Hakikat Ukhwah

By | May 14, 2012 at 9:46 am | 801 views | No comments | Pengalaman & Iktibar

“Jam tangan ana hilang. Ada sesiapa ternampak tak?” Nurul bertanya kepada housemates nya yang sedang berbual-bual di ruang tamu. Nurul kelam kabut, kelasnya akan bermula sepuluh minit dari sekarang, tetapi jam tangannya pula hilang.

“Tak ada lah pulak,” Shahira membalas ringkas sebelum menyambung semula ceritanya.

“Dalam bilik air dah tengok?” Giliran Ain pula bersuara.

“Takde, tengok dah. Takpelah,” Nurul meninggalkan enam orang teman-temannya. Mereka lantas meneruskan perbualan sementara Nurul berlalu ke bilik untuk meneruskan pencariannya. Sendirian, sedangkan baru semalam mereka menghadiahinya kad ucapan ulangtahun kelahiran yang ke-20, dan tersemat di dalamnya “uhibbik fillah ya ukhti Nurul”

Situasi sebegini pernah berlaku ratusan tahun dahulu, dalam sebuah peperangan menentang musuh Islam. Tatkala itu seorang tentera berkuda Islam kehilangan bekas minuman di pingir pantai.

“Anta cari apa?” Seorang sahabat bertanya apabila menyedari saudaranya turun dari kuda dan terbongkok-bongkok mencari sesuatu.

“Bekas minuman ana hilang,”

Sepantas kilat sahabat tadi turut serta turun dari kudanya. Dia juga terbongkok-bongkok mencari bekas minuman itu di celah-celah kesibukan tentera berkuda itu.

“Mereka cari apa tu?”

“A-ah, mereka cari apa ya?”

Hingga akhirnya seluruh tentera berkuda turun mencari sebekas minuman sahaja. Akhirnya keganjilan ini disedari pula oleh sang panglima tentera. Maka sebelum dia juga membantu mencarinya, dia mengarahkan seluruh tentera Islam untuk turun mencarinya.

Perisik musuh yang mengintip terkejut dengan syakhsiah yang ditonjolkan oleh tentera Muslimin. Yang hilang cuma sebekas minuman yang tidak mustahil boleh diganti dan nilainya tidaklah seberapa.

Kalau hanya sebekas minuman sahabat mereka hilang seluruh tentera Islam mencarinya, apatah lagi seandainya seorang dari mereka hilang, tentu habis kita dikerjakan selumat-lumatnya. Peristiwa ini mengecutkan kaki musuh dan akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan. Beginilah kesannya ukhwah Islamiyyah; menggugurkan kekuatan musuh dan menyuburkan kemenangan ummah.

Inilah juga resipi perjuangan jihad Rasulullah. Tiada kalimah jihad selagi mana tidak hadirnya iman, kerana dari iman tumbuhnya ukhwah, maka dari ukhwah wujudlah kesatuan dan kerjasama.

“Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”

(HR.Bukhari)

Ukhwah: Kayu ukur keimanan

Ukhwah adalah kayu pengukur pasang surutnya keimanan. Semakin teguh ikatan persaudaraan fillah, semakin hampirlah untuk menjadi mukmin sejati (mu’minul al haq). Maka sudah tentunya personaliti manusia yang berukhwah adalah personaliti insan yang hidupnya basah dengan limpahan iman. Mereka memburu satu cita yang satu yakni mengejar redha Allah dan berlumba-lumba dalam kebaikan. Mereka menjadi kelompok manusia yang bersatu dalam kepedihan, kepenatan, keresahan, kegembiraan, kejayaan dan bersama-sama merasai kepedihan derita ummat.

 

Ukhwah itu bermula dengan seorang , mulalah mendidik sekarang

(www.langitillahi.com)

Apa itu ukhwah fillah?

Ukhwah yang dikatakan fillah (ukhwah kerana Allah) ialah….

1. Sejauh mana tahap takwa dan kebaikan yang kita lihat dari saudara kita, sejauh itulah tulusnya cinta dan persahabatan yang kita berikan padanya. Sejauh mana tahap zikir, ibadah, peringatan akan akhirat, perhatian terhadap ketaatan kepada Allah, dan dakwah di jalan-Nya yang memenuhi perjalanan persahabatan itu, sejauh itulah eratnya persabatan dan jalinan cinta yang terjalin di antara keduanya. Namun, jika hubungan persahabatan kering dari zikir, ibadah, saling menasihati, mengingatkan tentang akhirat dan mendorong semangat dakwah, maka kegersangan ukhwah akan semakin terasa, lalu beralih menjadi permainan dan perdebatan yang sia-sia. Hati bertambah keras dan cepat bosan, sementara perkataan dan perbuatan sia-sia membuka gerbang kerosakan dan perselisihan, yang pada akhirnya wujudlah dosa sebagai dinding pemisah yang memisahkan ikatan ukhwah antara dua sahabat. Sesungguhnya kelebihan hubungan ukhwah kerana Allah adalah kerana yang terlibat di dalamnya sentiasa mengingatkan masalah-masalah akhirat, seperti yang dinyatakan oleh al-Hasan rahimahullah: “Sahabat lebih kami cintai daripada keluarga sendiri, kerana sahabat mengingatkan kita akan akhirat, sedang keluarga mengingatkan kita akan dunia.”

2. Perasaan hati adalah sebahagian dari cinta yang diajarkan oleh agama. Kita mengetahui bahawa hati memiliki perasaan-perasaan tertentu yang menjadi elemen terpenting bagi cinta. Perasaan yang dapat menjadikan seseorang selalu merindukan sahabat yang dikasihinya, ingin bertemu, mendengar kata-katanya, dan bahagia kerana pertemuan dengannya, sehingga muncul wajah ceria yang dihiasi oleh senyuman dan mencerminkan kebahagiaan. Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa suatu saat datang kepada Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam seseorang dengan wajah murung dirundung duka, maka Rasullullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya: “Wahai Fulan, apa yang membuatmu sedih?” Ia menjawab: “Wahai baginda Nabi, aku sedih kerana memikirkan sesuatu.” Rasullullah bertanya lagi: Apakah yang difikirkan olehmu?” Ia menjawab: “Selama ini kami datang dan pergi menemuimu, menatap wajahmu dan berkumpul denganmu. Namun nanti di alam akhirat engkau berada pada kedudukan yang dilindungi bersama para Nabi, kami tidak sanggup mencapai darjat itu. “Sejenak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam diam, sehingga datang Jibril dan mewahyukan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala kepadanya: “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu para Nabi, para shiddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang shalih. Dan mereka itulah teman yang paling baik”

(An-Nisa’ [4]: 69)

Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menyampaikan khabar gembira itu kepada sahabat yang bertanya tersebut.

Cuba renungkan, apa yang mengusik hati sahabat tersebut, padahal ia telah masuk syurga dan merasakan kenikmatannya?

Ia merupakan cinta kasih yang agung dan perasaan tulus yang begitu menggelora.

3. Perasaan tulus membuatkan seseorang sanggup mengutamakan kepentingan sahabat dari kepentingannya sendiri, sekalipun harus mempertaruhkan nyawanya. Ia bimbang sahabatnya lebih dari kebimbangan terhadap dirinya sendiri, bersimpati atas semua musibah dan penderitaan yang dialaminya.

Seorang ulama’ salaf berkata: “Jika seekor lalat hinggap di tubuh sahabatku, aku benar-benar tidak boleh tinggal diam.”

Seorang Mukmin yang tulus cintanya, sanggup dan rela mengorbankan hartanya demi membantu meringankan beban saudaranya. Bahkan ketulusan cintanya dapat mendorongnya untuk mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan sahabatnya.

Perasaan yang tulus akan mendorong seseorang untuk mendoakan sahabatnya ketika berpisah dan menyebut namanya dalam waktu-waktu termakbulnya doa. Sebagai contoh, Imam Ahmad pernah mendoakan beberapa sahabatnya di keheningan sepertiga malam terakhir dengan menyebut nama-nama mereka. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pun menyarankan agar kita melakukannya.

Kesimpulan

Saban hari, kita sudah terlalu sering mendengar kalimat `Uhibbik fillah’. Tiga contoh di atas adalah warisan rentetan perjalanan sejarah kaum Muslimin. Kita bagaimana? Dulu….mereka tiada kemudahan handphone untuk mengkhabarkan uhibbik fillah kepada teman rapat mereka. Realiti hari ini pula adalah sebaliknya, paling kurang setiap bulan kita selalu menerima SMS dari teman di kejauhan menyatakan kasih mereka kepada kita, tetapi sejauh mana kita menunaikan hak ukhuwwah yang tertanggung di atas bahu kita?

Duduk dan berfikirlah, tepuk dada tanya iman….

Oleh : Nailah Abd Kadir

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri