Merbok, 31 Mei – Menyedari kepentingan kepimpinan beriman yang terpimpin, Unit Bimbingan & Kaunseling Sek Keb Binjul dengan kerjasama Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Kedah telah menganjurkan Kem Kepimpinan Pengawas SK Binjul 2012. Program 2 hari 1 malam ini diadakan Kem Merbok, Merbok dengan kehadiran seramai 39 orang peserta terdiri daripada Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sek Keb Binjul, Kuala Ketil, Kedah. Objektif program adalah melahirkan bakal pemimpin negara yang mempunyai wawasan tinggi, membantu memperkembangkan bakat kepimpinan murid melalui aktiviti yang dijalankan, peningkatan disiplin di kalangan murid secara keseluruhan, membantu murid agar dapat mengubah sikap dan bersedia menerima teguran, dan memupuk integrasi yang baik antara ahli kumpulan dan jantina.
Program bermula seawal jam 9.30 pagi di kem dengan pendaftaran dan taklimat program setelah peserta sampai dengan menaiki bas dari sekolah. Selepas aktiviti Ice-breaking dan Team-building, peserta menerima bahan pengisian bertajuk “Saya adalah pemimpin” daripada Cikgu Juraiha bt . Selepas solat Zohor, peserta melalui pengalaman yang sangat menarik iaitu aktiviti Explorace. Pada sebelah malam pula, peserta sekali lagi dihidangkan pengisian bertajuk “Kepentingan Kepimpinan yang beriman” oleh saudari Nur Mayamin bt Uzir, siswi Kolej Teknologi Darul Naim (KTD).
Sesi Latihan Dalam Kumpulan
Pada keesokan paginya, aktiviti War Games diadakan untuk melatih peserta cara merancang strategi dan mematuhi segala arahan kepimpinan kumpulan masing-masing. Program diakhiri dengan aktiviti perkongsian rasa oleh peserta dan telah dihadiri oleh Guru Besar SK Binjul, Pn Siti Zabedah bt Mat. Dalam ucapan perkongsian rasa, beliau berharap peserta dapat memanfaatkan segala pengisian yang dapat di dalam kem dan dapat menjadi pemimpin yang baik di sekolah.
Ceramah oleh Cikgu Siti Juraiha bt Jali, guru SK Tok Mat Salleh
Pengarah program, saudara Abu ‘Ubaidah Sharudin berkata, “Kem ini berjalan dengan baik sekali kerana kerjasama yang baik di antara peserta, guru dan fasilitator. Diharapkan program ini dapat memberi impak yang baik kepada barisan kepimpinan pelajar SK Binjul.” Dalam hadits daripada Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Tiap-tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya.” Hadits Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Peserta terbaik program, adik Muhammad Alif Farhan bin Ahmad berkata, “Ini adalah program yang terbaik pernah kami sertai. Terima kasih kepada abang dan kakak fasilitator yang banyak membantu kami menjayakan program ini.” Diharapkan program ini dapat melahirkan kepimpinan yang beriman kepada Allah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah saw.
Guru Besar SK Binjul, Pn Siti Zabedah bt Mat
Kumpulan Terbaik bersama Guru Pengiring, Cikgu Hasnida
Laporan oleh,
Abu ‘Ubaidah bin Sharudin
Pengarah
Kem Kepimpinan Pengawas SK Binjul