Teruskan Kayuhan

By | March 11, 2013 at 10:55 pm | 720 views | No comments | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Ayah selalu pesan “kayuh.. kayuh.. jangan henti kayuh.” Itu caranya. Kita dengan semangatnya kayuh bersungguh-sungguh apatah lagi di usia kanak-kanak. Terkenal dengan keceriaannya apabila dapat bermain pada waktu petang. Sejak dari kecil kita diasuh untuk berbasikal. Kasih sayang itu tidak terpinggir. Ayah dan ibu mengajar kita untuk seimbang.

“Ayah jangan lepas!” risaunya kita kalau ayah lepaskan kita kayuh sendiri. Bila sedar saja ayah dah lepaskan kita, terus gelabah dan henti mengayuh, terus terjatuh.
Saya berminat dengan kata-kata hikmah oleh penyelesai masalah terkemuka Albert Einstein, “Life is like riding a bicycle, to keep your balance you must keep moving.” Benarkah apa yang beliau katakan?
Bagi penunggang basikal, anda akan bersetuju dengannya. Di saat anda berhenti mengayuh, anda akan hilang keseimbangan. Bagi mengekalkan keseimbangan ini, kayuhan perlu diteruskan. Begitulah kehidupan. Tidak ada perhentian yang kekal. Sekadar rehat sementara kemudian perlu terus berjalan. Jika tidak diteruskan, anda pasti jatuh.

Tidak pegun dan tidak terlalu ke kiri

Berbasikal, bermakna kaki anda sentiasa mengayuh. Badan anda tidak serong ke kiri atau ke kanan sahaja. Jika tidak, itu tindakan mencari sakit. Kerana anda akan sentiasa mengayuh dan badan ditegakkan.
Begitulah analogi dalam kehidupan. Anda mengejar cita-cita. Impian anda sudah berada dihadapan kehidupan. Apa yang anda perlu pastikan adalah tetap kekal seimbang. Jika tidak anda tidak akan sampai.

Antara jasmani, rohani dan ‘aqli

Masing-masing dengan cita-cita yang tersendiri. Anda mahukan impian anda tercapai. Lihat semula apakah cita-cita anda sudah merangkum setiap aspek kehidupan?
Anda akan bertanya, apakah kehidupan itu memerlukan segala aspek? Cukupkah sekadar memenuhi keperluan rohani sahaja? Fizikal dah kuat, tak perlu lagilah ‘aqli. Sudah bijak dalam pelajaran, tak perlulah nak susahkan diri bersukan.

Tangan yang bekerja lebih mulia

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu” (riwayat Bukhari).

Hadis ini menjelaskan tuntutan ke atas umat Islam supaya menjaga kesihatan dan membina kekuatan fizikal. Dengan kekuatan inilah yang akan membantu anda melaksanakan tuntutan yang lain.
Bagaimana jika suatu keadaan yang menuntut anda untuk bekerja dengan tenaga, namun anda tidak miliki kekuatan, tubuh sakit-sakit, dan sentiasa lemah. Anda tidak berpeluang menyumbang tenaga.
Lihatlah sejarah para sahabat generasi awal dahulu. Dengan semangat yang tinggi sahaja, dan keyakinan yang mendalam terhadap bantuan Allah, mereka tetap tidak mengabaikan tanggungjawab ke atas diri.
Tidakkah kita bercita-cita menjadi Umar Al-Khattab yang gagah perkasa. Tak pernahkah sekalipun terlintas di hati ingin menjadi seperti Khalid Al-Walid yang tangkas di medan tempur. Menjadi Aisyah yang mampu berlumba lari bersama-sama Rasulullah SAW.
Jiwa orang muda perlu lebih tinggi semangatnya untuk cergas dan aktif, bukannya lesu dan tidak bermaya.

Berfikir sampai ke angkasa raya

“Tidak sempurna kebaikan budi seseorang sebelum sempurna akalnya. Ketika itu barulah sempurna imannya. Ketika itu juga ia mampu mentaati Allah dan melawan godaan iblis dan syaitan.”
(Riwayat Ibnu Mahbar dari ‘Amr bin Syu’ib)

Menguasai diri bukan sekadar mampu berenang jauh-jauh. Bukan sekadar lari laju. Tidak cukup sekadar kemampuan otot, malah menguasai salah satu anggota tubuh iaitu otak yang sentiasa bergerak.
Tidak tepu dan songsang. Bijak berfikir dan merungkai segala permasalahan. Mencapai keputusan peperiksaan dengan cemerlang. Tidak cukup dengan itu, luas pula pengetahuannya dalam ilmu umum. Serba tahu dalam setiap hal.
Bagaimana pula kalau sering gagal dalam peperiksaan? Bagaimana pula jika tidak belajar tinggi?
Anda bukan dalam kategori tidak bijak, jika anda gemar pada ilmu pengetahuan, mempunyai pengetahuan yang luas. Bijak dalam bidang lain. Tahu erti kehidupan. Inilah dia fungsi akal. Tidak lari dari masalah, tetapi terus lekas duduk mencari idea penyelesaian. Aktif berfikir.

Roh yang merindui kampung akhirat

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu.
(Hadis riwayat Muslim dan Tabrani)

Tidak ada kehidupan yang lebih baik, selain dari kehidupan yang digabungkan dengan hati nurani yang suci bersih, hati yang senantiasa berpihak pada Ilahi, hati yang penuh dengan perasaan cinta dan kasih sayang, hati yang bersemangat waja, hati yang kukuh dan tabah, hati yang sentiasa lapang dan tenang, hati yang penuh dengan Quran dan zikrullah, hati yang sentiasa ingat pada Allah dan Rasul, hati yang yakin dan redha pada Ilahi.
Inilah dia perilaku. Inilah dia karakter. Inilah dia manusia. Inilah dia hamba. Inilah yang kita mahukan sebagai seorang pengembara. Singgah sebentar di bumi Allah, mencari mutiara yang dapat dibawa pulang. Dan inilah dia kehidupan yang sebenar.

Ayuh depa tangan, kita imbangkan diri!
Tidak sukar untuk menjadi seimbang. Hanya perlu lebih usaha pada perkara yang belum biasa. Mungkin juga perkara yang sudah lama kita lupa. Kembalikan kehidupan pemuda.
Kita lebih suka menanti kepulangan Salahuddin Al-Ayyubi, sedangkan beliau telah lama mati. Kita sudah terlalu lama menanti, tidakkah ini adalah peluang untuk kita pula menjadi Salahuddin Al-Ayyubi.
Suatu masa dahulu, anda pernah berkata pada ayah dan ibu “sukarnya nak bawa basikal ni!”. Namun hari ini anda akan berkata “setakat basikal siapa pon boleh bawa!”.
Kita mampu berubah. Jom kita ubah sama-sama, kali ini, menjadi insan seimbang.

Nukilan :
Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir
Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan ,
UTHM , Johor

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri