KMK Perlis 2012 : Kenangan Indah Penuh Ibrah

By | December 2, 2012 at 7:30 am | 1,321 views | No comments | Berita, KeARAH Wilayah Utara

KANGAR – Sebuah program berunsurkan motivasi dan kepimpinan berlandaskan Islam telah dianjurkan oleh Kelab Remaja Haluan (KeARAH) Perlis pada 25-27 November 2012 yang lalu di Semarak Resort, Batu Pahat, Perlis. Kem ini mensasarkan para pelajar dari seluruh negeri Perlis yang berusia antara 12 tahun hingga 16 tahun sebagai pesertanya dan KMK kali ini disertai oleh 105 orang peserta yang melibatkan 63 orang peserta lelaki dan 42 orang peserta perempuan. Pembukaan Kem Minda Kreatif (KMK) Perlis dirasmikan oleh Dr Zakaria bin Abdul Wahab, seorang Pensyarah Universiti Malaysia Perlis. KMK Perlis kali ini diketuai oleh Muhammad Hanan bin Khairul Anuar sebagai Pengarah Program dan Muhammad Hazmin b. Zolkapli sebagai Komandan Kem.

Bermatlamatkan mendidik peserta dengan kefahaman dan kesedaran Islam dan membina kecintaan kepada Allah dan rasul, KMK Perlis 2012 kali ini telah menggabungjalinkan aktiviti indoor dan outdoor dengan modul-modul berbentuk simulasi yang mudah difahami oleh para peserta. Selain daripada itu, KMK Perlis juga berhasrat untuk membina jati diri remaja dan memberi motivasi ke arah pengurusan diri yang baik. Justeru jadual yang padat dan peraturan kem yang jelas diberikan kepada para peserta untuk mendidik mereka dengan pengurusan diri dan masa yang efisyen. Barang amanah dan denda tarbawi juga dikenakan bagi melatih para peserta akan kepentingan menjaga perkara yang wajib seperti solat, sikap bertanggungjawab dan amanah dan sebagainya.

Caterpillar

Tirai KMK Perlis bermula dengan majlis perasmian dan diikuti dengan slot pengenalan bersama Komandan Kem dan barisan fasilitator. Para peserta diperkenalkan dengan kod keselamatan, kod arahan dan kod wisel yang akan digunakan sepanjang kem. Slot seterusnya terus meriah dengan sessi ‘ice breaking’ dan ‘team building’ yang dijalankan secara berasingan antara pelajar lelaki dan perempuan. Antara aktiviti yang dijalankan untuk memecahkan rasa kekok dalam kalangan peserta ialah ‘3, 2, 1 Pecah, Jet Identiti, Inpulse dan Menjejak Penjaga Kalung manakala aktiviti yang dilaksanakan bagi memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan pula ialah Kau Kerusiku, Human Web, Caterpillar, Si buta berjalan-jalan dan yang paling menarik perhatian ialah The Music Cup.

 Fasilitator menunjukkan cara bermain ‘The Music Cup’

Selepas usai solat Asar secara berjemaah, para peserta lelaki meneruskan aktiviti slot KMK Versus 1 dengan permainan Dodge Ball manakala peserta perempuan pula menghadiri slot Melakar Memori. Setelah selesai dengan pelbagai aktiviti yang menguji minda dan ketangkasan fizikal peserta, slot pengisian rohani pula disajikan buat hati nurani para peserta menerusi slot KMK Wahbah 1 dengan tajuknya ‘Siapa Aku’ yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Muhtad bin Yusuff. Hari pertama berakhir dengan refleksi daripada Komandan Kem dan bacaan surah al-Mulk.

KMK Perlis hari kedua bermula dengan Qiyamullail dan solat subuh serta bacaan al-mathurat. Para peserta puteri melakukan regangan pagi dengan permainan ala bola jaring yang menggunakan belon air bercampur tepung yang diberi nama ‘Naughty Ball’. Selepas sarapan pagi, semua peserta berkumpul untuk taklimat KMK Rush dan KMK Super Chef Grill yang berlangsung serentak dengan perbezaan peserta mengikut gender. KMK Rush merupakan aktiviti eksplorace mengembara di sekitar Batu Pahat untuk menyelesaikan tugasan di setiap check-point. Setiap check point dilengkapi dengan aktiviti dan refleksi yang berkaitan dengan 10 Muwasafat Tarbiyyah.

Check point ‘ Jerangkap Samar’

Semangat peserta puteri dalam menyelesaikan setiap tugasan wajar dipuji kerana kesabaran dan kesungguhan mereka merentas denai dan jalan di Batu Pahat mencari check point tanpa sebarang keluhan. Check point paling menarik ialah di check point inovasi apabila peserta perlu mencari bahan-bahan untuk membina sesuatu yang dapat menampung berat sekotak air di dalam air selama dua minit. Kemudian setiap ahli kumpulan perlu bersatu untuk mencari klu ke checkpoint seterusnya dengan menyelam di dalam air mencari belon yang mengandungi klu di dalamnya.

KMK Super Chef Grill pula merupakan pertandingan memasak yang telah diubahsuai dan dimasukkan unsur ‘ Amazing Race’ apabila peserta perlu menyelesaikan tugasan di check point tanpa fasilitator mengikut kepantasan masing-masing sebelum mendapat bahan dan peralatan untuk memasak. Peserta diminta untuk memanggang ayam dan mencipta resepi sos pencicah yang terbaik dalam sejarah KMK Perlis. Para peserta kelihatan teruja untuk menghasilkan ayam panggang yang paling sedap walaupun ramai dalam kalangan mereka yang tidak pernah masuk ke dapur sebelum ini. Ternyata hasil masakan yang dihasilkan tidak mengecewakan.

Super Chef Grill

Setelah berpenat lelah di siang hari, slot malam diisi dengan aktiviti minda menerusi slot KMK Versus 2 iaitu debat antara kumpulan dengan tajuk ‘ Krisis Identiti Remaja : Tanggungjawab Siapa?’. Sidang pleno yang dipengerusikan oleh Fasilitator Danial Afiq Adnan berjaya mencungkil perasaan dan pendapat peserta berkaitan dengan isu yang dibangkitkan. Dewan hangat dengan keriuhan peserta menegakkan hujah masing-masing. Kemunculan seorang ibu sebagai celahan kepada pendapat sidang sangat menyentuh hati apabila pendapat yang dilontarkanya membela semua ibu bapa dengan menyatakan bahawa setiap anak tidak berhak mencari salah ibu dan bapa yang sentiasa memberikan kasih sayang dalam membesarkan anak-anak. Malam kedua KMK Perlis berakhir dengan bacaan surah al-Mulk.

Hari ketiga disingkap dengan barisan saf jemaah Subuh yang diimamkan oleh Komandan Kem sendiri yang mengalunkan bacaan surah al-Qiyamah. Peserta dihidangkan dengan pengisian rohani yang kedua menerusi Slot KMK Wahbah II yang disampaikan oleh Cikgu Azmi b. Bahari dengan tajuknya Siapa Aku. Sessi ini sarat dengan perkongsian dan motivasi untuk merubah diri ke arah yang lebih baik. Slot Mini KMK Versus dijalankan setelah peserta selesai sarapan pagi . Slot ini menguji kerjasama dan kekreatifan peserta di dalam kumpulan masing-masing menerusi permainan ‘Ulat Lompat’, ‘Stand Up’ dan ‘ The Newspaper Bridge’. Menerusi slot ini adik-adik perlu menghasilkan sebuah jambatan yang kukuh dan menarik serta dapat menampung sejumlah marker pen dan dibawahnya boleh dilalui oleh sebotol Ridsect.

 

 Siapa Aku bersama Cikgu Azmi Bahari

Selesai slot ini, para peserta bergerak bersama fasilitator kumpulan masing-masing ke lokasi pilihan sendiri untuk sessi refleksi sepanjang kem dan kemudian melakukan ‘amal jamaie’ di sekitar kawasan Semarak Resort. Kemudian, peserta membuat persiapan diri dan bersedia untuk majlis penutup. Majlis Perasmian Penutup diceriakan dengan tayangan video sepanjang kem, persembahan ‘The Music Clap’ dan pernyampaian sijil serta hadiah kepada para peserta dan kemudianya dirasmikan oleh Tn Hj Mohamad Adi b. Ismail. Dengan berakhirnya majlis perasmian penutup maka tirai KMK Perlis 2012 diturunkan buat sementara waktu menanti KMK Perlis 2013 akan datang.

Pelbagai reaksi positif diterima daripada para peserta menerusi borang soal selidik. Terdapat seorang ibu kepada dua orang peserta lelaki menyatakan bahawa KMK Perlis 2012 telah meninggalkan kesan kepada anaknya yang sebelum ini enggan hadir ke KMK. Beliau mengharapkan pihak penganjur agar dapat membuat program susulan sebagai penerusan kepada jambatan hati yang telah terbina antara anaknya dan para fasilitator. Program berfasa juga diharapkan bagi terus membentuk remaja menjadi insan yang bertanggungjawab terhadap agama, komuniti, keluarga dan diri sendiri. Menurutnya lagi remaja hari ini perlu kepada seseorang yang mereka yakini dan tidak malu berkongsi cerita kerana kadang-kadang remaja lebih senang mendengar nasihat daripada mereka yang bukan dalam kalangan ahli keluarga.

Respon baik yang diterima tidak menjadi kayu ukur kepada kejayaan sesebuah program kerana kesannya wajar dinilai dalam tempoh jangka masa yang agak panjang. Justeru program susulan harus dirangka bagi meneruskan ikatan hati dengan para peserta dan program terdekat selepas KMK Perlis ialah ReAKTIF yang bakal dilaksanakan dalam bulan Disember yang akan datang. Kem bertemakan Remaja Kontemporari Mencorak Identiti selesai dengan pelbagai rasa bercampur syukur kerana tiada kejadian yang tidak diingin berlaku. Sehingga berjumpa lagi di tahun hadapan !
KMK ! Kami Remaja Cemerlang.

Barisan peserta & urusetia lelaki

 Barisan peserta & urusetia perempuan

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri