KMK Wilayah Tengah Dedah Kepimpinan

By | May 14, 2012 at 3:57 pm | 486 views | No comments | KeARAH Wilayah Tengah

Hulu Langat, 5-6 Disember – Seramai 88 remaja lelaki dari sekitar Lembah Klang menimba pengalaman baru yang sangat bermakna sepanjang mengikuti Kem Minda Kreatif (KMK) Wilayah Tengah  di Kem an-Naim, Sungai Gahal di sini. Program KMK anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) yang julung kali diadakan di Lembah Klang ini memuatkan pengisian yang membina jati-diri dan kemesraan di kalangan peserta melalui pelbagai aktiviti luar dan juga penyampaian kuliah.

Antara aktiviti-aktiviti luar yang telah diadakan termasuklah XPDC Tarbawi Hutan Simpan Gahal, pertandingan membuat rakit buluh dan lumba rakit, dan wargame. Di samping itu peserta turut disajikan dengan penyampaian kuliah khas bertajuk “Keremajaan: Ibrah dari Palestin” yang telah disampaikan oleh Pengerusi Biro HALUAN Palestin, Tn Hj Norazman Shamsudin. Mereka juga dapat mengikuti kuliah yang menyentuh tentang “10 Sifat Muslim,” yang telah dibentangkan oleh Ustaz Adni Abd Razak, seorang pendidik dari Sekolah Menengah Ibn Khaldun, Shah Alam.

Dalam ucapannya di majlis penutup kem tersebut, YDP HALUAN Selangor, Prof. Dr. Nik Mu’tasim Abdul Rahman, menyatakan keterujaan beliau dengan sambutan peserta terhadap kem ini walaupun pertama kali diadakan. Beliau turut mengulas mengenai perbezaan ranjau hidup remaja dahulu dan sekarang, dan menyebut betapa beruntung remaja hari ini lantaran pelbagai peluang dan pendedahan yang dapat mereka nikmati berbanding dahulu.

Sementara itu, ibubapa peserta menyatakan penghargaan mereka kepada KeARAH kerana memberi kesempatan kepada anak-anak mereka mengikuti kem kali ini. Mereka melahirkan rasa kegembiraan di atas perubahan positif yang berlaku kepada anak-anak mereka. Manakala bagi anak-nak remaja yang berjaya mengikuti KMK ini, mereka tidak sabar-sabar untuk menyertai program-program anjuran KeARAH yang akan datang.

Alhamdulillah. Semoga program-program yang mendidik hati ini dapat terus direncanakan demi melahir pemimpin-pemimpin kita pada masa hadapan. Sekalung tahniah dan terima kasih diucapkan kepada 15 fasilitator mahasiswa daripada institusi-institusi pengajian tinggi dari Johor, Selangor dan Kuala Lumpur yang bekerja keras membantu menjayakan program ini.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri