Memanfaatkan Kekuatan Dalam Diri

By | May 14, 2012 at 4:14 pm | 961 views | No comments | Pembangunan Modal Insan

Seringkali kita terbaca dalam akhbar atau majalah, malah turut dipertontonkan menerusi media elektronik mengenai masalah yang sedang melanda masyarakat kita pada hari ini. Iaitu masalah pembangunan diri. Sesetengah masyarakat melihat peluang untuk menjadi insan yang berjaya kelihatan agak tipis. Tidak, sebenarnya kejayaan telah tersimpan dalam diri anda.

Kenali Diri Anda

Berkenalanlah dengan diri anda sendiri. Jika anda belum kenal siapa diri anda, maka anda tidak akan mencintai diri anda. Malah anda akan membiarkan diri anda tanpa dimanfaatkan kelebihan-kelebihan yang tersimpan dalam diri anda. Anda impikan esok lebih baik dari hari ini. Selalu anda impikan untuk menjadi yang terbaik. Terbaik dalam apa jua ruang dan bidang. Tapi jarang anda mencari yang terbaik dalam setiap peluang yang anda ada. Peluang yang tersedia di hadapan mata anda.

Kekuatan Diri Anda

Sebut saja mengenai kekuatan, anda sudah mengarah minda anda untuk mencari kekuatan-kekuatan yang boleh anda senaraikan. Kekuatan memang sangat banyak antaranya, kekuatan ekonomi, ilmu, kecerdikan, sukan, bakat dan sebagainya. Namun bagaimana anda memanfaatkan kekuatan yang anda miliki? Sudahkah anda menggunakannya? Sebahagian anda mungkin ada yang bercita-cita menjadi “polymath”, mengusai segala jenis bidang. Namun sehingga hari ini, sudahkah anda perhatikan sejauh mana pencapaian anda? Apakah anda telah kuasai semuanya atau belum ada lagi yang anda manfaatkan?

Jangan Biar Ia Tersimpan

Ramai yang tersilap dalam mengenal diri mereka sebagai makhluk yang terhebat. Ramai yang menyangka diri mereka tidak berguna buat masyarakat. Pernahkah anda terfikir bahawa anda sebenarnya dilahirkan ke muka bumi, bersama-sama dengan kekuatan? Kekuatan itu memang telah lama anda miliki, hanya saja anda belum cuba untuk mencarinya. Tuhan yang Maha Adil tidak membiarkan anda hidup dengan kekurangan sahaja, sebaliknya menghadiahkan anda kekuatan supaya anda dapat terus hidup. Tidak wajar sekiranya seseorang itu mengatakan bahawa dirinya tidak berguna. Maka kunci bagi kejayaan anda, sebenarnya bermula dari dalam diri anda sendiri. Jika ada kemahuan, pasti Allah sediakan jalan buat anda. Hendak melihat mutiara pun, perlu menyelam mencari tiram.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” Al-Ra’d:11

Anda punyai peluang yang sangat besar untuk mencuba dan mengasah bakat kecil anda. Siapa sangka satu hari nanti, dengan bakat yang kecil itulah nama anda tersebar luas ke seluruh pelosok dunia. Tuhan tidak akan memberitahu masa depan anda, sebaliknya dia membiarkan anda mencari siapa diri anda sendiri. Dia tidak akan memberitahu anda apa akan terjadi esok hari. Sebaliknya dia memberi peluang buat anda memilih siapa yang anda ingin jadi. Amatlah rugi sekiranya anda membiarkan diri anda kosong tanpa ada apa-apa peningkatan. Sekiranya Tuhan memaklumkan pada anda esok anda akan berjaya, sudah pasti anda tidak akan bekerja.

Jangan Pula Dibazirkan

Dan ramai juga yang telah tahu bakat yang mereka ada. Tetapi tidak pula memberi fokus pada bakat yang sedia ada itu. Ini amatlah merugikan. Kekuatan yang ada pada diri sebaiknya diperhati dan terus dimantapkan. Bukan saja diri anda, malah sesiapa saja sekeliling anda dapat mengambil manfaat. Bahagikan masa anda untuk menilai potensi yang anda miliki. Seperti contoh, seorang penuntut aliran sastera yang berbakat dalam bidang fotografi. Bakatnya dalam fotografi tidak patut ditinggalkan. Sebaiknya digunakan bakat tersebut untuk aktiviti di kampus atau apa saja aktiviti yang terlibat. Saya tidak mengatakan anda perlu berhenti belajar. Pelajar tadi masih mampu menjadi pelajar yang cemerlang jika mengurus masanya dengan baik.

Kemana Anda Salurkannya

Apa yang anda harus tahu adalah bagaimanakah cara hendak menggunakan bakat anda tersebut. Sesetengah orang hanya mengisi masa lapang, ada juga yang menggunakannya bagi mencari rezeki atau sebagai mata pencarian mereka. Ini sangatlah dianjurkan oleh Islam. Sekiranya seseorang itu berkemampuan untuk mencari nafkah dengan kekuatan yang dia miliki, maka dia wajib berusaha mencari nafkah hidup.

Namun masih ada jalan yang lebih utama dan lebih penting dapat anda gunakan bakat tersebut. Iaitu jalan yang lebih bermanfaat, keuntungan yang berkekalan, jalan yang dipenuhi kenikmatan, serta dipandang mulia oleh Allah SWT. Anda dapat merasai kesemuanya – nikmat dunia dan akhirat – sekiranya bakat atau kekuatan tersebut digunakan mengikut cita rasa Allah dan berpandukan ajaran Rasulullah SAW. Gunakan bakat anda buat Islam dan masyarakat. Bukan sekadar manfaat buat anda, malah keluarga, masyarakat, negara dan yang lebih utama ialah agama anda sendiri. Mencari ruang dan peluang bagi mengorbankan segala kekuatan anda bagi Allah dan Rasul, bukanlah suatu pelaburan yang merugikan. Seperti contoh, jika anda memiliki bakat sebagai pelukis, gunalah bakat tersebut untuk menghasilkan lukisan-lukisan yang menggambarkan keindahan Islam. Bagi yang mempunyai kekuatan ekonomi,  bantulah meningkatkan ekonomi Islam. InsyaAllah anda pasti dapat merasai kenikmatannya bahkan hati anda bertambah tenang dan kehidupan anda lebih tenteram.

Salah Guna Kekuatan

Banyak jalan yang dapat merugikan kekuatan anda. Seperti contoh menggunakan kemahiran dalam bidang fotografi untuk tujuan kemaksiatan. Fikirkan kembali apakah hasil yang anda dapat dari kerja tersebut adalah hasil yang berkekalan? Sudah semestinya tidak. Jika puas yang anda dapat, maka di akhirat kelak, anda akan kesal. Jika hanya mencari harta, kelak anda miskin di akhirat. Akhirnya setiap titik peluh anda hanyalah penat lelah semata-mata. Akan tetapi jika anda berurus niaga dengan Allah SWT, maka anda akan mendapat pulangan yang menguntungkan diri anda sendiri.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dan membayarnya dengan syurga. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu membunuh atau dibunuh. Itulah janji yang benar yang disebut di dalam kitab Taurat, Injil dan Quran. Sesiapa yang menunaikan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu meterikan itu. Yang demikian adalah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)

Mereka yang sibuk bekerja sambil bermaksiat pada Allah, demi mendapatkan hasil yang terlalu sedikit pada pandangan Allah yang Maha Kaya, maka Allah akan menjadikan hati anda akan terasa kosong. Lama kelamaan, hidup anda tidak lagi tenteram. Dan segala kekuatan yang anda miliki, menjadi kelemahan buat anda sendiri. Dan pada peringkat akhir, anda bukan sahaja terlupa diri anda, malah tidak lagi mengenal siapa diri anda sebenarnya.

Kekuatan yang sebenarnya, adalah apabila anda menggunakan segala nikmat yang Allah berikan pada anda, menurut jalan yang telah Islam gariskan, demi mendapat redha Allah SWT. Hanya dengan jalan tersebut, anda dapat kenal siapa diri anda. Dan dengan jalan itu sahaja, anda dapat peroleh kebahagiaan yang hakiki. Seluruh makhluk bumi dan langit akan mencintai anda. Andai Allah telah mencintai anda, apa lagi yang lebih bernilai dari cintaNya?

Mari kita bermuhasabah bersama. Jangan anda cepat mengalah, dan teruslah mencari kekuatan yang tersembunyi dalam diri anda. Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi kesederan pada diri anda, untuk mengenali diri anda dengan lebih mendalam. Assalamualaikum wbt.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri