Masa

By | May 14, 2012 at 4:17 pm | 598 views | No comments | Pembangunan Modal Insan

Sekiranya anda pernah mendalami ilmu “space and time” (ruang dan masa), anda akan mempelajari beberapa perkara asas dalam ilmu tersebut. Iaitu apabila berlaku sesuatu perubahan pada ruang, sudah pasti ianya berubah bersama masa. Atau sebaliknya perubahan masa itu akan turut diikuti dengan perubahan ruang.

Bagi memudahkan perbincangan kita kali ini, ruang ini saya tujukan pada semua kategori termasuklah fizikal, hati, emosi, akal, dan perbuatan manusia.

Begitu jugalah dengan diri kita. Semakin lama semakin dewasa. Makin tinggi dan makin tua. Makin bijak dan makin mulia. Ada juga yang semakin dewasa, bertambah pula keburukannya. Semoga kita dilindungi Allah setiap saat. Namun apa yang pastinya di sini, ruang itu kita mampu mengawalnya. Tetapi masa tidak sama sekali dapat dikawal, ia tetap bergerak. Sama ada jisim atau ruang itu kekal, mengecil atau membesar. Maka yang terpenting untuk kita kenal sekarang ialah masa itu sendiri.

 

Demi Masa

Masa akan tetap berlalu pergi. Kita tidak akan mampu untuk mendahului masa sebelum tibanya. Tapi kita juga tidak mahu ketinggalannya. Maka kita perlu bergerak bersama-sama dengan masa. Al-Quran tidak menghuraikan makna masa itu dengan panjang lebar. Tetapi lebih kepada membincangkan soal keperluan manusia untuk menjaga masa. Agar kehidupan kita ini tidak terbazir dengan amalan buruk atau sia-sia. Maka memang benarlah masa itu kehidupan. Buktinya jelas ada dalam Kitab Quran, Surah Al-‘Asr yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian”(1-2:Al-‘Asr)

Ayat ini menjelaskan kepada kita akan hakikat penciptaan kita. Pada hari ini, kita masih berada dalam satu ruang. Manusia itu merupakan satu objek ciptaan Allah yang memenuhi ruang. Bagaimana objek itu boleh berada dalam kerugian? Maka kerugian ini sebenarnya berbalik semula kepada masa. Tanpa ada masa, kerugian tidak akan wujud. Bahkan kebaikan juga tak pernah muncul tanpa adanya masa. Maka setelah adanya masa, maka wujudlah kerugian. Dua ayat ini memang cukup untuk membuktikan bahawa manusia memang dalam kerugian. Andai tiada ilmu dari Allah akan peranan kita dalam memenuhi ruangan angkasa ini, maka kita memang sedang dalam kerugian. Akan tetapi Allah Maha Bijaksana, Maha Penyayang telah menurunkan satu lagi ayat bagi melengkapkan surah Al-‘Asr ini dengan menyatakan peluang bagi manusia agar tidak terus berada dalam kerugian. Firman Allah yang bermaksud:

“Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”(3:Al-‘Asr)

Empat perkara yang akan menjaga masa kita dari kerugian kepada keuntungan:

Iman

Amal soleh

Nasihat pada kebenaran

Nasihat pada kesabaran

 

Alam Kubur: Ruangan Dari Amal

Harus kita ingat bahawa perubahan masa itu akan berlakunya perubahan pada ruang dan jisim. Seperti kita, makin hari makin tua. Sampai bila kita akan hidup atas muka bumi ini? Sudah ternyata kehidupan ini bakal berakhir dengan kematian. Dari ruang galaksi ini kita berpindah ke alam barzakh. Alam kubur yang juga mempunyai ruang. Ruang galaksi ini bergantung pada perubahan fizikal. Akan tetapi ruang kubur ini bergantung pada amal kita di dunia. Ruang kubur ini termasuklah keluasan kubur, keindahan kubur dan kehidupan kita di kubur kelak. Sama ada ia menjadi taman syurga atau lubang neraka. Masa terus berlalu, perubahan berlaku. Saya sentiasa berharap agar semua muslim dan bukan muslim pada hari ini, yang masih berada dalam ruang dunia ini, melalui satu perubahan yang baik. Masa tidak akan berhenti. Tugas kita adalah memenuhi ruangan bumi ini dengan amal-amal yang baik supaya menjadi bekal untuk ruang akhirat kelak.

Beramallah mengejar redha ALLAH walaupun pahit

Sedarlah Masa Kian Menghimpit

Masa di dunia terus bergerak. Kita semakin tua dan bakal pergi meninggalkan dunia yang telah banyak menipu kita. Kita hari ini melihat terang-terang dengan mata kita, masa berubah maka jisim kita juga berubah. Nenek moyang kita semuanya telah meninggal dunia. Kesedaran masih belum menghinggap diri kita untuk berubah ke arah kebaikan. Kita berpendapat bahawa di ruang dunia ini, kita perlu menghabiskan masa dengan kebahagiaan. Namun tafsiran bahagia masyarakat hari ini ternyata silap. Kebahagiaan di dunia sepatutnya merupakan kebahagiaan yang dapat di sambung di akhirat kelak. Maka masa dibazirkan begitu saja. Sedangkan para ilmuan semuanya mengharapkan agar masa itu digandakan supaya dapat mereka mencari ilmu. Tetapi masyarakat ‘moden’ hari ini meminta masa yang lebih supaya dapat berhibur dengan amal sia-sia sahaja. Kita menyangka diri kita moden, tetapi kemodenan itu menghapuskan ketamadunan kita. Akibat dari jahilnya kita tentang apa itu masa, jadilah kita manusia yang hanya beramal sambil lewa. Akhirnya dunia ini menghimpit kita sehingga sesak dan tenggelam dalam lautan duniawi. Dunia ini menjadi dinding bagi kita untuk melihat ruangan akhirat yang jauh lebih indah.

 

Ruangan Akhirat Lebih Indah

Kita telah tahu bagaimana kehidupan di akhirat kelak. Masa yang kekal selamanya. Di akhirat kelak tak perlu lagi menghitung hari. Kita kekal dengan umur yang sama di sana. Yang berbezanya di sana, hanya ada dua negeri sahaja. Syurga atau neraka. Jika neraka tempat akhir kita, rugilah ruang dan masa kita di dunia ini. Tetapi jika syurga menjadi negeri anda, tahniah! Anda telah berjaya pulang ke kampung halaman, tempat asal usul anda. Tempat nenek moyang anda. Tempat para Nabi yang mulia. Ruang akhirat dan masa di sana memerlukan penjelasan yang lebih panjang. Namun apa yang saya dapat simpulkan tentang syurga, ianya tempat yang “Unidentifiable Happiness”. Kebahagiaan itu adalah pasti, hanya kita tidak dapat mentafsirkan betapa hebatnya bahagia tersebut. Seandainya nikmat syurga itu diletakkan di muka bumi, bumi akan hancur serta merta. Maka untuk masuk ke syurga, kita wajib mati terlebih dahulu. Setelah mati, barulah kita akan dapat tubuh yang baru, yang layak melangkah ke syurga. Dengan rahmatnya kita kekal bahagia.

“Kenapa takut dengan mati? Sebab banyak dosa. Sebab cinta dunia, banyak benda masih belum rasa”(1)

Pernah satu masa dahulu saya terbaca kisah Khalifah Umar Abd Aziz r.a. Lantas timbul cinta dalam hati saya untuk mengikuti peribadi beliau. Namun saya merasakan seolah-olah cinta saya ini tidak sempurna. Saya terus mencari puncanya, namun masih belum terjumpa. Sehinggalah satu hari saya berazam untuk bertemu dengan orang-orang hebat di syurga nanti, seketika itu juga bunga cinta pada Umar Abd Aziz terasa mengembang di hati saya. Haruman cinta ini tersebar di alam dunia yang sebentar ini. Selagi masa terus bergerak, saya yakin saya akan pulang juga ke sana. Hanya Allah yang menentukan sama ada layakkah saya untuk bertemu dengannya. Yang pastinya, selagi kita belum ada cita-cita untuk mati, selagi itulah hati kita tidak akan tenteram.

 

Masa Yang Kian Singkat

Kepada pembaca yang saya cinta dan kasihi kerana Allah. Apa gunanya kita bersama di dunia sebentar tapi berpisah selamanya di akhirat. Satu perkara yang menghancurkan hati saya, apabila saya melihat lelaki dan wanita yang bermaksiat sebelum berkahwin. Mereka menganggap mereka telah sampai pada darjat cinta yang agung. Bibir mereka melontarkan kalimah cinta, yang baitnya dapat melunturkan hati yang tidak beriman pada hari akhirat. Sungguh terbazir usia mereka ini.

Masa pasti meninggalkan kita tanpa boleh berpatah balik

“Biarlah cinta kita kekal selamanya” Inilah ungkapan yang paling terkenal dalam kalangan ‘couple’ hari ini. Saya terganggu dengan ucapan ini kerana mereka tidak tahu bagaimana hebatnya kisah cinta Adam dan Hawa. Ketika Adam tidak mampu menahan nafsunya untuk mendekati Hawa, lantas Allah meminta agar dilangsungkan upacara perkahwinan. Soal kahwin ini telah wujud sekian lama di syurga. Amal yang wujud di syurga, bermakna amal tersebut amal yang paling bahagia. Namun mereka yang berlagak ‘cinta’ ini telah merosakkan nilai cinta yang hakiki. Mereka ingin kekal sampai ke syurga, tetapi enggan dan ingkar dari mengikut cara yang paling bahagia ini.

Ini baru soal cinta manusia, belum lagi amalan-amalan yang lain. Amal-amal yang lebih besar dari kehidupan. Amal yang menentukan soal masa depan generasi di bawah kita.

 

Hadapi Masa Dengan Sabar

Masa terus bergerak. Musuh terus menerus merancang untuk merosakkan cucu-cicit kita. Generasi masa depan bergantung pada kita. Kebahagiaan masa depan bermula dari keperitan di hari ini. Sabarlah dalam memperjuangkan hidupmu demi mencapai redha Allah. Nikmat yang tak mungkin dapat dibandingkan lagi. Nikmat Iman dan Islam. Andai dua nikmat ini dicabut dari kita, nescaya hancur binasalah muka bumi ini. Buktinya ada di hadapan mata anda hari ini. Pemuda hari ini jika ditanya “Sukakah anak anda bermaksiat dengan orang lain?”, maka mereka akan marah dan melenting. Tetapi jika mereka berpeluang untuk bermaksiat, mereka langsung melayan nafsu mereka. Bersabarlah wahai pemuda, anda sudah menjadi pemuda, dan anda masih lagi muda. Di zaman kanak-kanak khidmat anda sangat terhad. Di masa tua, tubuh anda perlukan rehat. Semasa pemuda inilah anda terus bersemangat. Salurkan semangat anda jangan sampai terlaknat.

 

“Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka ( mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya ) dengan syurga dan ( pakaian daripada ) sutera.”(12:Al-Insan)

 

Jangan telantarkan, dan jangan salahgunakan hidupmu.

Sepanjang abad, Waktu bersaksi bahawa tak ada yang tinggal

Kecuali Iman dan Amal, dan ajaran Kebenaran

Dan ajaran Kesabaran serta Ketabahan.

Namun bagaimanapun, Manusia akan takluk kepada Waktu!(2)

 

———————————————————————————————————————————————

(1)Hilal Asyraf, Batu-Bata Kehidupan – “Aku Masih Mahu Hidup” Topik yang menjelaskan tentang bagaimana wujudnya perasaan takut kepada mati serta bagaimana kaedah merawat penyakit ini.

(2) Rujukan dari Tafsir Yusuf Ali – Surah Al-‘Asr

Nukilan : Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri