Jumpa Lagi Di KMK Kedah 2014!

By | December 13, 2013 at 7:32 am | 730 views | No comments | Artikel Bacaan, Artikel Umum, Berita, KeARAH Wilayah Utara

Merbok, Kedah , 2 Disember 2013- Kelab Remaja Haluan (KeARAH) Negeri Kedah telah menganjurkan Kem Minda Kreatif (KMK) bermula 29 November hingga 1 Disember 2013. Seramai 64 orang peserta dari pelbagai sekolah menengah sekitar negeri Kedah telah menghadiri KMK kali ini bertempat di Tandop Camp, Merbok Kedah. KMK kali ini yang membawa tema “Remaja Kontemporari Mencorak Identiti” mencerminkan kehidupan remaja pada masa kini yang perlu dibentuk dan dididik untuk melakar personaliti seperti yang dikehendaki Islam seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat.
Jawatankuasa pelaksana kem pada kali ini diketuai oleh Saudara Muhammad Ar-Rasyid Bin Jaafar. Pengendali Kem pula dibawah pimpinan saudara Muhammad Izzuddin Bin Muhammad Radzi selaku Kem Komandan dan dibantu oleh saudari Maryam Kamilah Bt Ahmad Sani , mempunyai beberapa misi yang besar untuk dicapai. Antaranya ialah menerapkan nilai tarbiyyah dalam diri remaja agar mampu melahirkan remaja yang berkualiti dari sudut rohani, jasmani dan emosi, menanam ikatan ukhwah Islamiyah yang sebenar dalam diri peserta dan juga melatih ketahanan diri serta kecergasan fizikal agar mampu berdikari dalam semua keadaan.


Penyampaian Cenderahati kepada En.Fadhli Mad Diah

Kem selama 3 hari 2 malam ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang sesuai untuk para remaja. Berlatarbelakang persekitaran hutan dan jauh dari pusat bandar membuatkan kem ini semakin mencabar. Pada hari pendaftaran, kelihatan para peserta begitu ceria dan bersemangat untuk mengikuti kem ini. Program diteruskan dengan aktiviti “Ice-Breaking” dan “Team Building” yang dikendalikan oleh fasilitator-fasilitator yang berpengalaman. Mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara sesama peserta dan membentuk kumpulan. Pada malamnya, peserta disajikan dengan santapan rohani oleh En.Mohd Fadhli Bin Mohd Diah dan saudara Firdaus, mahasiswa Universiti Utara Malaysia dalam slot “Dimensi Cinta Remaja”.


Solat Dhuha

Pada hari kedua, peserta diuji dengan kemahiran dari segi mental dan fizikal melalui “KMK Race” di mana setiap “checkpoint” peserta perlu menyelesaikan beberapa masalah dan tugasan yang mencabar. Terdapat juga “checkpoint” di mana peserta didedahkan untuk menunaikan solat sunat dhuha dan diceritakan fadhilat serta kelebihannya. “KMK Race” kali ini menerapkan beberapa nilai yang sangat penting bagi remaja seperti ke arah pengurusan diri yang baik, jalinan ukhuwah, dan kesedaran tentang Islam, Iman dan Ihsan. Malam Kesenian KMK pada sebelah malamnya, peserta berpeluang untuk menonjolkan bakat masing-masing dalam dunia lakonan. Masing-masing menunjukkan bakat dan kreativiti yang tersendiri berdasarkan tema yang telah diberikan. Tambahan pula, peserta turut dihiburkan oleh artis jemputan iaitu Azhar Hilmi yang didatangkan khas dari Lembah Klang.


Sesi Perkongsian bersama kakak-kakak

Hari terakhir KMK dihiasi dengan slot pengisian yang diwakili oleh abang dan kakak dari Kelab Siswa Haluan Malaysia. Kupasan dan perkongsian pengalaman mereka berkenaan topik “Remaja Kontemporari, Mencorak Identiti” amat menyentuh jiwa para peserta. Majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Cikgu Zamri Bin Mat selaku Pengerusi KeARAH Negeri Kedah, dalam ucapannya beliau menyebut “Di sinilah kita bermula, semua peserta perlulah beriltizam dan bertekad untuk mengubah diri ke arah lebih baik seterusnya menjadi contoh dan mengajak masyarakat ke arah kebaikan”.


Peserta dan urusetia lelaki


Peserta dan urusetia perempuan

 

Disediakan oleh ,
Muhammad Ar-Rasyid Bin Jaafar
Pengarah Kem Minda Kreatif 2013 peringkat negeri Kedah

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri