Luruskanlah Akhlak Dengan Empat

By | July 23, 2012 at 3:41 pm | 753 views | No comments | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Akhlak merupakan warna kehidupan bagi seseorang individu, keluarga, serta kelompok masyarakat. Segunung lampiran sirah telah melakarkan keindahan watak junjungan mulia Muhammad SAW, yang mempamerkan akhlak Baginda. Akhlak yang mampu menenang mata serta memikat jiwa bagi yang memerhati gerak geri perjalanan Baginda. Dan semestinya akhlak itu perlu terus kembali kepada Baginda Rasulullah yang memang dipilih sebagai contoh bagi seluruh umat.

Akhlak itu adalah perwatakan yang ditampilkan secara sedar atau tidak sedar. Sama ada yang dilatih ataupun sudah menjadi kebiasaan. Mungkin ada dari kalangan kita yang telah dididik sejak dari kecil dengan perilaku yang mulia, sehingga menjadi darah dagingnya. Sehingga terasa aneh baginya untuk mempamerkan watak yang kurang sopan. Namun ada segelintir dari kita yang belum sampai pada tahapan akhlak yang cukup untuk dikatakan indah. Menyebabkan golongan ini terpaksa berusaha sedaya upaya mengukir perwatakan indah tersebut. Bagi yang belum sampai pada peringkat kebiasaan ini, ia akan terdedah pada rintangan dalam melaksanakan akhlak muda. Namun halangan-halangan tersebut bukanlah merupakan satu titik henti dalam pendidikan akhlak. Malah halangan ini jika dihadapi secara bijak, akan mendidik seseorang itu menjadi lebih dewasa.

Di sini suka untuk saya kongsikan bersama anda mengenai peringatan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukmin yang menerangkan perkara dasar bagi akhlak.

1.Hikmah (kebijaksanaan)
2.Syajaah (keberanian)
3.Iffah (kebersihan jiwa)
4.Adl (keadilan)

Sebenarnya inilah yang menjadi kekuatan dasar dalam melaksanakan akhlak mulia sepanjang perjalanan hidup kita seharian. Akhlak itu dituntut tanpa mengikut waktu-waktu spesifik sebaliknya ia akan terlaksana pada setiap keadaan dan situasi tanpa kita duga. Maka perkara yang perlu kita ingat adalah persiapan diri kita terhadap 4 perkara di atas. Dan 4 perkara ini perlu ada dalam diri kita setiap masa. Ketika dasar akhlak ini telah tertanam dalam jiwa kita, maka akan tumbuhlah pohon akhlak yang rendang, yang melindungi sesiapa sahaja yang tumpang berteduh di sekeliling kita.

Ketika kita berilmu serta berhikmah, kita mampu untuk membezakan suasana-suasana tertentu, serta mampu untuk mengaplikasikan akhlak serta tindakan yang sesuai mengikut situasi tertentu. Seterusnya adalah keberanian dan kekuatan yang merantai jiwa kita agar tidak gentar dan tidak merasa janggal untuk mempamerkan akhlak mulia. Kita beramal bukan kerna manusia tapi kerna Allah. Maka jangan kita merasa segan silu untuk hendak berakhlak mulia.

Pernah satu ketika ada segolongan manusia beranggapan bahawa niat untuk mempamerkan akhlak itu adalah salah satu cabang riya’ dan takbur. Hal ini adalah sangat menyimpang dari peranan ‘qudwah hasanah’. Ketika kita mempamerkan akhlak kita, niatlah dalam hati kita supaya orang lain juga mampu mengikuti langkah baik kita, agar orang lain tidak mengikuti contoh-contoh buruk, berniat untuk mngembalikan semula sunnah Rasulullah SAW dalam menjadi contoh sahsiah terbaik. Maka ia tidak menjadi halangan bagi anda untuk melaksanakan akhlak-akhlak terpuji.

Kekuatan yang seterusnya adalah memiliki hati yang bersih dari sebarang kotoran. Hati yang mampu dimasuki cahaya hidayah. Hati yang senantiasa memberi ruang kepada kebaikan untuk diisi ke dalamnya. Maka akan terbentuklah karakter seorang hamba Allah yang berperibadi mulia. Hati yang bersih sahaja mampu mengawal setiap tindakan mengikut garisan keimanan. Dan yang terakhir sekali adalah keadilan dalam memutuskan sesuatu tindakan sebelum melaksanakannya. Setiap amal adalah menurut kesesuaiannya. Apatah lagi akhlak yang seringkali melibatkan hak-hak orang lain. Maka keadilanlah yang akan menentukan tindakan yang paling tepat untuk dilaksanakan. Sekalipun kita bijak, namun tanpa memiliki sifat adil akan menyebabkan tindakan kita tidak sesuai pada sesuatu situasi.

Keempat-empat perkara di atas selayaknya menjadi peringatan yang sudah cukup untuk menyedarkan jiwa dan minda kita dalam berusaha meningkatkan kualiti akhlak. Penghalang dalam amal kebaikan itu adalah ketikamana kita telah hilang kebijaksanaan, keberanian, kebersihan jiwa serta sikap adil dalam diri. Semua sifat ini mampu kita didik secara berperingkat. Mulakan dari sekecil-kecil amal sebelum beralih kepada amal yang lebih besar. Semoga Allah mempermudahkan jalan orang-orang yang ikhlas dalam melakukan perubahan.

Orang yang beriman itu akan selalu diuji keimanannya dengan jalan kepayahan. Maka beruntunglah bagi mereka yang memilih jalan kepayahan itu. Dan rintangan di tengah perjalanan itu bukanlah satu arahan agar berhenti. Sesuatu yang luar biasa itu hanya akan terjadi setelah kita meninggalkan kebiasaan.

Nukilan : 
 Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir
Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan ,
UTHM , Johor
Photo :  http://www.liveyourseoul.com/

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri