Antara Besi Dan Hati

By | October 16, 2012 at 10:57 am | 684 views | No comments | Artikel Bacaan, Pembangunan Modal Insan

Tidak salah sekiranya saya membuat perbandingan antara besi dan hati. Ada persamaan di beberapa tempat. Besi boleh menjadi lembut seperti itu juga hati. Besi boleh kelihatan bersinar seperti mana hati bersinar. Dan ada ketika besi bukan sahaja keras, malah menjadi karat. Begitu juga hati jika tidak dijaga dengan baik.
Bagi yang belum mengenali besi, dia lebih suka untuk dapatkan yang keras. Tapi kebanyakan barang diperbuat daripada besi yang lembut. Contoh yang mudah seperti sudu. Sudu bukanlah besi yang keras. Dan jika dikenakan daya yang tinggi, ia hanya sekadar bengkok. Ia tidak terus patah kerana ada unsur kelembutan di dalamnya. Begitu juga anda perlu memahami komposisi hati. Kekuatan dan kelembutan yang kena pada tempatnya.

Islam Disebar Melalui Hati
Hati yang tenang akan memandu kita ke arah kebaikan. Dan hati ini amat diperlukan terutamanya bagi mereka yang mengerjakan amal ma’ruf nahi mungkar.
Bagaimana mungkin seseorang itu dengan hati yang kotor boleh mengajak pada kebaikan?
Kerana hati manusia itu hanya mampu disentuh dengan hati juga. Dan hati tersebut perlu bersih dari segala karat.
Hati merupakan tempat berpusatnya emosi dan perasaan. Kedua-duanya perlu diurus dengan terancang dan tersusun. Jika tidak ia akan memakan hati kita. Kerana itulah hati menjadi karat. Setiap hari kita membaca akhbar ada saja kes yang pelbagai ragam. Namun semuanya datang dari masalah yang satu iaitu masalah hati. Akibat daripada emosi dan perasaan yang tidak stabil.
Seorang muslim itu diwajibkan keatasnya untuk menjaga segala pemberian Allah termasuklah hatinya.

Contoh Dari Kekasih Allah
Jika kita mula berbicara mengenai dakwah dan tarbiyah, selayaknya kita kaitkan Baginda Muhammad SAW dengan emosi dan perasaannya yang sangat berhikmah. Berhikmah di sini saya maksudkan dengan pelbagai makna.
Hati yang tenang, terurus, lapang, adil, lembut, tidak ada hasad dengki, penuh kecintaan sesama makhluk, sentiasa kembali kepada Allah, dan segala perkara baik berkaitan hati. Jika ingin disenaraikan semuanya maka tidak akan habis. Kerana Baginda sangat perihatan tentang penjagaan hati.
Keperihatinan Baginda mengenai hati telah mendorong seluruh ummat untuk mengikuti corak kehidupannya. Hanya pada akhir zaman ini, manusia kian terdorong untuk meninggalkan contoh kehidupan Baginda. Dan mengapa ini berlaku?

Muslim Yang Mengajak
Salah faham yang ditujukan kepada Rasulullah SAW bukanlah kerana keburukan yang Baginda lakukan. Mustahil perkara sebegini kita tuduh bahawa Rasulullah SAW memang mempunyai nilai hidup yang rendah. Tetapi kebanyakan salah faham ini berpunca dari mereka yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut Rasulullah SAW. Lantas menampilkan watak yang tidak jelas kebaikannya. Dan kerana itulah masyarakat berfikiran negatif terhadap Baginda.

Tidak ada jalan yang lebih baik
Itu adalah contoh yang kita ambil dari Rasulullah SAW. Namun sebilangan manusia akan berkata bahawa Baginda adalah maksum, maka saya menjelaskan kepada anda bahawa bukan Baginda sahaja malah para sahabat Baginda juga turut mempersembahkan pentas dakwah melalui cara Rasullah SAW. Satu-satunya langkah yang telah mengembangkan dakwah ke serata dunia melalui kaedah yang penuh dengan nilai-nilai baik, kaedah yang tidak melampau, serta mudah diterima masyarakat.
Dakwah para sahabat lahir dari hati mereka sendiri. Bukan atas tujuan lain. Maka dengan pantas mereka memahami bahawa kondisi utama dalam tugasan ini adalah hati. Dan hati itu perlu dijaga. Sekiranya hati itu diabaikan, maka samalah seperti berdakwah sambil lewa.
Hati itu adalah senjata. Jika dibiarkan saja di rumah, dengan apa kita berjuang?
“Sekalipun seseorang doktor itu ragu-ragu mengenai sesuatu penyakit, ia tetap perlu meyakinkan pesakitnya bahawa dia akan sembuh kerana hal demikian sangat bersangkut paut pada tubuh badan.”
Dengan memahami hati, dakwah akan menjadi lebih indah. Memahami hati kita sendiri dan juga hati masyarakat. Memahami kondisi hati masyarakat, kehendak hati dan juga pantang larangnya.
Hati itu saling bertindak antara dua atau lebih karakter. Amat kelakar sekiranya kita berpendapat bahawa hati tidak berinteraksi kerana itu imej dakwah seringkali tercalar dengan tomahan-tomahan yang tidak wajar. Amat penting untuk kita fahami mengenai hati.
“Jiwa manusia mempunyai tabi’at sayang kepada orang yang berbuat baik kepadanya. Sebaliknya tindakan yang keras dan kasar menyebabkan jiwa manusia kadang-kadang terdorong untuk takabbur bertahan dalam kesalahannya dan menghindari orang yang menegurnya.”

 

Rujukan:
-Medieval Islamic Medicine
-Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam/Fathi Yakan/Dewan Pustaka Fajar/1987
-Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan/Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi/Seribu Dinar Sdn Bhd/2012

Nukilan :
Muhammad Ikhwan Bin Mahadzir
Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Dan Pembuatan ,
UTHM , Johor

About the Author

Radhi

Saya seorang Muslim yang amat berharap suatu hari nanti Islam pasti memanyungi seluruh umat manusia di dunia ini.InshaALLAH!Hubungi saya di Facebook Muhammad Radhi

Comments

© 2012 KeARAH. All rights reserved.
Created by: Faiz Shukri