Bersalaman Antara Lelaki Dan Wanita

By | May 14, 2012 at 9:18 am | 866 views | No comments | Artikel Umum

Berjabat tangan atau bersalaman di antara lelaki dan wanita kini telah menjadi trend kebiasaan khususnya kalangan generasi remaja dan belia Islam hari ini. Apakah masalahnya bersalaman antara lelaki dan wanita bukan muhrim? Bukannya buat apa-apa, sekadar bersalaman sahaja tanda persahabatan atau memohon maaf antara satu sama lain. Mari kita menyingkap pandangan Al Quran dan panduan Rasulullah SAW dalam perkara ini kerana Rasulullah SAW ada bersabda:

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.”

Sebagaimana kita ketahui, seluruh tubuh wanita itu memiliki daya tarik bagi lelaki dalam hal-hal tertentu, lelaki juga punya daya tarikan bagi wanita. Oleh itu di dalam Al Quran, Allah SWT telah menggariskan batasan hubungan antara lelaki dengan wanita, diantaranya lelaki dan wanita harus saling menahan pandangan matanya sebagaimana Allah SWT berfirman yang ertinya:

“katakanlah kepada laki-laki yang beriman: “hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya”. (QS An Nur [24]:30-31).

Kalau pandangan mata saja sudah harus dibatasi, apalagi urusan bersentuhan kulit antara lelaki dengan wanita, kerana itu Rasulullah SAW bersabda dalam kaitan menjelaskan persoalan ini, diantara hadis tersebut adalah:

Sesungguhnya aku tidak pernah berjabat tangan dengan wanita. (HR. Malik, Nasa’i dan Tirmidzi)

Berkata Ibnu ‘Abdil Barr dalam At-Tamhid (12/243): “Dalam sabda Baginda SAW ‘aku tidak pernah berjabat tangan dengan wanita’ terdapat dalil tentang tidak bolehnya seorang lelaki bersentuhan dengan perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahramnya.) dan menyentuh tangannya dan berjabat tangan dengannya.”

Sabda Rasulullah SAW lagi:

Ditikam seseorang daripada kamu di kepalanya dengan jarum dari besi, adalah lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya. (HR. Thabrani).

Berkata Abu ‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali Al-Makky Al-Haitami (Az-Zawajir 2/4) bahawa: “dalam hadis ini menunjukkan bahawa menyentuh dan berjabat tangan dengan selain mahram adalah termasuk dosa besar”. (Abu Abbas al-Haitami)

Saiditina Aisyah RA berkata:

Tak pernah sekali-kali tangan Rasulullah menyentuh tangan wanita yang tidak halal baginya. (HR. Bukhari dan Muslim dari Aisyah RA).

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menegaskan:

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi setiap anak Adam bahagiannya dari zina, ia mengalami hal tersebut secara pasti. Mata zinanya adalah memandang, kedua telinga zinanya adalah mendengar, lisan zinanya adalah berbicara, tangan zinanya adalah memegang dan kaki zinanya adalah berjalan dan hati berhasrat dan berangan-angan dan hal tersebut dibenarkan oleh kemaluan atau didustakan.” (Muttafaq ‘alaih)

Imam An-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim mengatakan:

“Bahawa setiap anak Adam ditakdirkan untuk melakukan perbuatan zina. Di antara mereka ada yang melakukan zina sesungguhnya, iaitu memasukkan kemaluan ke dalam kemaluan. Di antara mereka ada yang zinanya tidak kesungguhan, dengan melihat hal-hal yang haram, atau mendengarkan sesuatu yang mengarahkan pada perzinaan dan usaha-usaha untuk mewujudkan zina, atau dengan bersentuhan tangan, atau menyentuh wanita asing dengan tangannya, atau menciumnya…”

An-Nawawi juga menjelaskan: “Hadis ini menerangkan bahawa haramnya memegang dan menyentuh selain mahram kerana perkara itu penyumbang untuk melakukan zina kemaluan”.

Dari ayat Al Quran, hadis dan huraian para ulama di atas, menjadi jelas bagi kita bahawa persentuhan kulit antara lelaki dengan wanita yang bukan mahramnya tidak dibenarkan di dalam Islam, termasuk di dalamnya melalui pendekatan berjabat tangan meskipun tidak ada rangsangan apa pun secara seksual.

Sesungguhnya pergaulan antara lelaki dengan wanita memang harus mendapat batasan yang ketat sehingga tidak terjadi pergaulan bebas atau mengarah pada kebebasan bergaul. Rasulullah SAW sendiri tidak membenarkan berdua-duaan antara lelaki dengan wanita yang bukan mahramnya tidak sebagaimana hadis:

Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah ia berdua-duaan dengan wanita (di suatu tempat tanpa disertai mahramnya) kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan (HR. Ahmad).

Semoga kita beroleh petunjuk dan panduan dalam hal berkaitan berdasarkan rujukan kita kepada sumber-sumber yang sahih iaitu Al Quran dan hadis Rasulullah SAW dan huraian dari para ulama yang muktabar.

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri