KAHFI 2014 Zon Utara Melabuhkan Tirai

By | March 28, 2014 at 5:16 pm | 755 views | No comments | Berita, KeARAH Wilayah Utara, Remaja dan Mahasiswa


Pemuda KAHFI

CHANGLUN, 28 Mac 2014 – Seramai 41 orang peserta dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah menyertai Kem Asah Fakulti Insan (KAHFI) 2014 peringkat Zon Utara yang telah diadakan pada 24 hingga 26 Mac 2014 bertempat di Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR). KAHFI 2014 bertemakan “Ke Arah Menongkah Cabaran Memacu Perubahan” mencerminkan perkembangan semasa yang semakin mencabar, membuatkan kecemerlangan seseorang pelajar tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata bahkan para pelajar juga perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan yang mantap, berketrampilan, pekerti yang mulia, jernih fikrah dan berkebolehan menyesuaikan diri untuk menyahut cabaran era globalisasi.


Pemudi KAHFI

Terdapat dua objektif utama KAHFI pada kali ini iaitu untuk memupuk semangat ukhuwah dalam kalangan peserta dan mendedahkan peserta dengan konsep dan ciri-ciri kepimpinan dalam Islam. Oleh itu, 10 Muwasofat Tarbiyah telah dipilih sebagai kandungan utama dalam KAHFI 2014 memandangkan ianya merupakan ciri-ciri yang perlu ada pada setiap muslim. Kem ini dipimpin oleh saudara Muhammad Ikhwan bin Mahadzir selaku pengarah kem, dibantu oleh saudara Muhammad Fayruz bin Azhar dan saudari Marshudah binti Abd Rahim selaku kem komandan dan timbalan kem komandan berserta 22 orang urusetia dan fasilitator.

Pembentangan 10 Muwasofat Tarbiyah

Kem selama tiga hari dua malam ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik berbentuk kepimpinan dan ukhuwah. Antaranya ialah KAHFI Race, debat dan War Game. Selain itu juga, KAHFI 2014 menampilkan kelainan dengan aktiviti dan pertandingan memasak. Bukan sahaja para peserta yang memasak sendiri pada hari kedua, bahkan urusetia dan fasilitator juga turut mengambil bahagian.


Hasil juadah yang disediakan oleh para peserta

Pada sebelah malam kem, peserta disajikan dengan slot pengisian rohani. 10 Muwasofat Tarbiyah dan Tarbiyah Ruhiyah menjadi tajuk pilihan bagi slot pengisian rohani. Slot-slot ini disampaikan oleh Ust. Umar Aiman bin Osman dan Cikgu Azmi bin Bahari. Bagi memantapkan lagi pemahaman dan pnghayatan para peserta terhadap topik-topik ini, pembentangan daripada setiap kumpulan diadakan dan juga dimasukkan dalam setiap ‘checkpoint’ KAHFI Race. KAHFI 2014 Zon Utara melabuhkan tirainya menjelang petang dengan acara perasmian penutupan dan kalimah akhirah oleh En. Zamri Bin Mat selaku Penasihat KeARAH Kedah. Semoga Allah menerima amalan kami semua, insya-Allah.

Laporan disediakan oleh,
Ijlal Mohd Diah
Setiausaha, Kem Asah Fakulti Insan 2014  Zon Utara

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri