Pagi Adalah Hadiah

By | September 27, 2013 at 3:29 pm | 687 views | No comments | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Pagi yang indah, cerah nan aman adalah sebuah hadiah bagi sebuah permulaan kisah hidup kita di saban hari. Anugerah ini hanya mampu dirasai oleh hati yang bersih dan segar dari sebarang kemurungan dan kesuraman. Bermula dari saat kita terjaga dari lena, kemudian sujud kepadaNya dengan mata dan fikiran yang masih samar dan mamai, sebuah janji kita kotai, kemudian kita renung pada langitNya, indah.

Perubahan cahaya pembiasan dari ufuk bumi menukarkan kota yang gelap kepada sebuah daerah yang cantik. Dihiasi bunyi kicauan burung serta hembusan angin nyaman membuai kelenaan tidur sang hambaNya. Kita lihat, kita berfikir dalam setiap satu proses pertukaran dari malam ke siang. Bagaimana setiap tahap ini, mampu memberikan persepsi yang berbeza kepada seseorang?

Terimalah takdirNya.

Dalam setiap helaian nafas kita, tidak lari dari sebuah masalah dan ujian. Seolah ianya adalah ‘pakej’ yang sentiasa kita akan dapat. Tidak dapat tidak, inilah jalan yang harus seseorang hamba lalui sama ada dia beriman atau tidak. Maka, apakah respon kita dan di manakah diri kita? Setiap laku dan ikhtiar yang kita usahakan, semuanya adalah fitrah bagi akal yang waras yakni mengeluarkan diri dari dibelenggu masalah dan kesempitan.

Namun, dalam setiap detik itu harus kita fahami bahawa tidak didatangkan kesusahan tanpa diberikan juga jalan solusi. Dia tidak memberikan sebuah ‘peti’ masalah tanpa di sisi Dia ada ‘kunci’ penyelesaian. Maka, semuanya berbalik pada diri kita bagaimana setiap keringat usaha dan kepayahan yang kita lalui, Allah ada bersama sebenarnya tanpa kita sedari. Begitu juga dengan langit yang cerah kembali selepas tamatnya tempoh malam.

Ujian pasti tiba pada waktunya, tetapi harus yakin bahawa selepas saatnya tempoh itu, kebahagiaan pasti wujud. Pokoknya, apakah respon dan kawalan kita dalam menuju ke sana. Bergembira? Berbahagia dengan ujian? atau kerungutan berpanjangan? Fahami benak hati dan kaitkan dengan penciptaan alam ini.

 

Hasil Karya

Adib Suhor
BA(Hons) in Computer Science, MMU Cyberjaya 

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri