KASeH Perlis 2014 ,Nostalgia Yang Sukar Dilupakan

By | December 11, 2014 at 5:44 pm | 510 views | No comments | Artikel Bacaan, Berita, KeARAH Wilayah Utara, Remaja dan Mahasiswa

Kangar, 1 Disember – Buat julung kali, Masjid Darul Ibadah, Behor Pulai, Kangar, Perlis telah mengadakan Kem Anak Soleh (KASeH) 2014 dengan kerjasaman Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Perlis pada 1 hingga 2 Disember yang lalu. Kem ini telah disertai oleh seramai 149 orang peserta dalam kalangan murid yang berumur 9 hingga 12 tahun. Kem ini telah berjaya menyatukan tenaga kerja daripada kalangan AJK Masjid Darul Ibadah dengan penggerak-penggerak KeARAH Perlis di mana AJK Masjid berperanan mendapatkan dana sumbangan dan mempersiapkan masjid untuk menerima peserta manakala KeARAH Perlis melaksanakan tugas-tugas urusetia dan pelaksanaan program.


Penggerak & Adik-adik lelaki

Kem ini dipimpin oleh Saudari Nailah bt Abd Kadir sebagai Penyelaras Program, Saudara Muhammad Hannan bin Khairul Anwar sebagai Pengarah Kem dan Saudari Mahfudzah Abd Halim sebagai Timbalan Pengarah. Bertemakan “Jom Jadi Anak-Anak Akhirat!”, KASeH membawa objektif untuk mendedahkan peserta tentang teori dan praktikal ibadah wudhu’ dan solat. Selain itu, KASeH juga bertujuan untuk membina rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan menerapkan sunnah Rasulullah dalam diri peserta serta mempraktikkannya.

Penggerak & Adik-adik perempuan

Tirai KASeH PERLIS 2014 disingkap dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Ustaz Mohd Sufian bin Haji Muda, Imam 1 di Masjid Darul Ibadah. Turut hadir memberikan ucapan ialah Ustaz Johare bin Harun, Pengerusi KeARAH Perlis. Sebaik selesai Majlis Perasmian, sesi taklimat, mind setting, ice breaking dan team building telah dikendalikan oleh Komandan Kem, Saudara Ahmad Basyir bin Yazib dan Saudari Zuhaidah binti Zakaria, Timbalan Komanden Kem. Mereka dibantu oleh seramai 14 orang fasilitator. Kuliah pertama pada hari itu bertajuk “Taharah, Wudhu’ dan Solat” telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Suheil bin Rubani dan Ustazah Rosmawar binti Ramli yang disampaikan secara kreatif serta menarik minat para peserta.
Pada petangnya, para peserta diberi peluang untuk menyertai KASEH GAMES, iaitu pelbagai permainan yang menguji fizikal dan mental sesuai dengan tahap umur para peserta. Pada sebelah malam pula telah diisi dengan slot bual bicara “Jom Jadi Anak-Anak Akhirat” yang telah diisi oleh tiga saudara Ustazah Ainal Mardhiyah Mohd Azmi, Cikgu Nurul Atiqah Mohd Azmi dan Ustazah Amirah Mohd Azmi. Tirai hari pertama telah dilabuhkan oleh sesi Tadabbur Alam.

KASeH Games

Pada hari kedua, program dimulakan dengan pendedahan tentang sirah dalam modul Subuh Circle. Setelah sarapan pagi, para peserta dibawa menghayati praktikal wudhu’ dan solat melalui aktiviti luar masjid iaitu Kembara Solah. Majlis Penutup KASEH Perlis 2014 telah disempurnakan oleh Cikgu Ghazali bin Saad selaku Pengerusi Biro Pembangunan Keluarga dan Remaja HALUAN Cawangan Perlis merangkap Penasihat KASEH 2014. Turut hadir memberi ucapan ialah Ustaz Mohd Sufian bin Haji Muda, Imam I, Masjid Darul Ibadah. Para peserta bersurai sebaik sahaja selesai solah asar berjemaah. Alhamdulillah, KASEH Perlis 2014 telah banyak mendapat respon positif oleh para peserta dan ibu bapa.

Mencari soalan Kembara Solah dalam tepung

KASeH Perlis 2014 merupakan medan latihan yang sangat bermakna kepada pada penggerak KeARAH Perlis kerana inilah kali pertama program ini menerima peserta melebihi 100 orang (149 orang) yang mana telah menguji tahap kesabaran serta ketahanan rohani dan mental para fasilitator dan urusetia dalam menguruskan keberadaan adik-adik kecil dalam sebuah kem. KeARAH Perlis mengucakan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Masjid Darul Ibadah atas kepercayaan yang diberikan kepada KeARAH Perlis untuk mengendalikan KASeH 2014 di masjid tersebut.

Laporan disediakan :
Ummu Aiman Azmi
KeARAH Perlis

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri