Panduan Pemilihan Karier

By | July 12, 2012 at 11:02 pm | 3,430 views | No comments | Artikel Bacaan, Remaja dan Mahasiswa

Karier, persoalan yang seringkali menjadi tanda tanya bagi setiap mahasiswa serta mahasiswi. Bagi mereka, persoalan ini amat mustahak kerana ia bakal menentukan hala tuju kehidupan dalam fasa yang seterusnya. Kajian menunjukkan peratusan pelajar yang telah menetapkan dan menuju kea rah cita-cita yang diimpikan, namun masih terdapat lagi pelajar yang masih dibelenggu dilema. Mereka masih keliru dan kurang pasti akan pilihan yang telah diambil. Justeru, artikel pada kali ini memberi fokus terhadap panduan dalam memilih karier.

Self-Directed Search
Dr. Holland memperkenalkan teknik yang dikenali sebagai Self-Directed Search. Melalui Self Directed Search pelajar boleh mengarahkan dirinya sendiri bagi mengenali minat dan jenis personaliti yang dimiliki. Teknik ini tidak memerlukan bimbingan daripada orang lain. Bagi melakukan teknik ini, pelajar hanya perlu mengikut arahan yang telah disediakan. Menurut Dr. Holland, terdapat 6 jenis personaliti iaitu RIASEC (Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Enterprising dan Conventional) serta 6 jenis persekitaran iaitu RIASEC. Justeru, individu akan mencari persekitaran yang membenarkan ekspresi diri. Di samping itu, tingkahlaku individu seperti motivasi, pencapaian, kepuasan, produktiviti dan stabiliti adalah bergantung kepada darjah keselarasan antara jenis personaliti dan jenis persekitaran. Berikut merupakan contoh padanan karakteristik personaliti individu dan persekitaran karier berdasarkan Self-Directed Search.

PERSONALITI

KARAKTERISTIK

KARIER

REALISTIK

Individu yang mempunyai kemahiran etletik (athletic) atau mekanikal. Suka bekerja dengan objek, mesin, peralatan, tumbuhan dan binatang. Lebih suka bekerja di luar bangunan berbanding di dalam  bangunan. Jurutera, operator mesin,  mekanik kapalterbang/mekanik kereta, tukang kayu, ahli ilmu perkebunan.

INVESTIGATIF

Individu yang suka membuat pemerhatian, mempelaajari, menyelidik, menganalisis, menilai dan menyelesaikan masalah melalui penyelidikan. Mempunyai kemahiran saintifik dan matematik. Ahli kajicuaca, ahli biologi, ahli kaji bintang, ahli kimia, ahli kajibumi/kajibintang, penyelidik sains, antropologis

ARTISTIK

Individu yang mempunyai kebolehan artistik dan inovatif. Mempunyai kebolehan intuisi. Suka bekerja dalam situasi yang tidak/kurang berstruktur. Tidak selesa dengan kerja yang rutin/berulang-ulang. Selalu menggunakan imaginasi dan kreativiti. Pemimpin orkestra, penyair, penggubah lagu, pengarang, pelukis, wartawan, arkitek, juruhias dalaman

SOSIAL

Individu yang suka bekerja dan berinteraksi dengan manusia. Berminat melatih, menolong, memberitahu, memperkembang, mengubati dan berbuat kebajikan. Berkemahiran menggunakan kata-kata dan berkomunikasi. Matlamat utama – berbuat kebajikan. Ahli sosiologi, guru, pengetua sekolah, pegawai perhubungan awam, kaunselor, pengarah agensi kebajikan

ENTERPRISING

Individu yang suka bekerja dan berinteraksi dengan manusia. Berminat mempengaruhi, memimpin, mengarah dan mengurus individu lain. Cekap memanipulasi orang lain. Matlamat akhir – keuntungan ekonomi dan organisasi. Spekulator, aktuaris, eksekutif pengiklanan/perniagaan, pengarah syarikat, peguam, ahli politik, pegurus bank

KONVENSIONAL

Individu yang suka bekerja dengan data dan nombor. Berkemahiran dalam bidang perkeranian dan cekap menggunakan nombor. Melakukan sesuatu secara terperinci, teratur, bersifat akur serta patuh kepada arahan. Penyimpan kira-kira, guru perdagangan, akauntan, jurutrengkas, kerani gaji, kerani bank, operator komputer, penilai harta

Tips penting semasa menggunakan Self-Directed Search
(perhatian: kod yang dimaksudkan adalah RIASEC iaitu personaliti individu)

  • Adalah dicadangkan anda menyusun semula kod-kod itu
  • Rujuk Occupation Finder mengikut kod-kod yang anda susun semula di atas.
  • Contohnya, pilih 2, 3 pekerjaan yang menarik minat anda di bawah setiap kod. Jika ada lebih daripada 3, pilihlah dan jika tidak ada langsung yang menarik minat, tinggalkannya
  • Setelah mendapat senarai pekerjaan-pekerjaan yang anda minati, maka carilah maklumat yang lebih mendalam seperti; kelayakan yang diperlukan deskripsi mengenai pekerjaan tersebut (tanggungjawab, masa bekerja, prospek masa hadapan, gaji dan kenaikan pangkat).
  • Sebelum menggunakan Self-Directed Search, kenali diri ( nilai, suka, tidak suka, kekuatan, kelemahan, pencapaian dahulu, bakat, ilmu, kemahiran yang ada, tret personaliti)
  • Membuat saringan semasa membaca tentang maklumat pekerjaan dan akhirnya memilih satu perkejaan yang diminati serta sesuai dengan personaliti diri

Jika terdapat lebih dari satu pilihan?

  • Gunakan kotak ‘untung-rugi’, atau tandakan bilangan ciri-ciri diri dengan jenis pekerjaan. Pekerjaan yang memenuhi kebanyakan ciri-ciri diri, maka itulah pilihan terbaik.
  • Melakukan proses pencarian maklumat tambahan seperti menjalankan temubual bersama orang yang bekerja dalam bidang tersebut atau melakukan kerja sambilan di dalam bidang berkenaan.
  • Melakukan job-shadowing (anda mengikuti orang yang sudah bekerja dalam bidang itu sehari suntuk)

Ops!! Karier pilihan saya bukan karier pilihan ibu bapa!
Setelah meneliti secara terperinci, semestinya kerjaya yang menjadi pilihan adalah kerjaya yang bersesuaian dengan minat, personaliti serta potensi diri. Namun, terdapat segelintir pelajar yang berhadapan dengan kesukaran apabila ibu bapa sedari awal lagi telah menetapkan karier untuk anak mereka berdasarkan pilihan mereka. Justeru, para mahasiswa serta mahasiswi berhadapan dengan dilema samada memilih karier pilihan sendiri atau karier pilihan ibu bapa.
Profesor Dr. Muhaya mencadangkan supaya setiap orang memilih bidang mengikut minat yang disukai. Hal ini kerana setiap insan dikurniakan kekuatan, bakat dan potensi yang berbeza-beza. Meskipun begitu tugas mereka tetap sama iaitu menjadi hamba Allah, khalifah Allah serta mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah. Justeru, beliau mencadangkan para pelajar yang menghadapi dilema tersebut berbincang bersama ibu bapa. Katakan pada mereka “Ibu, saya sebenarnya meminati bidang ini, saya bukan mahu melawan cakap ibu, tetapi saya takut apabila saya melakukan perkara yang saya tidak suka, saya tidak dapat bertahan lama. Ia juga menentukan kehidupan saya sehingga ke peringkat seterusnya. Sekiranya tersalah pilih, saya menjadi pekerja malas pada setiap hari.” Tambah beliau lagi, sebenarnya tidak ada orang yang malas, yang ada cuma orang yang kurang berminat. Melakukan perkara yang tidak diminati saban hari pasti meletihkan. Maka, lebih baik mengikut kata hati, berbincang dengan ibu bapa serta melakukan solat istikharah dalam memilih dan menetapkan kerjaya masa hadapan.

Olahan : Atiqah Azmi 

Rujukan:

• En. Mohd Yusoff (Pensyarah Pengantar Bimbingan & Kaunseling, UPM)
• Prof. Dr. Muhaya (Buku bertajuk “Pelajar Bertanya Prof. Dr. Muhaya Menjawab Berkenaan Dahsyatnya Cabaran Pelajar”)

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri