Liga Futsal Remaja HALUAN Gombak 2010

By | May 14, 2012 at 4:06 pm | 460 views | No comments | KeARAH Wilayah Tengah

GOMBAK, 28 Disember – Alhamdulillah, Liga Futsal Remaja HALUAN anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Gombak, telah berjaya diadakan buat julung kalinya pada 28 Disember 2010 bertempat di Sinamax Sports Centre, Sri Gombak, Batu Caves. Seramai 35 orang remaja lelaki berumur antara 12 hingga 18 tahun dari daerah sekitar Gombak telah menyertai liga futsal ini dengan tema ‘Riadhah Towards Ibadah’.

Menurut Pengarah Projek, Saudara Mughirah Shahir Bin Riduan, program ini bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada peserta mengenai skop ibadah dalam ISLAM yang merangkumi segala aspek dalam kehidupan termasuklah bersukan. Kefahaman mengenai konsep ibadah yang syumul inilah yang akan berjaya membentuk remaja menjadi hamba Allah yang sentiasa mengamalkan Islam sebagai cara hidup mereka didalam segenap aktiviti seharian mereka.

Disamping itu, tujuan liga futsal ini diadakan adalah bagi menyediakan suasana yang soleh bagi para peserta untuk melakukan aktiviti riadhah dan merangsang mereka untuk mengisi masa cuti mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah selaras dengan tuntutan syara’.

Pertandingan futsal kali ini dijalankan secara liga dimana lapan pasukan telah bertanding dengan bersungguh-sungguh bagi menobatkan pasukan mereka sebagai pemenang. Setiap pasukan yang bertanding dinamakan mengikut nama-nama peperangan di zaman Rasulullah s.a.w seperti Badar, Uhud, Khandaq, Hunain, Yarmouk, Qadisiyah, Khaibar dan Mu’tah. Penamaan pasukan ini secara tidak langsung mengajak peserta untuk mencontohi semangat juang Nabi s.a.w serta sahabat-sahabat untuk dihayati dan diterjemahkan sepanjang pertandingan.

Menurut Ketua Projek Liga Futsal ini, Saudara Syed Zulfaqar Bin Syed Mohd Khair, sambutan yang diterima oleh peserta sekitar Gombak ini sungguh menggalakkan dimana mereka kelihatan ceria, bersemangat dan saling memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan program yang dijalankan. Bagi peserta, liga futsal yang diadakan ini telah berjaya memberi banyak manfaat bagi mereka terutamanya dalam berinteraksi sesama rakan dengan baik dan meningkatkan ukhuwwah antara mereka.

Pertandingan bermula seawal jam 10 pagi dan berlangsung selama dua jam. Syarat pertandingan adalah setiap pasukan perlu melaungkan takbir apabila gol dijaringkan dan jaringan akan dibatalkan jika tiada takbir kedengaran. “Selalunya apabila pemain berada diatas padang mereka akan rasa dirinya besar mungkin kerana mereka memiliki skil yang hebat ataupun tubuh yang sasa. Akan tetapi dalam liga kali ini, laungan takbir menjadi pencetus kepada rasa rendah dalam diri kerana kita sebagai manusia sebenarnya amatlah kecil dan hakikatnya adalah ‘Allahuakbar’ iaitu Allah yang maha besar”. Aspek kemurniaan akhlak amat diterapkan dalam liga ini dimana remaja diajak agar sentiasa memelihara akhlak baik dari segi percakapan maupun interaksi kerana inilah antara prasyarat permainan mereka diterima oleh Allah sebagai ibadah.

Liga Futsal Remaja HALUAN kali ini dimenangi oleh pasukan Yarmouk yang diketuai oleh saudara Hafizz Ikmal dimana pasukan mereka telah berjaya mengalahkan pasukan Khaibar sebanyak 2 gol berbalas satu pada peringkat akhir pertandingan. Semasa sesi kalimah akhirah, saudara Mughirah Shahir mewakili HALUAN Gombak mengingatkan para peserta untuk menghargai nikmat ukhuwwah yang telah terbina antara peserta sepanjang pertandingan berlangsung. “Walaupun mungkin berlaku sedikit ketegangan semasa kita bermain, namun ruh ukhuwwah itu haruslah kita sematkan dalam hati kita kerana nikmat ini adalah tidak ternilai dan sangatlah berharga” pesan beliau kepada para peserta. Hadiah disampaikan kepada pemenang dan program bersurai sekitar jam 1.00 petang.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri