Hati Juga Mahu Hidup

By | May 26, 2013 at 10:45 pm | 659 views | No comments | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Hati itu miliki keadaannya sendiri. Tidak sama seperti akal dan peranannya cukup berbeza. Jika kita kenal akan hati, nescaya akan berlakulah suatu kelainan dalam kehidupan. Hati itu tidak kelihatan namun ia ada. Seperti mana rasa sunyi yang tak kelihatan, tetapi anda boleh merasainya. Ayuh, kenali hati.

Hati seperti rumah kosong
Hati kita sangat kosong, kerana itulah kita merasa sepi dan rindu pada sesuatu. Namun sering kita runsing, kita rindu pada apa. Kita sering hairan mengapa hati mudah sedih dan sukar bahagia. Jika dihulurkan nikmat dunia, ia bahagia namun cuma sebentar. Dunia ini dan isinya mana ada yang kekal. Semuanya hanya sebentar. Hati terus menanti untuk diisi. 

Sunyi yang panjang
Hati sering sunyi. Kadangkala pintunya diketuk dari luar. Bila dibuka, tiada siapa pon yang melawatnya. Hanyalah mainan minda dan bisikan syaitan yang ingin memutarbelitkan minda dan menambah kepiluan hati. Hati terus merintih kesedihan dan kekosongan. Hati hanya tetap menunggu kepulangan tuannya. Agar tuannya kembali menjadi teman.

Mencari tempat sandaran
Kasihanilah hatimu wahai insan, ia juga inginkan kehidupan. Hati sering mencari tempat untuk berehat dan bersandar. Namun sering ia tersandar di pohon berduri, dek kesilapan penjaganya. Lantas ia terluka, dan darahnya mengalir dengan banyak dan tidak henti-henti, dek kelalaian penjaganya. Hati itu tidak kelihatan namun ia ada. Lalu ia ingin bersandar pada yang tak kelihatan, tetapi ada. Pada yang Maha Mencipta.

Dibiarkan tertipu
Hati juga sering dibuai dunia. Seperti yang tadi, dihulur dengan dunia. Tetapi kali ini, hampir saja nikmat itu hilang, nikmat yang baru datang. Buaian dunia itu kembali dibuai dan terus dibuai. Lalu hati itu hanyut dalam kebahagiaan kononnya. Namun hati tetap hati. Ia tak kelihatan namun ada. Dan ia cinta pada yang tak kelihatan tetapi ada. Sebanyak mana nikmat dunia pon tidak akan mampu memberinya ketenteraman. Sering ia tertipu oleh alam fantasi, sedangkan ia hidup dalam realitinya.

Sengaja dilupakan
Hati sering rindu pada tuannya. Namun sedih, tuan itu sering lupa padanya. Tuan itu tidak cuba mengenal hati, lalu dilayan dengan apa yang ia benci. Wahai hati, sedih aku melihatmu dilayan sebegitu rupa. Oleh insan-insan yang lupa tentang apa itu hati. Engkau duka dan sengsara, engkau rindu pada kenikmatan abadi, namun dijamu dengan kepahitan dunia. Kasihan engkau wahai engkau wahai hati.
Ini satu pemberian
Wahai manusia, tidakkah kalian terfikir bahawa kalian punyai hati. Kalian punyai rumah yang sangat besar iaitu hati. Inilah kenderaan kehidupan paling berkuasa tinggi, iaitu hati. Inilah harta milik kalian, yang dihadiahkan buat kalian. Tidakkah kalian sedar, bahawa yang sedang kalian bawa itu, adalah hadiah dari Maha Pencipta. Jika hadiah itu kita lempar ke mana saja sesuka hati, memang buruk akhlak kita terhadap hati.

Hanya ada satu jalan
Benarlah pesanan ulama kita, Ibnu Qayyim, hati itu sering sunyi, dan kesunyian itu hanya akan terubat dengan kembali pada Penciptanya. Hati itu sering sedih dan hanya akan bahagia setelah pulang pada yang Maha Penyayang. Wahai pemilik-pemilik hati, ayuh bersegeralah berpaut pada jalan yang cerah. Bawalah hatimu ke destinasi yang sesuai baginya. Agar hatimu itu kembali tenang. Agar hatimu kembali bahagia.

Jalan ketenangan
Dendangan zikrullah memecah suasana pagi. Gelap pagi terisi dengan mulia. Hati kembali bersinar dengan terang benderang. Hati gembira bersama tuannya. Lidah itu cukup bermakna. Letih tubuh bekerja demi membahagiakan hati. Jika ikut tubuh, ingin saja kembali tidur. Namun hati itu kawan yang terbaik. Ia tak lupa pada tuannya. Dilihat tuannya letih, ia pulihkan kesegaran jasad.

Tenaga luar biasa
Iman ku menggenggam hati seperti perwira dengan pedangnya. Senjata yang cukup tajam. Jangan lupa pada hati, kerana perwira tidak pernah lupa pada pedangnya. Hati itu cukup gagah dan perkasa. Jasad yang letih pun masih tetap bekerja. Akal yang sedang runsing pon boleh tenang oleh belaian hati. Ada yang tidak makan tetapi mampu bekerja. Ada yang tidak tidur seminggu kerana berjihad. Ada yang mampu berjalan ratusan batu demi perjuangan agamanya.

Generasi awal
Mereka yang lewat memilih agama pun sudah menjadi sebutan orang hari ini. Pemuda mereka cukup terkenal di seluruh dunia. Anak kecil juga tidak lupa, sanggup mengheret pedang ke medan tempur. Umar al-Khattab yang kita kagumi itu, juga pemilik hati yang mantap. Uthman Bin Affan dengan kelembutan dan keramahan, kemesraan dalam persaudaraannya. Ali Bin Abi Thalib dengan ilmunya yang cukup luas, serta keluhuran budi perkertinya. Abu Bakar as-Siddiq, khalifah pertama yang menggantikan urusan kaum muslimin, khalifah yang cukup benar, sahabat yang membenarkan.
Jika kita lontarkan satu soalan, wahai pemuda sekalian, bagaimanakah hati generasi sahabat awal itu? Dan bagaimana pula dengan kondisi hati kita?
Nah inilah kekuatan hati. Yang sekian lamanya ada pada anda.
Muhasabahlah dan ubatlah kerinduan hatimu itu dengan kembali pada Allah.

 

Nukilan :
Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir
Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan ,
UTHM , Johor

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri