduduk betapa pentingnya penjagaan kesihatan yang baik dan institusi keluarga yang utuh. 

Acara kemuncak bagi program PPMI adalah pemeriksaan dan rawatan kesihatan yang dijalankan oleh doktor-doktor KKH, di mana sambutan dari penduduk adalah amat menggalakkan sekali. Mereka berpeluang berjumpa dengan doktor secara dekat serta berbincang tentang masalah kesihatan yang mereka hadapi. Di antara penyakit yang sering ditemui adalah penyakit kulit serta kudis di kalangan kanak-kanak, eczema dan allergy, kurap, kutu, dan kekurangan zat makanan. Ada juga dari kalangan masyarakat dewasa yang berhadapan dengan masalah sakit badan dan sendi, tekanan darah tinggi, jangkitan kuman di pundi kencing serta penyakit serius lain yang memerlukan  rawatan lanjut di hospital.

Buat julung- julung kalinya KKH juga telah mengadakan acara sunathon, dimana seramai 32 orang kanak-kanak lelaki terlibat. Acara ini disempurnakan dengan kerjasama Klinik Desa Ladang Giram. Alhamdulillah semuanya telah berjalan lancar dan tiada komplikasi yang berlaku.

Lawatan rumah ke rumah juga dilakukan oleh beberapa orang doktor KKH di Kg Hampalan dan Pulau Larapan. Ada penduduk yang terpaksa mananggung sakit luka kronik akibat kencing manis yang tidak terkawal, jangkitan tulang dan beberapa penyakit serius lain. Kebanyakan mereka memerlukan rawatan hospital, namun disebabkan oleh pengangkutan yang sukar, iaitu terpaksa menaiki bot dan perjalanan darat yang memerlukan kepada kos yang tinggi, menyebabkan mereka terpaksa menanggung sengsara tanpa mendapat rawatan yang sepatutnya di hospital.

Program PKP pula telah dijalankan di sekolah rendah Kebangsaan Gelam-gelam,  Pulau Bum Bum yang melibatkan seramai 70 orang murid-murid darjah 5 dan 6. Program motivasi pelajar ini dilaksanakan  oleh relawan-relawan dari HALUANSiswa yang diketuai oleh saudara Shakir Sabaruddin. Acara penutup PKP telah dilaksanakan oleh Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD.)

Pihak sekolah, guru besar, pegawai PPD dan peserta amat berbesar hati dan teruja dengan program yang dijalankan selama 2 hari tersebut dan berharap program seumpama ini dapat dijalankan lagi dimasa akan datang.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri