Jariku Menyentuh Mereka

By | May 14, 2012 at 9:57 am | 657 views | No comments | Pengalaman & Iktibar

Entah kenapa, hari itu saya benar-benar tidak dapat menahan kesedihan. Tersekat-sekat butir bicara sewaktu penutupan kem kali ini.

Tanpa disedari, manik-manik kristal itu akhirnya mengalir juga membasahi baju batik saya itu.

Adik-adik juga nampaknya terdiam. Terkedu, mungkin.

“Kita kena balas jasa pakcik-pakcik dan abang fasi dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam hidup kita,” kata-kata peserta itu masih terngiang-ngiang di telinga saya.

Tergenggam erat mikrofon itu, dia meneruskan kata-katanya.

Sesi perkongsian petang itu meragut suara saya.

Serak suara saya selaku Kem Komander untuk kem ini, diakhir dengan tangisan kecil yang tersekat di kerongkong.

Mana tidaknya, Kem Pembelajaran Efektif (KPE) anjuran Kelab Remaja HALUAN Selangor (KeARAH Selangor) itu akhirnya tamat juga.

Program yang direncanakan selama dua hari ini mengumpulkan 58 orang pelajar dari Sekolah Kiblah dan Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar (SAMSMEL).

Berbekal yuran RM20 setiap peserta, program ini ditempatkan di Perkampungan Latihan Nur Sungai Merab, Bangi pada 18 dan 19 Julai yang lalu.

ADIK-ADIK HARAPAN

Mendepani krisis kemanusiaan hari, tidak ramai yang kita boleh bergantung harap.

Saya sebak memikirkan kebejatan anak-anak muda kita hari ini.

Memang kita semua tahu benar tentang rempit-merempit, dadah dan sebagainya.

Dan hari-hari yang mendatang itulah kusut minda kita memikirkan masa hadapan ummah yang belum nampak cerahnya ini.

Alhamdulillah, di kala kem ini, saya berinteraksi dengan adik-adik yang cukup menyenangkan.

Allah menemukan kami pada hujung minggu yang lalu.

Bukannya mudah sekarang untuk berjumpa anak-anak remaja yang cakna ummah.

Walaupun hanya berbekalkan tenaga enam orang fasilitator, mengurus adik-adik Kiblah dan SAMSMEL sangatlah mudah.

Dengan mendamping mereka setiap masa, ikhlas dalam berkongsi rasa dan sikap saling maaf-memaafi, sudah cukup membuatkan mereka memberi komitmen setinggi mungkin.

“People don’t care how much you know, until they know how much you care,” saya berbicara dengan Akhi Siddiqi, salah seorang fasi.

Dia hanya tersenyum.

Hasil didikan kami di MATRI, melahirkan kami sebati dengan prinsip itu.

Ada atas prinsip itu jugalah kami membelai adik-adik kami ini.

Berbekalkan firman,

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Ali Imraan 3: 159)

Pernah juga suatu ketika Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a.

Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda.

Berkata Aqra’,
“Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.”

Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata,
“Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”

(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malangnya, dalam lambakan program-program bersama sasaran masyarakat sama ada kem motivasi mahupun seminar yang dikendalikan barisan fasilitator, perasaan manusia sering kali diketepikan.

Kita lebih suka kepada kelasakan dan paksaan kepada akal dan fizikal, tapi mengabaikan hati.

Kita juara dalam berbicara tentang ilmu dan fikrah, tapi kita lupa tentang hati yang menjadi pintu kepada ilmu dan fikrah tersebut.

Kita maklum benar tentang Abbas Al-Sissy di dalam kitabnya, Jalan Menuju Hati berkisar metodologi pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwah beliau.

Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Jelas, tatkala Hasan al-Banna melihatnya, beliau nyata berkata, “Assalamualaikum ya Muhammad”

Lelaki itu ternyata amat terkejut. Dia hairan bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, “aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!”

Begitu sekali, Hasan al-Banna peka dan sensitif dalam memenangi hati manusia sekitar beliau.

Hal ini bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang meyakini bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan pula dengan formaliti dan ilmu kepandaian.
Apatah lagi hubungan paksaan.
ILMU DAN FIKRAH

Banyak slot yang disediakan pada kem ini berkisar akademik.

Ceramah Dr. Zainal Maidon, Cikgu Engliman dan Prof. Madya Dr. Wan Muhaizan berjaya mereka khadamkan dengan baik.

Namun begitu, kefahaman Islam serta pembinaan jatidiri Muslim tetap kami terapkan kerana inilah intipati perjuangan kita.

Seorang itu mungkin tinggi ilmunya hingga ke peringkat PhD.

Namun belum tentu jiwanya terisi dengan keimanan.

Boleh jadi seorang itu punya sijil dari al-Azhar, namun itu bukanlah penjamin graduan yang dilahirkan itu berjiwa da’ie berminda faqih.

Inilah dilema kita hari ini.

Saban tahun, ribuan graduan deeniah kita lahirkan dari Syria, Jordan, Mesir, Madinah dan Yaman.

Itu belum dihitung lagi lulusan Akademi Islam Universiti Malaya, UKM, INSANIAH dan sebagainya.

Namun, ironi lagi ramai ustaz-ustazah kita ada, kenapa makin jauh masyarakat kita daripada Islam hari ini?

Saya tidak risau sangat akademik pelajar-pelajar sekolah agama hari ini.

Trend dua-tiga tahun kebelakangan ini menyaksikan pelajar-pelajar sekolah Islam banyak menjadi pelajar terbaik kebangsaan.

Namun, apa yang lebih menggusarkan ialah merudumnya sinar iman dan kefahaman Islam dalam kalangan anak didik sekolah Islam kita hari ini.

Namun, insyaAllah, andaikata manusia itu kita didik dengan proses keimanan yang terancang dan berterusan, akan lahir Muslim dalam erti kata yang sebenarnya.

Itulah yang saya kongsikan dengan adik-adik.

Nampaknya mereka jelas antara semata-mata ilmu dengan penguasaan ilmu berpaksikan kefahaman Islam.

Kem ini berakhir dengan peluk kasih dan harapan.

Lambaian mereka di atas bas itulah tandanya kami akan kembali bersama.

Bila mereka jejak sahaja ke kampus, akan kami hulurkan tangan.

Biar kita bersama terus berjalan dan berjuang.

Biar panji-panji Islam kita kibarkan di penjuru benua.

Itu janji kita, adik-adik.

Yakinlah, Islam pasti akan menang!

LITTLE CALIPH @ little-caliph.blogspot.com
50603 Kuala Lumpur

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri