Jadilah Seorang Sahabat

By | April 11, 2013 at 11:04 pm | 1,788 views | No comments | Artikel Bacaan, Pengalaman & Iktibar

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(Surah al-Hujurat: Ayat 13)

Sahabat.

Insan yang menerima diri kita seadanya.
Menerima yang bagaimana?
Menerima setiap kelebihan dan kekurangan kita.
Sedia mendengar setiap kisah suka dan duka kita.
Bersedia membantu kita dalam pelbagai cara ketika kita dalam kesusahan.
Tersenyum bersama kita ketika gembira.
Berkongsi pelbagai nasihat untuk perbaiki diri bersama-sama.
Bersama kita tika suka dan duka.
Sedia untuk meminjamkan bahunya ketika kita butuhkan sekelumit kekuatan.

Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.
(Hadis Riwayat Al-Hakim)

Sukarkah Mencari Sahabat?

Di antara 100 orang kawan, mungkin yang terpilih hanya satu.
Ataupun, 1 dalam sejuta.
Amat sukar untuk mencari seorang insan yang bergelar sahabat.
Setiap insan yang kita kenali, belum tentu dia dalpat menjadi sahabat buat kita.
Begitu juga dengan kita.
Di antara beratus-ratus orang yang kita kenali, dari kecil sampai sekarang, belum tentu kita boleh terpilih untuk menjadi seorang sahabat kepada seseorang.
Sahabat seperti cermin kepada diri kita.
Bukan mudah untuk mencari cermin yang sesuai dengan kita.
Kadang-kadang, ada saja yang tidak kena dengan cermin tersebut.
Cermin yang terpilih itu bukan sebarang cermin.
Cermin yang berharga buat diri kita.

Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Di manakah kita ingin mencari seorang insan yang mampu menutup kekurangan kita?
Di manakah kita dapat temui seorang insan yang mampu menasihati kita apabila kita melakukan kesilapan atau kesalahan?
Di manakah kita dapat jumpa seorang insan yang sedia mendengar setiap tangisan dan keluhan kita?
Di manakah kita ingin mencari seorang insan yang dapat menghalang kita daripada melakukan perkara yang dilarang olehNya?
Di mana?
Siapa?

Jadilah Seorang Sahabat.

Untuk mencari seorang sahabat yang kita kehendaki, jadilah seorang sahabat yang kita ingini.
Kita terlalu impikan seorang sahabat yang baik, namun kita tidak cukup baik untuk bersamanya.
Kita terlalu inginkan sahabat yang sudi mendengar kisah duka kita, tetapi kita tidak hiraukan kisah duka orang lain.
Kita harapkan seseorang yang dapat membimbing kita, namun pabila ditegur kita melenting.
Bagaimana kita bisa mendapat seorang sahabat yang kita idamkan, sedangkan kita tidak layak untuk menjadi seorang sahabat.

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Oleh itu, berubahlah!
Berubahlah supaya kita mampu untuk menjadi seorang sahabat kepada orang lain.
Perkara yang paling penting adalah, bersahabatlah kerana Allah.
Hubungkanlah tali persahabatan itu kerana Allah.
Sungguh indah, jika tali persahabatan itu kerana Allah.

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.

Sahabat Sebenar.

24 jam, 7 hari.
Setiap detik bersama kita.
Dia tidak pernah bosan mendengar setiap keluhan kita.
Dia tidak pernah tidur mendengar cerita kita.
Dia sentiasa bersama kita di mana sahaja kita berada.
Dia sentiasa menjaga kita sepanjang masa.
Dia, Allah – sahabat sebenar kita.
Dia tidak pernah lupakan kita, malah kita yang sering alpa akanNya.
Allah sentiasa bersama kita.
Dulu.
Kini.
Dan selamanya.

Untuk mencari seorang sahabat, jadilah seorang sahabat.


Nukilan :
Syaza Syafeeqah Bt Mohammad Khasnan
Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak,
Universiti Pendidikan Sultan Idris , Tanjung Malim

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri