Hakim Karakoush

By | February 21, 2014 at 10:41 pm | 428 views | No comments | Remaja dan Mahasiswa

                Malam pekat zulmat tanpa cahaya bulan, seorang pemuda berjalan terbongkok-bongkok di tepi sebuah rumah. Hatinya penuh girang membayangkan limpahan harta berharga di rumah yang tidak berpenghuni ketika itu. Tanpa membuang masa, dia terus memanjat tingkap rumah berkenaan. “Prak…” kayu tingkap yang dipijak olehnya tiba-tiba patah hingga menyebabkan kakinya patah. “Urm.. aku tahu apa nak buat! Aku mesti dapatkan pertolongan Hakim Karakoush, dia pasti menyebelahi aku.” Bisik hati pencuri tersebut.

                Keesokan harinya, dengan sebelah kaki yang berbalut si pencuri tersebut terjungkit-jungkit untuk berjumpa Hakim Karakoush. Misinya hanya satu, dia ingin mendapatkan kebenaran mengenai siapa yang bersalah menyebabkan kakinya patah. “Yang mulia, ketika aku sedang memanjat tingkap salah sebuah rumah penduduk di sini, tingkap tersebut patah hingga menyebabkan kakiku patah. Pemilik rumah berkenaan harus bertanggungjawab atas kecuaiannya kerana tidak memeriksa tingkap tersebut,” jelas si pencuri. Tanpa menunggu lama, Hakim Karakoush terus berteriak kepada polis di mahkamah, “Panggil pemilik rumah itu!”

                “Lihat, kaki pemuda berkenaan patah semasa memanjat tingkap rumah kamu yang tiba-tiba reput dan patah. Mengapa kamu cuai dengan memasang tingkap yang reput hingga menyebabkan kakinya patah? Jadi, jelaslah kamu yang bersalah dalam hal ini,” putus Hakim Karakoush. Hal ini menimbulkan ketakutan pemilik rumah berkenaan. Namun, dia sedar bahawa hakim tersebut seorang yang selalu membuat keputusan yang salah dan dungu. Maka, dia mempertahankan diri dengan berkata “Tetapi yang mulia, itu bukan kesalahanku. Itu adalah kesalahan  tukang tingkap yang memasang tingkap berkenaan.” “Kalau begitu, panggil tukang tingkap itu ke mahkamah!” arah Hakim Karakoush kepada polis mahkamah.

                “Kamu lihat, kaki pemuda berkenaan patah semasa memanjat tingkap yang kamu pasang di sebuah rumah. Mengapa kamu sangat cuai ketika memasang tingkap yang telah reput dan tidak kuat hingga menyebabkan kakinya patah? Jadi, jelaslah kamu yang bersalah dalam hal ini,” tegas Hakim Karakoush. Walaupun berada dalam ketakutan, tukang tingkap berkenaan sedar yang Hakim Karakoush seorang yang dungu dan sering membuat keputusan yang tidak betul. Maka, dia membela diri dengan berkata, “Tetapi yang mulia, itu bukan kesalahanku. Itu adalah kesalahan seorang wanita cantik bergaun merah kerana dia lalu di situ sehingga menyebabkan aku mengalih pandanganku ke arahnya. Ini menyebabkan aku memasang tingkap itu dengan salah. Sekali lagi aku menjelaskan bahawa itu adalah kesalahan wanita berkenaan, bukan kesalahanku.” Tanpa membuang masa Hakim Karakoush berteriak kepada polis “Kalau begitu, panggil wanita itu ke mahakamah!”

                “Lihat, kaki pemuda itu patah semasa memanjat tingkap di sebuah rumah. Tukang tingkap tersebut memasangnya dengan cuai kerana terpandang kecantikan kamu yang lalu di situ dengan berpakaian gaun berwarna merah. Jadi, jelasalah kamu yang bersalah dalam hal ini,” putus Hakim Karakoush. “Yang mulia, itu bukan kesalahanku kerana kecantikan itu adalah kurniaan Allah s.w.t,” balas wanita tersebut sambil tersenyum. “Ya, benar. Namun, gaun yang kamu pakai menyebabkan tukang tingkap tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjanya,” kata Hakim Karakoush. “Jika begitu, itu kesalahan tukang celup gaun merah yang aku pakai,” kata wanita berkenaan. “Kalau begitu, panggil tukang celup gaun itu ke mahkamah,” arah Hakim Karakoush kepada polis mahkamah.

                “Kamu lihat, kaki pemuda berkenaan patah semasa memanjat tingkap sebuah rumah. Tukang tingkap yang memasangnya cuai ketika bekerja kerana terpandang kecantikan seorang wanita yang bergaun merah. Kamu yang telah membuat dan mencelup gaun merah itu. Jadi, jelaslah kamu yang bersalah dalam hal ini,” tegas Hakim Karakoush. “Tapi… tapi yang mulia, itu bukan kesalahan saya,” tukang celup itu merayu dalam ketakutan. “Bawa tukang celup itu keluar dan jatuhkan hukuman gantung ke atasnya!” arah Hakim Karakoush yang jelas menyerlahkan kedunguannya.

                Namun, polis mahkamah berdepan dengan masalah besar kerana tubuh tukang celup itu sangat tinggi dan tidak sesuai untuk diikat pada tali yang separas dengan bahunya. Mereka mengadu pada Hakim Karakoush dan beliau mengarahkan “Kamu cari sahaja tukang celup yang rendah dan boleh digantung pada tali tersebut dan gantunglah dia.” Akhirnya, tamatlah riwayat seorang tukang celup rendah yang tiada kena mengena langsung dengan kaki pemuda yang patah.

Di sebalik tabir: Kenali Hakim Karakoush

                Penduduk di Mesir acapkali memberi istilah Hakim Karakoush kepada seseorang yang selalu membuat keputusan yang tidak adil kerana tidak berfikir panjang.

 

Impak Kisah Hakim Karakoush

 Impak daripada kisah ini dapat ditinjau dari pelbagai perspektif. Antaranya, bahaya sikap menyalahkan orang lain, kepentingan ilmu di dalam kehidupan dan pemilihan kepimpinan yang tepat. Pertamanya, budaya menyalahkan orang lain bukan lagi fenomena luar biasa. Hal ini kerana ianya lebih mudah untuk menunding jari ke arah orang lain daripada melihat kelemahan diri sendiri apabila sesuatu peristiwa yang tidak diingini berlaku. Contohnya, apabila gagal dalam peperiksaan murid lebih mudah menyalahkan dan mengatakan guru tidak pandai mengajar berbanding mengakui kurangnya usaha menelaah pelajaran sebelum peperiksaan. Tidak dapat disangkal lagi, fenomena seperti ini berisiko meninggalkan kesan negatif dalam kehidupan kerana mengubah orang lain lebih sukar berbanding mengubah diri sendiri. Justeru, solusi terbaik adalah mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan diri demi meningkatkan lagi nilai dan kualiti kehidupan.

 Keduanya, ilmu sangat penting dalam membantu seseorang membuat keputusan yang tepat pada waktunya. Tanpa ilmu, manusia cenderung untuk membuat keputusan membuta tuli dan cenderung untuk tidak berlaku adil. Kejahilan ini akan memberi impak yang lebih signifikan apabila ianya dilakukan oleh pihak yang memegang jawatan penting dan keputusannya memberi kesan kepada orang lain seperti hakim, pemimpin negara, pengarah dan banyak lagi. Justeru, para remaja dan mahasiswi perlu mengambil pelbagai inisiatif dalam memperkasakan ilmu di dada agar dapat menjadi insan berintelektual tinggi dan berfikiran kritis tidak seperti Hakim Karakoush. Ingat, kutiplah segala ilmu dan kepakaran untuk diri kita sendiri juga kerana kita juga adalah pemimpin kepada diri kita sendiri.

Seterusnya, pemimpin harus dilantik dari kalangan mereka yang berilmu dan mengaplikasikan ilmu di dalam kehidupan. Hal ini kerana pemimpin yang dungu tidak dapat membuat keputusan yang adil dan berisiko menyebabkan huru hara akibat kurangnya kecekapannya dalam mengendalikan tanggujawab yang diberi. Justeru, amat penting bagi kita untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak dalam menggalas tanggungjawab dan amanah kepimpinan dalam masyarakat.

Rujukan

Adrisudiro, I. (1998, December 20). [Kisah 1001 Malam] Hakim Karakoush. Retrieved August 1, 2013.

Nukilan ,
Atiqah Azmi
B.Ed Tesl, UPM

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri