Fenomena Kelesuan

By | March 3, 2013 at 7:59 am | 815 views | No comments | Artikel Bacaan, Remaja dan Mahasiswa

 

“Kak, jiwa kacau kak,” keluh Anis sebaik sahaja memasuki bilik senior yang amat dikenalinya. “Kenapa ni Anis?” soal Kak Amirah ingin tahu. “Saya rasa serabut sangat. Buat apapun tak kena. Tadi saya ingat nak mula buat assignment saya. Tapi saya stress sangat sampai satu ayat pun tak keluar. Susahla macam ni kak, lusa dah nak kena hantar,” luah Anis. “Kenapa Anis, susah sangat ke assignment tu?” tanya Kak Amirah. “Standard je kak soalannya. Tapi sejak kebelakangan ni saya tak dapat nak fokus, asyik teringat result exam hari tu. Teruk kak pointer saya jatuh. Seram saya,” kata Anis.
Kisah Anis merupakan kisah yang boleh terjadi kepada mana-mana mahasiswa. Seandainya masalah ini dibiarkan, ianya bakal menyumbang ke arah peningkatan mahasiswa lesu di IPT dan IPTA. Golongan mahasiswa lesu ini boleh dilihat melalui pencapaian akademik yang kian merosot, pemakaian yang kian tidak kemas serta penglibatan di kampus dan universiti yang kian pasif. Hal ini berpunca daripada lemahnya pengurusan mental dan emosi yang mempengaruhi produktiviti mereka.
Refleksi diri
Pernahkah anda mengalami gejala ini?
– Asyik terimbau kenangan silam. Boleh jadi anda teringat seseorang yang pernah mengecewakan anda dengan teruk atau peristiwa yang sangat memalukan anda.
– Anda asyik teringatkan cita-cita anda yang tidak kesampaian.
– Anda selalu berasa susah hati, risau dan sukar untuk fokus.
– Bilik anda mula berselerak tidak seperti dulu.
– Apabila anda berkata-kata, isinya penuh dengan gossip; tidak berfokus dan tidak produktif.
– Anda berasa sukar untuk membuat keputusan yang tepat.
Jika anda berhadapan dengan situasi ini, ini bermakna minda anda bukan lagi dalam kawalan anda. Perkara utama yang perlu dilakukan ialah dengan melakukan transformasi terhadap gaya hidup anda.

Transformasikan gaya hidup anda!

1. Kenalpasti objektif anda
Prof Dr. Muhaya pernah berkata ‘manusia tidak memerlukan motivasi; yang manusia perlukan ialah motive for action’. Justeru, tanyakan pada diri kenapa aku berada di sini, di bumi yang menyajikan ilmu tanpa batasan. Apakah hanya untuk mendapatkan 4 flat untuk kerjaya cemerlang gemilang terbilang bagi masa hadapan atau misinya lebih besar daripada itu? Menurut Ustaz Pahrol, manusia kadang-kadang keliru dengan dunianya. Adakah ianya dijadikan sebagai alat atau dijadikan sebagai tujuan. Seandainya ianya alat, segala usaha bagi meraih kecemerlangan dalam pelajaran dan kerjaya merupakan tiket untuk menggapai SyurgaNya. Namun, seandainya kecemerlangan yang ditagih hanya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan gaji yang lumayan; pastinya dunialah tujuan hidupnya. Jadi, reset kembali objektif anda agar meletakkan dunia kembali ke posisi yang sebenar.

2. Lapangkan minda anda
Lazimnya semasa mengemas almari, kita akan membahagikan dan menyusun barang mengikut ruang. Justeru, dalam ‘mengemas minda,’ anda perlu memastikan ‘di manakah sepatutnya anda meletakkan perhatian dan fokus anda’ (Brenner, 2010). Ringkasnya, sekiranya anda berhadapan dengan masalah, cuba selesaikannya satu-persatu. Masalah akan menjadi lebih berat seandainya anda cuba menyelesaikannya sekaligus. Menurut Cik Sharifah, pensyarah linguistik di UPM, minda kita boleh dikotakkan (dikategorikan). Begini contohnya;

 

Kotak 1: keluarga
Kotak 2: diri sendiri
Kotak 3: study
Kotak 4: persatuan
Kotak 5: program tarbawi

Jadi, perkara yang paling penting ialah memastikan apapun yang terjadi pada mana-mana ‘kotak’ di dalam minda anda tidak mempengaruhi atau menganggu ‘kotak’ yang lain. Contohnya, walaupun anda menghadapi masalah keluarga yang kritikal dan masalah assignment yang terlalu sukar, jangan biarkan ianya menyebabkan anda terlepas dari mengikuti program tarbawi yang penting bagi peningkatan diri anda.

3. Disiplinkan minda anda
Percaya atau tidak, amalan berdoa dan fokus semasa solat merupakan langkah yang efektif bagi mendisiplinkan minda anda. Hal ini kerana semasa solat kita melatih diri untuk khusyuk dan menghayati semua bacaan dan rukun solat. Perkara yang sama juga perlu dilakukan di luar solat; teliti apa yang difikirkan dan apa yang dirasai dan lawan semua perasaan negatif yang cuba mengawal minda anda. Sepertimana yang pernah diutarakan Prof. Dr. Muhaya ‘jangan biarkan 5 tahun hidup anda dibazirkan untuk mengingati peristiwa menyakitkan hati anda yang cuma berlaku dalam masa 5 minit.’ Membazir bukan?

 

4. Prioritikan hidup anda
Ian K Smith, di dalam bukunya yang berjudul ‘Happy’ mengatakan bahawa majoriti manusia tidak mampu melakukan multitasking. Menurutnya, apabila seseorang melakukan lebih dari 3 perkara dalam satu masa, ianya berisiko untuk mengambil masa yang lebih panjang. Contohnya, sms, bermain facebook dan menyiapkan assignment serentak. Hasilnya, assignment yang boleh disiapkan dalam jangka masa 3 jam boleh memakan masa sehingga 8 jam lamanya. Jadi, beliau mencadangkan ‘Divide Attention’ iaitu menyelesaikan 1 tugas dalam 1 masa. Antara cara yang boleh dilakukan ialah menulis perkara yang perlu disiapkan (to-do list) kemudian menyelesaikannya satu persatu mengikut prioriti.

 

 

5. Gembirakan hidup anda

“Yesterday is history, tomorrow is a mystery and today is a gift. That is why it is called a present” Maka, lazimkan diri anda melakukan apa sahaja yang anda minati setiap kali anda berjaya menyelesaikan tugasan anda selagimana ianya tidak bertenangan dengan syarak. Pastinya, hari-hari yang anda lalui akan menjadi lebih ceria dan bermakna.

 

 

 

 

Konklusinya, berhati-hati di jalan raya kehidupan, ingatlah Allah yang tersayang. Seandainya langkah terasa kian payah, ingatlah tiada yang mampu memudahkan melainkan Dia. Jadilah mahasiswa mukmin yang professional bukannya mahasiswa lesu yang tidak pasti arah tuju.

 

Nukilan : 
Atiqah Azmi
B.Ed Tesl, UPM 

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri