Hatimu Memerlukannya

By | May 14, 2012 at 10:12 am | 417 views | No comments | Remaja dan Mahasiswa

Realiti dunia, masa berlalu, musim berganti. Usia menginjak dewasa. Dahulunya kanak-kanak.. Kini melangkah ke alam remaja dan pastinya ramai yang menunggu masa untuk bergelar mahasiswa. Pasti! Itu impian ramai remaja.

Kerana itu, minda diasak pelbagai persoalan dan tanda tanya.

Alam persekolahan vs Alam IPT

Adikku, dahulu aku juga begitu.. tertanya-tanya sama seperti kamu.

Adikku, dahulu aku juga begitu.. hairan apabila kakak-kakak senior berpesan;

“Carilah mutiara sebanyaknya, selamilah dasarnya.. kerana nanti, hidupmu pasti berbeza”

 

Alam IPT: Warna sebenar dunia

Adikku,

Menginjak ke alam IPT, kamu akan bertemu warna sebenar dunia.

Kamu akan berada di alam yang penuh berbeza.

Disogokkan dengan perkataan ‘kebebasan.’

Benar, IPT menjanjikan ‘kebebasan.’

Kamu bebas menentukan segalanya; bebas memilih cara hidupmu, bebas memilih teman, bebas mengatur masa. Tidak lagi terikat dengan apa-apa.

‘Bebas’

Benar, aku juga pernah merasainya.

Kerana itu, pesanan mereka kembali bergema.

 

Hatimu memerlukannya

~ coretan ini sekadar perkongsian pengalaman ~

Dahulu, aku juga pernah tersilap tingkah.

Lebih mementingkan masa untuk ‘assignment’, lebih mementingkan masa untuk ‘discussion,’ lebih meluangkan waktu untuk membincangkan perihal ‘presentation’ esok hari.. Menghabiskan waktu merangka dan merancang untuk kelab dan persatuan. Menghabiskan masa-masa yang berlalu untuk memenuhi tuntutan ‘course performa.’

Sehingga apabila diajak untuk ke usrah. Jawapannya mudah, “maaf, hujung minggu ini sibuk.. itu dan ini…”

Ketika itu, hati terlalu yakin, tak mengapa, minggu depan kan masih ada?

Ketika itu, hati terlalu yakin, belajar itu ibadah.. kerana itu perlu dilakukan sebaiknya.

Benar.. tiada yang salah dengan keyakinan-keyakinan tersebut.

 

Gunakanlah stetoskop hati

Benarkah benar?

Meletakkan akademik di tangga teratas merupakan sebaik-sebaik pemilihan?

Namun, seandainya pemilihan itu benar,

Kenapa hati mula terasa kosong? Seakan jauh. Jauh dari Nya.

Kenapa semangat yang berkobar-kobar itu mulai pudar?

Kenapa hidup terasa tidak ubah seperti robot. Mengulang rutin yang sama.

Bila ujian menerpa, hati tidak sekuat dahulu. Hampir-hampir berputus asa.

Puncanya mudah; bilamana tanpa sengaja meninggalkanNya.

Impaknya, hati mula terasa goyah.

Malu untuk pergi ke usrah, kerana dahulu pernah mengenepikannya.

Malu untuk menziarahi lubuk tarbiyah, kerana merasakan bukan lagi diri yang dahulu.

Malu untuk berdepan dengan sahabat lama, kerana merasakan diri bukan lagi insan yang sama.

Merasakan seolah-olah dunia telah berubah.

Semuanya bermula apabila hati mengenepikanNya..

 

Berubah bukan mudah

Ketika itu, pelbagai bisikan menerpa. Pastinya tika itu, yang paling gembira ialah syaitan durjana yang tidak henti-henti membisikkan ‘kau tak ubah seperti mereka.’ Justifikasinya mudah, ‘kerana kau berada dalam lingkungan mereka, berada di posisi di mana maksiat berleluasa.’

Seandainya kamu berada dalam situasi yang sama kini, ‘Lawanlah! Lawan bisikan yang meruntuhkan itu.’ Syaitan itu licik, Semakin licik bilamana kamu terleka. Bukanlah dengan berada bersama mereka, kamu adalah mereka. Selagimana kamu tidak melakukan perbuatan yang sama. ‘Kembalilah, hatimu memerlukanNya..’

Sekiranya kamu masih istiqamah dengan usrah, ‘Tahniah! Semoga terus dikuatkanNya. Jangan pernah bereksperimen dengan jahiliyah.. Bimbang nanti hatimu tersasar’

 

Yang Teratas

‘Tarbiyah tidak memerlukanmu namun kamu memerlukan tarbiyah’

Dari situ, aku belajar sesuatu, yang patut diletakkan di tangga teratas adalah kedua-duanya; ‘akademik dan tarbiyah.’

Adikku, sungguh, kita amat memerlukanNya, memerlukan peringatan untuk terus melangkah, memerlukan usrah untuk me’refresh’ hati, meng’format’ jiwa dan meluruskan niat; agar semua yang terjadi dilakukan hanya kerana-Nya.

Di alam IPT, tarbiyah bukan percuma. Mahal harganya. Bayarannya ialah luangan masa. Kamu perlu berdikari dan bijak menyusun masa untuk diri sendiri. Berbeza dengan alam persekolahan. Ia datang silih berganti.. Jika hari ini terlepas, esok masih ada menjadi pengganti. Mungkin, kerana itu ada yang kurang menghargai.

Adikku, bukanlah kerana kamu pernah berada dalam lingkungan tarbiyah, kamu telah cukup bersedia. Terlalu banyak mehnah dan tribulasi di dunia sebenar ini. Terlalu banyak persoalan yang memerlukan jawapan.

Kerana, hidup tidak seindah ungkapan kata, ranjaunya pahit, manisnya syurga.

Pesanku, jangan pernah mengulang kesilapan yang sama. Bukankah insan yang cerdik itu mengambil ibrah dari sejarah? Anggap sahaja coretan ini sejarah kecil yang tidak patut diulang dulu, kini dan selamanya.

 

Erti sebenar kebebasan

Pastinya, ‘kebebasan’ yang sebenar itu bilamana bebas dari belenggu hawa nafsu. Bukannya bebas dari usrah dan tarbiyah sepertimana yang diyakini segelintir masyarakat..

Berdoa dan berusaha!! Testimoni dari diri sendiri; sebenarnya bila kamu kembali, semuanya lebih indah, kerana yang terpenting ialah keberkatan masa. Sesungguhnya apabila kembali padaNya kamu akan sedar rupa-rupanya semuanya boleh belaka. ‘multitasking’. Benarlah, semakin dekat padaNya, semakin tenang terasa. Pilihlah yang terbaik, hiduplah sebaiknya hanya keranaNya.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri