Ayuh , Bangunkan Kehebatan Diri Kita !

By | November 9, 2012 at 11:09 pm | 911 views | One comment | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Asas kepada pembentukan luaran bermula daripada pembentukan dalaman terlebih dahulu. “Perubahan adalah asas yang dimulakan dari jiwa”, Dr. Azizan Ahmad memberikan pesanan penuh hikmah di Konvensyen Belia Relawan Haluan (KOBAR) yang bertemakan “Belia Pemacu Perubahan”. Tidak ada jalan perubahan yang lain selain dari memulakan langkahan pertama dari dalam diri. Bagaimanakah seorang pemuda itu mampu melakukan perubahan? Dan bagaimanakah pula perubahan jiwa itu mampu membawa perubahan dunia secara total? Ayuh teruskan membaca edisi khas buat pemuda perubahan.
 
Dunia sejak beberapa abad lalu telah melahirkan ramai saintis dan pemikir terutamanya dalam aliran falsafah. Termasuklah antaranya saintis dari beberapa tamadun lepas. Evolusi dan peredaran zaman telah melahirkan skop ilmu yang luas dan banyak membincangkan berkenaan beberapa disiplin etika dan adab serta asas tamadun. Antaranya juga terdiri dari pemikir yang berbagai latar belakang agama seperti Kristian, animisme, Yahudi, Islam dan sebagainya, memberikan penerokaan ilmu itu semakin luas. Namun harus diperhatikan bahawa tidak semua ilmu itu dapat diambil secara mentah-mentah tanpa diselediki ketepatannya dan kewarasannya seperti yang dikehendaki oleh syarak serta sesuai dengan hukum-hukum Al-Quran. Sekiranya ilmu itu telah digali secara mendalam, mengapa harus kita selarikannya dengan Al-Quran terlebih dahulu?
 

Al-Quran Kalamullah Sempurna

Sebelum saya menjelaskan apa itu perubahan jiwa, mari kita kenal dahulu sumber rujukan bagi jiwa itu sendiri. Tidak ada siapa yang boleh menyangkal bahawa jiwa itu sendiri adalah ciptaan Allah SWT. Maka sudah pasti Allah lebih memahami akan kondisi jiwa itu sendiri. Allah Maha Mengetahui.

“Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.” (At-Taghabun : 4)

Dan atas sebab Dia memahami jiwa kitalah, lalu diturunkan bagi kita Al-Quran sebagai panduan dalam memandu jiwa. Dia lebih mengetahui di mana kekurangan dan kelebihan jiwa makhluknya. Dan menjadi tugas kita pula untuk memahami bahawa tidak ada jalan lain selain dari kembali kepada Al-Quran Al-Karim. Tidak ada alasan lagi bagi mengelak untuk hidup di atas landasan Islam yang dipandu oleh Al-Quran. Dengan berpegang kepada sumber yang sempurna inilah, perubahan secara total akan berlaku.


Al-Quran pembina & penanda aras kekuatan kita

Al-Quran Menjadi Kayu Ukur Kekuatan Jiwa

Sejarah telah melakarkan kejayaan oleh beberapa kaum yang turut bermula daripada pendidikan jiwa. Sekalipun mengenai sejarah hitam tentera kafir Genghis Khan, dia juga turut dilatih agar mempunyai jiwa berperang yang cukup bersemangat, sehingga mampu menewaskan ramai tentera Islam yang rosak jiwa ketika itu. Dan banyak juga kisah-kisah tentera Islam yang berjuang untuk agama sehingga Berjaya menawan hampir dua pertiga dunia. Apakah yang menjadi perbazaan antara dua situasi berikut?

Yang membezakan mereka adalah jarak hati dan diri mereka dengan Al-Quran. Al-Quran itu bukan sekadar bacaan yang dihiasi dengan alunan suara merdu. Bukan sekadar hiasan di dinding dan penanda buku. Bukan sekadar bahan post di Facebook. Tetapi ianya adalah bacaan yang perlu difahamkan maksud dan tafsirannya, dan juga amal setelah pemahaman. Baca, faham dan terus buat. Walaupun bacaan yang sedikit, tetapi mampu melahirkan amal yang istiqamah. Amal berterusan.

Kembali Kepada Allah

Ramai manusia bercita-cita pada perubahan. Perubahan menjadi lebih baik. Menjadi lebih kaya, lebih bijak, lebih kacak, lebih berilmu dan segalanya. Namun perubahan itu berpaksikan kepada apa? Adakah menjadi bijak semata-mata mahu menjadi bahan pujian? Di sini niat kita di uji dan perlu diubah kembali paksinya.

“Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.” (Al-Syarh : 7-8)

Hati hanya akan menjadi tenang dan terpimpin setelah ia kembali kepada Pemilik hati. Dia sentiasa memerhatikan hingga ke lubuk hati kita. Seandainya kita kembalikan hati kita kepada Allah, maka Allah menjanjikan perlindungan dalam kehidupan kita.

Pemuda yang sentiasa ingat kepada Penciptanya lebih kacak dan bergaya dari pemuda yang sombong di hadapan Penciptanya. Tidak ada ruang bagi manusia seperti ini untuk mendapat cinta manusia, apatah lagi cinta Allah SWT.


Jalan pulang kita sama tanpa mengenal siapa

Saya Perlu Ubah Diri Saya

Mari kita lihat anak kecil yang sedang berusia lingkungan 2 tahun. Banyak yang ingin dia pelajari. Dari suasana dan juga didikan ibu-bapa. Dia ingin meniru setiap langkah yang ada di sekelilingnya. Namun apakah yang menyebabkan dia ingin belajar? Adakah kerana keinginannya atau kerana suruhan ibu-bapa?

Mari kita ambil contoh anak yang taat dalam semua perintah, kerana takut dimarahi oleh ibu bapanya. Namun ketika ibu bapanya tiada, dia kembali tidak taat. Ini tidak dapat kita gelarkan perubahan diri.

Perubahan diri atas arahan orang lain memang tidak salah, tetapi perubahan atas kehendak diri sendiri itu adalah yang terbaik. Perubahan itu adalah secara sedar. Dia sentiasa membuat penilaian ke atas dirinya. Kerana dia tahu, perubahan itu sentiasa berlaku. Dan dia khuatir seandainya dia melalui satu proses perubahan yang tidak baik. Dengan serta merta langkah penilaian diambil.


Setiap perubahan perlu kepada proses

Anak Tangga Tidak Tinggi

Pernah suatu ketika saya mendaki bukit bertangga. Anak tangganya tinggi membuatkan saya tercungap kepenatan sesudah puas melangkah. Sedangkan tangga yang saya langkah setiap hari dalam perpustakaan yang sejuk tidak langsung memenatkan.

Bila kita melakukan perubahan, lakukanlah sedikit demi sedikit. Nabi Muhammad mendidik para sahabat secara bertahap agar tidak menjemukan mereka. Agar mereka dapat menerima Islam dan menghayatinya dengan benar-benar nikmat. Bukan menghayatinya sehingga penat.

Sekiranya setitik nila itu mampu merosakkan susu sebelanga, maka sejengkal perubahan itu mampu mengubah dunia. Bukankah seorang pemuda yang telah berjaya meruntuhkan tembok Constantinople itu adalah pemuda yang menginginkan perubahan. Beliaulah yang melakukan perubahan setelah berkehendakkan kepada perubahan. Mengubah dirinya kemudian mengubah dunia. Perubahan dan perubahan.

Sekiranya kita tidak mengubah realiti, maka realiti akan mengubah kita menjadi sepertinya. Dan tidak akan wujud perubahan, melainkan setelah kita mengubah diri kita terlebih dahulu.

Ayuh pemuda perubahan. Masa telahpun berlalu.

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?..” (Al-Hadid : 16)

Nukilan :
Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir
Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan ,
UTHM , Johor

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

One Comment

  1. Hamba Allah (7 years ago)

    MasyaAllah. Perkongsian yang simple tapi berisi.
    Suka dengan kata-kata ni; Sekiranya setitik nila itu mampu merosakkan susu sebelanga, maka sejengkal perubahan itu mampu mengubah dunia.

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri