Kenali Imam Nawawi – Faqih Syafi’i Kenamaan

By | January 6, 2013 at 11:12 pm | 1,378 views | No comments | Artikel Bacaan, Tokoh dan Biografi

Entri kali ini mengupas tentang keperibadian seorang ulama. Meskipun beliau telah wafat sejak 700 tahun yang lalu, namun keberkatan ilmu beliau masih berterusan sehingga ke hari ini.
Semasa hayatnya, beliau merupakan tokoh ulama mazhab Syafi’i di Damsyik dengan gelaran Muhyiddin yang bermaksud penghidup agama. Beliau juga digelar sebagai Muhyisunnah yang bermaksud penghidup sunnah. Beliau adalah al-Imam al-Hafizh, Syaikhul Islam, Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf bin Mury bin Hasan bin Husain bin Muhammad bin Jum’ah bin Hizam an-Nawawi ad-Dimasyqi asy-Syafi’i. Kata ‘an-Nawawi’ dinisbatkan kepada sebuah perkampungan yang bernama ‘Nawa’, salah satu perkampungan di Hauran, Syiria, tempat kelahiran beliau.


Bumi Syria bumi kelahiran beliau

 

Kelahiran Bakal Ulama Besar

Beliau dianggap sebagai Syeikh di dalam madzhab Syafi’i dan ahli fiqih terkenal pada zamannya. Beliau dilahirkan pada Bulan Muharram tahun 631 H di perkampungan ‘Nawa’, desa yang terletak lebih kurang 90 km dari Kota Damsyik. Kedua- dua orang tuanya merupakan orang yang shalih dan ilmuan. Sejak kecil lagi, sifat dan siakp Imam Nawawi tidak seperti kanak-kanak yang sebaya dengan beliau.Beliau tidak suka bermain sebaliknya lebih suka membaca al-Qur’an. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah memulai menghafal al-Qur’an dan membacakan kitab Fiqih pada sebahagian ulama di sana. Proses pembelajaran ini di kalangan Ahli Hadits lebih dikenal dengan sebutan ‘al-Qira`ah’.
Salah seorang gurunya yang bernama Syeikh Yasin bin Yusuf al-Marakisyi berkata: “ Aku pernah melihat an-Nawawi ketika masih kecil. Beliau melarikan diri daripada kawan-kawannya sambil menangis kerana dipaksa untuk bermain setelah kawan-kawannya membiarkannya, beliau terus membaca al-Qur’an. Melihat perkara itu, tumbuh rasa cinta di hatiku. Biarpun ayahnya menyuruhnya menjaga kedai, aktiviti jual-beli tidak menyibukkan dirinya daripada membaca al-Qur’an.” Syeikh Yasin melanjutkan: “Aku terus menasihati ayahnya: ‘Jagalah anak ini. Dia akan menjadi orang yang paling alim dan zuhud pada zamannya.”
Firasat Syeikh Yasin ini benar-benar menjadi kenyataan.

Membina Keilmuan di Damsyik

Pada tahun 649 H, pada usia 19 tahun, an-Nawawi dibawa oleh sang ayah ke Damsyik dalam rangka melanjutkan pelajarannya di Madrasah Dar al-Hadits. Dia tinggal di al-Madrasah ar-Rawahiyyah yang menempel pada dinding masjid al-Umawy dari sebelah timur. Pada ketika itu, Damsyik merupakan kota yang kaya dengan ilmu dan ulama. Imam Nawawi menumpukan seluruh masa dan kesungguhannya untuk menuntut ilmu.
Setiap hari, beliau menghadiri dua belas pengajian dengan guru berbeza dan di tempat yang jauh. Beliau juga mengkaji pelbagai bidang ilmu antaranya Fiqah, Tafsir, Hadith, Bahasa Arab dan lain-lain. Dek kejernihan hatinya, beliau telah menghafal kitab al-Tanbih (kitab fiqh yang sangat tebal) hanya dalam masa empat bulan. Begitu juga dengan kitab-kitab penting yang lain, beliau dapat menghafalnya dalam masa yang singkat. Antara sifat lain yang menarik yang ada pada Imam Nawawi ialah beliau sangat menjaga sumber makanannya. Beliau enggan menerima pemberian daripada sesiapa pun. Beliau hanya makan daripada bekalan yang dibawakan oleh ayahnya setiap hujung minggu. Beliau ingin memastikan hanya makanan halal sahaja yang masuk ke dalam tubuhnya.

Pengalaman Intelektualnya

Pada tahun 665 H saat baru berusia 34 tahun, beliau sudah menduduki posisi ‘Syaikh’ di Dar al-Hadits dan mengajar di sana. Tugas ini tetap dijalaninya hingga beliau wafat. Dari sisi pengalaman intelektualnya setelah bermukim di Damsyik, terdapat tiga karakteristik yang sangat menonjol:
1. Kegigihan dan keseriusannya di dalam menuntut ilmu sejak kecil hingga menginjak remaja.
Ilmu adalah segala-galanya bagi an-Nawawi sehingga dia merasakan kenikmatan yang tiada tara di dalamnya. Beliau amat serius ketika membaca dan menghafal. Beliau berhasil menghafal kitab ‘Tanbih al-Ghafilin’ dalam waktu empat bulan setengah. Sedangkan waktu yang tersisa lainnya dapat beliau gunakan untuk menghafal seperempat permasalahan ibadat dalam kitab ‘al-Muhadz-dzab’ karya asy-Syairazi. Dalam tempoh yang relatif singkat itu pula, beliau telah berhasil membuat decak kagum sekaligus meraih kecintaan gurunya, Abu Ibrahim Ishaq bin Ahmad al-Maghriby, sehingga menjadikannya sebagai wakilnya di dalam halaqah pengajian yang dia pimpin bilamana terdapat halangan.
2. Keluasan ilmu dan wawasannya mengenai bagaimana beliau memanfa’atkan waktu.
Seorang muridnya, ‘Ala`uddin bin al-‘Aththar bercerita, “Pertama beliau dapat membacakan 12 pelajaran setiap harinya kepada para Syaikhnya berserta syarah dan tash-hihnya; ke-dua, pelajaran terhadap kitab ‘al-Wasith’, ke-tiga terhadap kitab ‘al-Muhadzdzab’, ke-empat terhadap kitab ‘al-Jam’u bayna ash-Shahihain’, ke-lima terhadap kitab ‘Shahih Muslim’, ke-enam terhadap kitab ‘al-Luma’ ‘ karya Ibnu Jinny di dalam ilmu Nahwu, ke- tujuh terhadap kitab ‘Ishlah al-Manthiq’ karya Ibnu as-Sukait di dalam ilmu Linguistik (Bahasa), ke-lapan di dalam ilmu Sharaf, ke-sembilan di dalam ilmu Ushul Fiqih, ke-sepuluh kitab ‘al-Luma’ ‘ karya Abu Ishaq dan kitab ‘al-Muntakhab’ karya al-Fakhrur Razy, ke-sebelas di dalam ‘Asma’ ar-Rijal’, ke-dua belas di dalam Ushuluddin. Beliau selalu menulis syarah yang sulit dari setiap pelajaran tersebut dan menjelaskan kalimatnya serta meluruskan ejaannya”.
3. Produktif di dalam menghasilkan karya penulisan beliau.
Beliau telah berminat terhadap dunia penulisan dan menekuninya pada tahun 660 H sewaktu baru berusia 30-an. Dalam karya-karya beliau tersebut akan didapati kemudahan di dalam mencernanya, keunggulan di dalam argumentasinya, kejelasan di dalam kerangka berfikirnya serta mempunyai objektif di dalam memaparkan pendapat-pendapat Fuqaha‘. Buah karyanya tersebut hingga saat ini selalu menjadi bahan perhatian dan diskusi setiap Muslim serta sering digunakan sebagai bahan rujukan di hampir seluruh belantara Dunia Islam.
Antara karya-karya penulisannya ialah ‘Syarah Shahih Muslim’, ‘al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab’, ‘Riyadl ash-Shalihin’, ‘ al-Adzkar’, ‘Tahdzib al-Asma’ wa al-Lughat’ ‘al-Arba’in an-Nawawiyyah’, ‘Rawdlah ath-Thalibin’ dan ‘al-Minhaj fi al-Fiqh’. Budi pekerti dan sifatnya para pengarang buku-buku ‘biografi’ (Kutub at-Tarajim) bersepakat, bahawa Imam an-Nawawi merupakan hujung tombak di dalam sikap hidup ‘zuhud’, teladan di dalam sifat wara’ serta tokoh tanpa tanding di dalam ‘menasihati para penguasa dan beramar ma’ruf nahi munkar’.

Karya Imam Nawawi


Fatawa Al-Imam Annawawi

Zuhud beliau hidup bersahaja dan mengekang diri sekuat tenaga dari kongkongan hawa nafsu. Beliau mengurangi makan, sederhana di dalam berpakaian dan bahkan tidak sempat untuk menikah. Kenikmatan di dalam menuntut ilmu seakan membuat dirinya lupa dengan semua kenikmatan itu. Beliau seakan sudah mendapatkan gantinya.


Hadith 40

Di antara indikatornya adalah ketika beliau pindah dari lingkungannya yang terbiasa dengan pola hidup ‘seadanya’ menuju kota Damsyik yang ‘serba ada’ dan penuh glamour. Perpindahan dari dua dunia yang amat berbeza sama sekali tidak menjadikan dirinya tergoda dengan semua itu, bahkan sebaliknya semakin menghindarinya. Sifat wara’ bila membaca riwayat hidupnya, maka akan banyak sekali dijumpai sifat seperti ini dari diri beliau. Sebagai contoh, misalnya, beliau mengambil sikap tidak akan memakan buah-buahan Damsyik karena merasa ada syubhat terhadap kepemilikan tanah dan kebun-kebunnya di sana.Contoh lainnya, ketika mengajar di Dar al-Hadits, beliau sebenarnya menerima gaji yang cukup besar, tetapi beliau enggan menerimanya.

Riyadhus Solihin

Beliau justeru mengumpulkannya lalu memberikannya pada pengelola Madrasah. Setiap mendapatkan jatah tahunannya, beliau membeli sebidang tanah, kemudian mewakafkannya kepada Dar al-Hadits atau membeli beberapa buah buku kemudian mewakafkannya ke perpustakaan Madrasah. Beliau tidak pernah mahu menerima hadiah atau pemberian, kecuali apabila memang sangat memerlukannya dan ini pun dengan syarat iaitu, orang yang membawanya haruslah orang yang sudah beliau percayai deennya. Beliau juga tidak mahu menerima sesuatu, kecuali dari kedua orang tuanya atau kerabatnya. Ibunya selalu mengirimkan baju atau pakaian kepadanya. Demikian pula, ayahnya selalu mengirimkan makanan untuknya. Ketika berada di al-Madrasah ar-Rawahiyyah, Damasyik, beliau hanya mahu tidur di kamar yang disediakan untuknya saja di sana dan tidak mahu diistimewakan atau diberikan fasiliti yang lebih dari itu.
Imam Nawawi menasihati penguasa dalam rangka Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Terjemahan Al-Azkar

Beliau juga menegakkan amar ma’ruf nahi mungkar, termasuk kepada para penguasa, dengan cara yang telah digariskan Islam. Beliau menulis surat berisi nasehat untuk pemerintah dengan bahasa yang halus sekali. Suatu ketika beliau dipanggil oleh raja Azh-Zhahir Bebris untuk menandatangani sebuah fatwa. Datanglah beliau yang bertubuh kurus dan berpakaian sangat sederhana. Raja pun meremehkannya dan berkata: ”Tandatanganilah fatwa ini!!” Beliau membacanya dan menolak untuk meletakkan tanda tangan. Raja sangat marah dan berkata: ”Kenapa !?” Beliau menjawab: ”Karena berisi kezaliman yang nyata.” Raja semakin marah dan berkata: ”Pecat ia dari semua jabatannya!” Para pembantu raja berkata: ”Ia tidak punya jabatan sama sekali.” Raja ingin membunuhnya tapi Allah menghalanginya. Raja ditanya: ”Kenapa tidak engkau bunuh dia padahal sudah bersikap demikian kepada Tuan?” Raja pun menjawab: ”Demi Allah, aku sangat segan padanya.”

Maqam Imam Nawawi

Wafatnya beliau pada tahun 676 H. Sebelum wafat, Imam an-Nawawi kembali ke kampung halamannya, Nawa, setelah mengembalikan buku-buku yang dipinjamnya dari badan urusan Waqaf di Damasyik. Di sana beliau sempat menziarahi kubur para Syeikhnya. Beliau tidak lupa mendoakan mereka atas jasa-jasa mereka sambil menangis. Setelah menziarahi kuburan ayahnya, beliau mengunjungi Baitul Maqdis dan kota al-Khalil, lalu pulang lagi ke ‘Nawa’. Sepulangnya beliau dari sana, beliau jatuh sakit dan tak berapa lama kemudian, beliau dipanggil menghadap al-Khaliq pada tanggal 24 Rajab pada tahun itu. Di antara ulama yang ikut mensolatkan beliau adalah al-Qadly, ‘Izzuddin Muhammad bin ash-Sha`igh dan beberapa orang shahabatnya. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat-Nya yang luas dan menerima seluruh amal shalihnya. Amin.

(Diambil dari pengantar kitab Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadl ash-Shalihin karya DR. Musthafa Sa’id al-Khin, et.ali, Jld. I, tentang biografi Imam an-Nawawi ).

Antara ibrah yang boleh diambil dari keperibadian dan kisah hidup Imam Nawawi:

-Sebagai seorang yang bergelar muslim haruslah memiliki keseriusan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu.
-Muslim harus tahu untuk memanfaatkan waktu yang ada. Imam Hassan Al-Banna ada mengatakan :
“Kerja yang kita ada lebih banyak dari masa yang kita ada”.
-Sesibuk mana kita dengan hal duniawi, jangan tinggalkan al-Qu’ran.
-Penuhilah tuntutan melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan walaupun kepada pemimpin.
-Untuk menuntut ilmu, perlukan pada kejernihan hati dan keikhlasan agar mudah untuk memperoleh ilmu.

Sumber rujukan:
1. Pengantar kitab Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadl ash-Shalihin karya DR. Musthafa Sa’id al-Khin, et.ali, Jld. I, tentang biografi Imam an-Nawawi.
2. Majalah Al-Ustaz
3. http://adehumaidi.com/islam/biografi-imam-nawawi

Disediakan : 
Ijlal Mohd Diah
ISM Sains(Matematik) dengan Pendidikan, UPSI

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri