Lupa Nak Cantik Depan Allah

By | October 11, 2012 at 11:05 am | 1,007 views | No comments | Artikel Bacaan, Pengalaman & Iktibar

Situasi 1:

Kring!
Kring!

“ Wah, Hawa! Cantiknya… Nak pergi mana? ”
“ Nak jumpa kawan kejap kat luar… Dia telefon tadi. ”

Hawa berjalan keluar rumah dengan pakaian yang cantik, wangi dan senyuman yang ceria.
Hawa berjumpa dengan rakan-rakannya dengan hati yang sangat gembira.
Rakan-rakannya juga selesa bersamanya kerana dia selalu bersih, wangi, cantik dan kemas.

Situasi 2:

Allahuakbar!
Allahuakbar!

5.50 pagi

“ Hawa, bangun Subuh… Dah azan tu…”
“ 5 minit…”

6.30 pagi

Hawa bangun dari tidurnya dan terus ke bilik air.
Hawa mengambil wuduk dan terus menunaikan solat Subuh.
Seusai menunaikan solat, Hawa merebahkan diri semula ke ranjangnya.

10.00 pagi

Hawa bangun untuk melakukan aktiviti sehariannya; belajar, makan dan sebagainya.
Hawa mengambil tuala dan pergi membersihkan dirinya.
Seusai mandi, kawannya menyapa:
“ Hawa, dalam sehari berapa kali kamu mandi?”
“ Kalau tak ada pergi mana-mana, sekali dah cukup. Sebab tu saya mandi lambat sikit. Sebab, bukannya kotor sangat pun. Paling banyak pun, dua kali dah cukup. Tu pun, kalau panas, badan tak selesa.”

***

Selalu terjadi kepada diri anda?
Pernah berlaku kepada diri anda?

Terdetik di hati saya untuk bertanyakan sesuatu kepada anda…

Kenapa kalau kita nak jumpa seseorang, tak kira kawan, saudara-mara mahupun pergi ke kelas, kita kena wangi, cantik, kemas dan bersih?

Tetapi, kalau kita nak jumpa Allah, kadang-kadang kita tak

kisah pun kalau kita ni tak bersih, selekeh, tak wangi… Kenapa?

Pernah tak terdetik di fikiran anda tentang perkara ini?

Remehkan?
Kerana itulah kita sering terlepas pandang bukan?
Kerana kita dan terbiasa atau kita tidak sedar.

Kebersihan adalah antara perkara yang diutamakan dalam Syariat Islam. Firman Allah SWT dalam Al Quran:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Surah Al-Baqarah, ayat 222)

Sesungguhnya, Allah suka akan kebersihan.
Namun, kita sering lupa untuk cantik ketika berjumpa dengan Allah.
Kita sering lupa untuk tampak kemas ketika hendak berhadapan dengan Allah.
Kita sering alpa untuk wangi pabila berjumpa dengan Allah.

Tapi, kita tak pernah lupa untuk cantik jika ingin berjumpa dengan rakan-rakan.
Kita tak pernah lupa untuk pakai minyak wangi ketika hendak keluar dari rumah.
Kita tak pernah lupa untuk tampak kemas jika ingin keluar bersama rakan.

Kita tak pernah lupa itu semua kan?

Tapi, kenapa kita sering lupa untuk nampak, bersih dan cantik pabila nak berjumpa dengan Allah?

Bukankah kebersihan juga ada kaitannya dengan keimanan?
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. (HR Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya” dan sabdanya lagi dengan maksud:
‘Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak (Riwayat at- Tabarani).

Para ulama’ juga telah memberikan perhatian yang penting tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab fiqh dengan bab taharah iaitu kebersihan.

Ini membuktikan bahawa Islam, para nabi dan para alim ulama’ telah mengambil berbagai inisiatif untuk memberikan kefahaman bahawa menjaga dan mengamalkan kebersihan adalah penting dan sangat dituntut oleh agama kita yang Maha Suci.
Bukan tidak boleh nampak cantik di hadapan orang, tapi biarlah kita juga cantik ketika berjumpa dengan Allah. 😉
Bukankah itu lebih sempurna?

Umat yang beriman, peribadi yang beriman dan keluarga yang beriman pasti tidak sekali-kali akan mengabaikan kebersihan diri, rohani, jasmani, masjid, rumah, kedai, makanan minuman dan halaman persekitarannya. Mudah-mudahan hidup kita, anak isteri, ahli keluarga, jemaah dan masyarakat kita akan lebih sihat, segar, ceria dan bahagia dengan menjaga serta membudayakan kebersihan bermula dari rumah, insyaAllah.

Perbaiki diri, tingkatkan amalan, perbanyakkan ibadah. 😉

Maaf jika ada yang terasa.
Yang baik segalanya datang daripada Allah.
Yang buruk datang daripada kelemahan diri saya sendiri.

 

Nukilan :
Syaza Syafeeqah Bt Mohammad Khasnan
Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak,
Universiti Pendidikan Sultan Idris , Tanjung Malim

 

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri