Bimbinglah Dengan Akhlak Kita

By | July 3, 2012 at 4:14 pm | 1,100 views | One comment | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Ada sebuah kisah tentang seorang anak kecil yang beragama Islam. Dia masih lagi menuntut ilmu diperingkat tadika. Namun tadika tersebut milik orang bukan Islam. Si ibu risau jika aqidah atau budaya di sana mempengaruhi anaknya. Justeru ibunya meminta nasihat dari imam yang berdekatan dengan tempat tinggalnya. Apa yang dinasihatkan adalah si anak tersebut perlu diajar tentang akhlak. Hasilnya, guru tadika tersebut akhirnya memeluk agama Islam dari akhlak seorang anak kecil. Tidak perlu berhujah panjang lebar. Hanya dengan mempamerkan kehidupan kita, manusia mampu berubah.

Akhlak itu mampu membentuk orang yang ada di sekeliling kita. Namun yang lebih utama dan yang pertama sekali untuk kita renungi ialah, akhlak itu membentuk diri kita sendiri. Dunia hari ini menampakkan keperitan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung bersama. Berpunca dari individu yang tidak memikirkan tentang nilai kehidupan. Umpama nila setitik rosak susu sebelanga. Anda sendiri mampu berfikir tentang hal ini. Bahkan dalam rumah kita sendiri, andai seorang sahaja yang rosak, seluruh keluarga akan terkesan. Maka dengan pendidikan akhlak manusia mampu kembali pada peringkat kebahagiaan dan kesejahteraan.

Dari sini mampu kita lihat bahawa akhlak itu sendiri mencakup pelbagai ruang. Seperti yang dijelaskan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam karangan beliau – Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan – di bawah tajuk Akhlak Dan Kesopanan bahawa akhlak itu memberi pengaruh pada aqidah, ibadah, kehidupan, sosial, kerja, dan sebagainya. Di sini maka perlu bagi kita untuk mengambil pendekatan yang lebih serius terhadap kesan akhlak terhadap diri kita. Yang akan membentuk diri kita. Yang akan mempamerkan siapa diri kita.

Akhlak itu adalah perhiasan buat diri kita. Umpama pakaian yang kita sarungkan ke atas tubuh kita. Yang akan dilihat oleh seluruh makhluk sekeliling kita. Jika kita membeli pakaian, kita akan memilih pakaian yang baik. Begitu jugalah dengan akhlak. Sudah tentu kita akan mengenakan pakaian akhlak yang baik.

Mengembirakan orang lain adalah akhlak mulia

Sebaliknya akhlak pada sudut yang negatif sangat menjadi tentangan dalam nilai Islam. Berakhlak buruk akan menjadikan diri kita tercampak dari landasan keimanan. Dari aqidah yang sejahtera bertukar menjadi sengsara. Kehidupan yang asalnya tenteram kini menjadi derita.

Bila kita bercakap tentang akhlak, kita pasti akan kembali kepada kehidupan Baginda Muhammad SAW. Seorang pesuruh Allah yang diutus sebagai pembina dan pembentuk generasi yang seterusnya. Bagaimana agaknya pembentukan itu bermula. Ya ia bermula dari akhlak. Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, baginda terlebih dahulu melakarkan kehidupan yang penuh berakhlak pada ketika masyarakat jahiliyah hilang moral kehidupan. Ini menjadi peringatan buat kita, bahawa akhlak bukanlah satu perkara atau nilai yang patut ditolak dalam usaha untuk kembali kepada Allah.

Seindah ciptaan Allah adalah yang dihiasi perhiasan akhlak. Mari sama-sama kita berusaha mengembalikan akhlak Rasulullah SAW.

 

Nukilan : Ikhwan Mahadir

Foto Kredit : http://www.umarmita.com

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

One Comment

  1. Ar-rasyid (7 years ago)

    Sedikit Perkongsian yang Banyak Maknanya . . .

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri